Demokrasi bukan hanya bermakna membuang undi lima tahun sekali. Demokrasi adalah falsafah hidup atau way of life . Demokrasi juga ialah pandangan dunia (atau worldview ) yang wujud hasil proses perjalanan tamadun manusia ribuan tahun.

Sesiapa yang menakrifkan dan mempopularkan demokrasi hanya kepada pilihanraya lima tahun sekali wajib dilihat sebagai manusia pandir atau 'fasik.' Atau manusia yang berfikiran demikian mempunyai niat jahat yang bersifat antidemokrasi.

Memilih, melakukan atau membuat keputusan melalui suara ramai adalah asas dan ciri utama demokrasi. Bulat air kerana pembetung, bulat suara kerana demokrasi. Suara ramai ini menjadi asas penting untuk kesejahteraan ummah. Tanpa menghormati suara ramai, tidak mungkin manusia pada kurun ini dapat wujud dalam satu penyusunan masyarakat yang aman dan teratur.

Suara ramai ini boleh diluahkan melalui pelbagi cara. Ada dengan cara membuang undi, ada dengan mengangkat tangan. Ada yang melalui pemilihan perwakilan berkelompok dan ada pula menggunakan sistem buapak atau kepala adat seperti di Negeri Sembilan. Pemilihan suara ramai boleh dilakukan secara sulit atau secara terbuka.

Evolusi ribuan tahun perjalanan tamadun telah membawa manusia ke suatu tahap, bahawa suara ramai wajib didengar. Masyarakat dunia tidak dapat lagi menerima jika masih ada negara-negara atau individu yang tidak menghormati lunas-lunas demokrasi.

Demokrasi telah diterima sebagai nilai sejagat. Sistem hamba abdi, kuasa mutlak raja, sistem pemerintahan sebagai wakili tuhan ( theocracy ) dan sistem feudal, semuanya telah tidak dapat diterima lagi. Tamadun moden memerlukan perbincangan dan perundingan.

Sistem daulah kapitalis, sistem daulah sosialis dan sistem berdasarkan agama semuanya wajib berlandaskan demokrasi yang mendengar suara ramai. Semua sistem ini menyarankan kesejahteraan ummah; ertinya ingin mendirikan kenegaraan yang membawa kebaikan untuk orang ramai.

Jadi mustahil sistem ini akan membawa kesejahteraan jika hanya beberapa kelompok, beberapa kelas, beberapa kumpulan elit atau beberapa kerat individu yang berkuasa membuat keputusan yang melibatkan kesejahteraan orang ramai.

Dicampak dalam tong sejarah

Dalam sejarah tamadun manusia, hingga ke hari ini, memang wujud kelompok atau individu-individu yang cuba memusatkan kuasa. Tetapi sejarah juga telah memperlihatkan bagaimana mereka akhirnya dicampakkan dalam tong-tong sampah sejarah.

Individu yang menjadi unit sosial dalam tamadun moden tidak dapat lagi menerima apa-apa keputusan tentang kehidupan mereka tanpa diri mereka turut dirundingkan. Manusia yang wujud dalam budaya moden atau pascamoden wajib dibawa berdailog agar pandangan mereka diambil kira.

Proses mengambil pandangan ini bukan hanya untuk memilih wakil-wakil. Memilih wakil hanyalah sebutir skrew pada roda yang besar. Ia juga bukan bermakna setelah memilih perwakilan, maka kita boleh sahaja membiarkan wakil yang terpilih itu berbuat apa saja dasar atas nama kita. Itu bukannya demokrasi. Justeru suara ramai wajib sentiasa didengar sebelum sesuatu keputusan yang akan melibatkan kehidupan mereka diambil.

Berbagai cara dan teknik boleh digunakan untuk mendapatkan pandangan suara ramai walau selepas pilihanraya. Pengundian mengenai satu-satu isu boleh dilakukan secara individu atau berkelompok. Pungutan suara boleh dijalankan.

Laporan-laporan boleh diterima pakai untuk memuaskan semua pandangan. Di sini sesuatu cara tidak penting. Apa yang lebih penting ialah sebelum sebarang keputusan diambil untuk dilaksanakan, orang ramai wajib mengetahui implikasi terhadap kehidupan mereka jika dasar atau tindakan itu dijalankan.

Misalnya, apakah implikasi jika empangan Sungai Selangor didirikan - terhadap alam sekitar, terhadap penduduk setempat? Atau adakah empangan ini akan mencukupkan keperluan air warga Kuala Lumpur dalam masa jangka panjang? Apakah ada cara-cara lain yang boleh diambil? Semua ini wajib diketahui oleh orang ramai.

Ertinya orang ramai memerlukan maklumat sebelum membuat keputusan. Maklumat datang daripada pelbagai sudut pandangan. Lebih banyak maklumat yang dipaparkan untuk pengetahuan umum, maka lebih baik keputusan yang akan dibuat.

Tanpa sebaran maklumat yang meluas, tidak mungkin sesuatu keputusan itu tepat. Membuat keputusan dalam cara hidup berdemokrasi memerlukan maklumat. Proses demokrasi bukan seperti menanam cendawan - disimpan dalam gelap dan dibajai dengan sampah sarap!

Lembab, monyok dan tidak mencabar

Contohnya Perhimpuan 100,000 Rakyat di yang sepatutnya diadakan di Jalan Kebun pada Ahad lalu ialah satu daripada proses demokrasi - hak individu untuk berkumpul beramai-ramai mendengar maklumat atau menyuarakan pendapat. Hak ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak asas individu ini tidak boleh diinjak-injak atau diperlekehkan.

Jika hak ini tidak wujud, maka ia bermakna ruang demokrasi telah disempitkan. Apabila ruang demokrasi sempit, maka tidak mungkin orang ramai akan mendapat maklumat yang tepat untuk membuat keputusan. Masyarakat tanpa maklumat akan mundur daya pemikiranya.

Intelektualisme dan budaya masyarakat tanpa maklumat adalah lembab, monyok dan tidak mencabar. Tamadun seperti ini hanya berupaya untuk menjadi pak turut atau photocopy tamadun yang lebih maju.

Dalam cara hidup demokratik, semua pihak wajib dibenarkan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Apa saja pandangan individu atau kelompok berkepentingan walaupun tidak disukai wajib didengar. Keputusan ramai bukan pula bermakna hegemoni ramai terhadap pandangan minoriti.

Ciri utama atau litmus test tentang kewujudan ruang demokrasi dalam sebuah masyarakat, kumpulan atau negara ialah keterbukaan dan keselesaan majoriti untuk mendengar dan menghormati pandangan monoriti.