Tahniah, Mahathir boleh!
Hari Kebebasan Akhbar Sedunia disambut setiap 3 Mei. Setiap tahun Jawatankuasa Pelindung Wartawan (Committee to Protect Journalists atau CPJ) yang berpangkalan di New York akan menyenaraikan sepuluh nama
ketua kerajaan, pemimpin negara atau individu yang dilihat sebagai musuh utama para wartawan dan kebebasan akhbar.Pada permulaan alaf baru, untuk kali kedua berturut-turut nama Malaysia diangkat dengan cemerlang sekali. Seirama dengan semangat 'Malaysia Boleh,' nama Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad berjaya disenaraikan bersama-sama dengan President Sierra Leone Foray Sangkoh, Slobodan Milosevik dari Yugoslavia dan Ayatollah Ali Khamenei dari Iran.
Mereka tersenarai sebagai musuh utama para wartawan dan kebebasan akhbar.
Bagaimanapun, berita 'kejayaan Malaysia' ini tidak diheboh-hebohkan kepada orang ramai. Akhbar tempatan, terutama akhbar berbahasa Melayu yang sering menyiarkan berita "kejayaan anak Melayu di bidang...," "anak Melayu pertama mendapat...," atau "anak Melayu bertaraf antarabangsa" mengambil sikap diam membisu.
Dengan irama dan semangat 'Malaysia Boleh,' berita kejayaan dan ketrampilan Dr. Mahathir bertaraf dunia ini seharusnya dijadikan berita utama untuk semua akhbar dan televisyen.
Berita ini datangnya dari New York, bukan dari Dubai atau Senawang. Biasanya berita yang berpunca dari luar negara, khususnya dari negara orang putih, yang bersangkutan dengan kejayaan negara ini walaupun tidak mempunyai apa-apa kepentingan akan dicanang ke seluruh negara.
Selalunya apa saja berita kejayaan Perdana Menteri akan ditafsirkan sebagai keyakinan masyarakat dunia terhadap Malaysia melalui kepimpinan beliau sendiri. Sering berita-berita kejayaan seumpama ini mendapat susulan pandangan yang tidak putus-putus dari cendekiawan yang bersarang di pusat-pusat pengajian tinggi.
Tetapi kali ini, kenapakah kejayaan dan ketrampilan Dr. Mahathir itu disorok daripada pengetahuan rakyat jelata? Akhbar dan media tempatan secara senyap-senyap telah mengkambuskan berita ini dari pengetahuan ramai.
Apakah ini taktik dari kumpulan commissar berita di negara ini untuk menunjukkan pemilihan Dr. Mahathir sebagai musuh akhbar sebagai pilihan yang sah dan tepat?
Atau apakah melalui langkah-langkah memadamkan berita ini menunjukkan telah wujud perancangan sulit commissar berita dan wartawan sendiri untuk memperkukuhkan lagi peluang Perdana Menteri disenaraikan sekali lagi tahun hadapan?
Nama Mahathir Mohamad yang disenarikan oleh sebuah badan antarabangsa di New York bagi kali kedua berturut-turut merupakan satu kejayaan yang besar untuk seorang anak Melayu tempatan.
Beratus-ratus nama pemimpin dunia seperti Tony Blair, Bill Clinton, Gus Dur atau Estrada telah dikaji dan diselidiki. Namun, semua nama ini terperosok gugur kerana tidak dapat menandingi ketrampilan Mahathir dalam memusuhi kebebasan akhbar.
Inilah satu contoh kejayaan Malaysia Boleh yang seharusnya kita banggakan bersama. Sepatutnya sebaik sahaja nama beliau disenaraikan oleh CPJ seluruh rakyat akan dikerah untuk memukul kompang dan menaikkan bunga manggar tanda kegembiraan menyambut kejayaan pemimpin ulung wira Dunia Ketiga ini.
Kejayaan beliau juga pasti akan menarik hati dan jiwa pelancong dari seantero dunia untuk bertandang dan bersorak-sorai membeli-belah di Kuala Lumpur. Pelancong-pelancong juga wajib diberitahu bahawa Dr. Mahathir, selain dipilih sebagai musuh wartawan, beliau juga sejenis bahan kuno yang semakin pupus akhir-akhir ini.
Jika ditakdirkan pada tahun hadapan, nama Perdana Menteri tidak lagi disenaraikan oleh CPJ, maka akan jelas kepada wartawan tempatan bahawa telah wujud satu konspirasi negara Barat untuk meminggirkan Malaysia daripada peta kehebatan dunia.
Ia adalah bukti kukuh bahawa negara-negara Barat berkonspirasi kerana mereka cemburu melihat pemilihan Dr. Mahathir. Negara Barat selama ini pun memang amat cemburu terhadap kejayaan negara terutama apabila Malaysia berjaya mendirikan bangunan yang tertinggi di dunia.
Wartawan dan akhbar Barat terbukti tidak mempunyai kerja yang banyak selain mencemburui kejayaan Malaysia. Mereka amat cemburu terhadap kejayaan "pem-bangunan" di Malaysia.
Apa yang menghairankan kita ialah kenapa Barat tidak pula cemburu terhadap Korea dan Jepun? Bukankah kedua-dua negara ini lebih berjaya daripada Malaysia?
Melalui persoalan ini, nyatalah bahawa media Barat mempunyai satu 'agenda tersorok' yang tidak ada sesiapa pun mengetahuinya hingga ke hari ini - termasuklah para wartawan Barat itu sendiri!
Akhir-akhir ini sikap cemburu akhbar-akhbar Barat semakin menjolok mata. Dengki hati mereka terhadap kejayaan Malaysia telah tidak dapat disembunyikan lagi. Akhbar Barat tidak menyiarkan berita kejayaan kempen Malaysia Boleh yang dikendalikan oleh Perdana Menteri.
Kejayaan-kejayaan negara seperti Ketupat Terbesar, Bendera Tertinggi, Kereta Proton Jatuh di Kutub Selatan atau Satay Terpanjang langsung tidak dilaporkan oleh akhbar The Guardian, Le Monde, The New York Times atau Washington Post.
Hati wartawan Barat memang diselaputi naluri cemburu sehinggakan terlupa untuk melaporkan berita-berita penting ini.
Justeru kejayaan Dr. Mahathir untuk kali kedua sebagai musuh wartawan dan akhbar kena pada tempatnya. Rakyat Malaysia mengucapkan syabas kepada CPJ. Lagipun, beliau adalah Wira Dunia Ketiga.
Sebagai wira, Perdana Menteri mempunyai banyak musuh. Musuh yang paling digeruni oleh seorang ditaktor ialah wartawan dan lembaga persuratkhabaran yang bebas.

