Individu ini cukup licik. Dia menaiki kuasa secara perlahan-lahan. Pada awalnya dia bekerja sebagai apparatchik parti. Melalui parti dia telah dapat meningkatkan sokongan.

Dengan menggunakan semangat nasionalisme, individu ini sering menjerit terpekik terlolong tentang kuasa asing dan imperialis yang ingin datang menakluk. Kerana retorik ini, dia pernah dilihat sebagai penyelamat bangsa.

Di gelanggang politik, individu ini sering memainkan sentimen agama untuk menakut-nakutkan rakyatnya. Ia dapat dilakukan kerana ada kumpulan-kumpulan agama kolot dan antidemokrasi yang telah bangun memberi sokongan.

Taktik tokoh besar ini cukup licik mengadu domba kaum-kaum. Pernah berlaku pembantaian kaum selepas ia diapi-apikan olehnya.

Partinya terus mengamalkan sentimen perkauman. Sikap ini menyebabkan sebahagian dari negaranya pecah dan tertubuh pula negara baru.

Sikap perkauman ini terus menjadi dasar partinya. Justeru itu, rakyat curiga-mencurigai sesama sendiri. Melalui taktik ini, parti yang dipimpinnya terus dapat mengekalkan kuasa.

Untuk sementara waktu, semenjak tahun 1986, ramai rakyat yang terpengaruh dengan retorik politiknya. Pada satu ketika, individu ini agak dihormati di pentas antarabangsa. Ada negara Arab yang melihat individu ini sebagai pemimpin contoh.

Di Eropah Barat, beliau pernah dilihat sebagai pemimpin yang wajib dibawa berbincang. Malah pada satu ketika dahulu Rumah Putih melihat individu ini sebagai kawan yang wajib dibawa berunding dan bukan seorang seteru yang perlu dikritik.

Individu ini dikelilingi oleh penyokong-penyokong yang setia. Melalui kuasa yang ada, beliau memperkayakan orang-orang di sekelilingnya.

Sumber-sumber perniagaan yang penting yang dahulunya dimiliki oleh kerajaan (baca: rakyat) kini diswastakan untuk diberikan kepada kroni dan anak lelakinya.

Keluarganya mempunyai akaun rahsia di beberapa buah bank di Switzerland dan London.

Pemusatan kuasa diktator

Kroni dan penyokong setia itu akan berbuat apa saja asalkan individu ini terus berkuasa. Melalui sistem kroni dan kesetiaan seumpama ini, beliau telah dapat memperkukuhkan dirinya dalam apparatchik parti yang dipimpin olehnya.

Sedikit demi sedikit, kadang kala tanpa disedari, juga kerana desakan politik luaran, individu yang dilantik melalui pilihanraya ini telah dapat memusatkan kuasa kepada dirinya sendiri. Akhirnya beliau telah menjadi seorang diktator yang dipilih melalui pilihanraya.

Sebagai diktator, dia menguasai semua apparatchik parti dan lembaga-lembaga daulah seperti parlimen, mahkamah, radio, akhbar dan tv.

Dia juga menguasai mata-mata, polis pencegah rusuhan dan polis-polis rashia. Mata-mata gelap ini terus mengintip semua gerak-geri rakyat.

Sesiapa saja yang dianggap berkemungkinan untuk bangun melawan partinya - pada awalnya akan cuba dibeli tetapi jika gagal, akan ditangkap atas pelbagai tuduhan.

Oleh kerana media di dalam negara terlalu terkongkong, maka rakyat mula beralih untuk membaca dan meneliti sumber berita dari luar negara.

Berita-berita yang ditulis oleh wartawan luar dilihat lebih tepat daripada laporan akhbar rasmi kerajaan. Rakyat memboikot akhbar kerajaan, dan wartawan asing pula dituduh sebagai musuh.

Beberapa wartawan dari agensi berita luar negara ditangkap. Ada yang dihalau keluar, dinafikan visa dan ada yang ditahan atas tuduhan bekerja sebagai agen perisik negara asing. Selama dua tahun berturut-turut, individu ini telah dipilih oleh kumpulan persatuan wartawan antarabangasa sebagai "musuh utama kepada kebebasan media."

Tetapi, lama-kelamaan sokongan dan keyakinan rakyat terhakis. Ini berlaku kerana dasar yang diamalkan oleh individu ini telah bercanggah dengan arus perubahan dunia antarabangsa.

Rakyat mahukan ruang demokrasi dihormati, bukan diinjak-injak. Rakyat mahukan kebebasan untuk bersuara, menerbitkan akhbar dan berkumpul.

Arus politik dunia sedang mengampuh untuk menyokong, membantu dan menggalakkan rakyat menuntut ketelusan sistem pentadbiran. Kapitalisme kroni dan rasuah dilihat sebagai musuh yang membantutkan kelahiran demokrasi.

Masyarakat yang adil dan saksama agihan ekonominya adalah sebahagian daripada hak asasi manusia. Hak asasi ini sedang menjadi agenda terkini rakyat.

Bahang tekanan rakyat

Individu itu merasakan bahang tekanan daripada rakyat. Suara bantahan, kritikan, tamparan dan penolakan rakyat terhadap pimpinanya semakin meluas. Dalam keadaan ini, dia juga semakin mengganas.

Retorik pekik-lolongnya tentang ancaman negara luar semakin menghingar-bingar. Tuntutan rakyat terhadap hak asasi tidak dipedulikannya, malah dia menunjukkan taringnya dengan membawa tentera dan polis rusuhan.

Individu ini sedar bahawa dia semakin terpencil. Rakyat semakin benci dan muak melihat mukanya yang sering keluar di akhbar dan tv. Sokongan rakyat semakin mengempis. Dunia luar sedang melihat dirinya sebagai seekor biawak yang kehausan air.

Untuk membuktikan kepada dunia bahawa dia masih mempunyai sokongan rakyat, maka pilihanraya pun dijalankan.

Si diktator ini sedar bahawa pilihanraya ini hanyalah satu topeng untuk menipu rakyat. Pilihanraya dijalankan hanya kerana ada tuntutan perlembagaan.

Jika mengikut kehendak hatinya, pilihanraya juga akan dihapuskan. Pernah untuk satu ketika dahulu Parlimen telah digantung dan kuasa darurat digunakan. Keadaan ini berlaku kerana partinya hampir hilang kuasa.

Pilihanraya, untuk si diktator ini tidak pernah berjalan atas landasan yang adil. Pembangkang tidak berkemungkinan untuk menang. Semua media dimonopoli oleh apparatchik partinya; bermakna laporan amat berat sebelah.

Dia menggunakan semua jentera kerajaan daripada polis hingga kepada tentera untuk membantunya memenangi pilihanraya.

Dia juga melakukan pelbagai bentuk tipu-helah. Suruhanjaya pilihanraya yang seharusnya satu badan bebas merupakan kuncu-kuncu dari partinya yang akan memastikan dia akan terus berkuasa.

Tujuan pilihanraya ini hanya untuk meneruskan kuasa pemerintahannya yang zalim. Dengan kuasa yang ada, dia boleh memperkayakan elit-elit dalam partinya dan juga anak lelakinya.

Individu si diktator yang dipilih melalui pilihanraya minggu lepas itu ialah Slobodan Milosevic.

Hari ini, Milosevic telah dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah. Milosevic, Suharto dan Fujimori adalah contoh-contoh terakhir diktator boleh muncul melalui pilihanraya.

Hanya melalui gerakan massa, di mana orang ramai turun dalam jumlah beribu-ribu ke jalan-jalan raya dan mengepung bangunan-bangunan kerajaan termasuk parlimen di Lima, di Jakarta dan di Belgrade - yang telah dapat menghumbankan sampah-sampah ini ke dalam tong sejarah.