Mencari bom maut 'Cluster'
Apabila membaca berita pengunduran tentera Isreal dari Selatan Lebanon minggu lepas, ingatan saya kembali kepada Sungai Litani yang memisahkan Lebanon dengan kawasan yang dikuasai oleh tentera boneka Isreal. Di tahun-tahun 1970-an, sungai itu menjadi focal point - di mana para wartawan dunia akan memulakan laporan berita mereka mengenai keadaan politik dan perang saudara di Lebanon.
Bagi saya, tahun-tahun itu adalah zaman romantis walau disadur oleh pelbagai pancaroba. Generasi muda di seluruh dunia ketika itu sedang ghairah berjuang untuk melahirkan sebuah dunia baru. Jika dunia ini seorang insan, maka 70-an ibarat zaman remaja dan ia baru mengalami cinta pertama.
'Percintaan' inilah yang membawa saya ke Selatan Lebanon pada permulaan musim bunga 1977. Tiga bulan sebelum ini, Isreal telah menyerang Selatan Lebanon secara besar-besaran. Puluhan rakyat biasa tewas dan ratusan lagi melarikan diri. Hasrat tentera Isreal untuk menumpaskan gerila Palestin daripada terus menyerang negara haram itu telah gagal.
Saya diajak ke Selatan Lebanon oleh Mahmoud, seorang pegawai dari Jabatan Penerangan PLO (Pertubuhan Pembebasan Palestin). Dengan sebuah kereta dan dua orang anak muda sebagai pengawal bersenjata, kami memulakan kembara melalui jalan besar di pesisir Laut Tengah. Jalan induk ini, mengikut Mahmoud, berterusan dari Beirut hingga ke Tel Aviv.
Di kiri kanan jalan saya melihat rumah dan bangunan yang runtuh akibat serangan bom. Kapal terbang Phantom menyerang dari udara dan kapal laut Isreal membedil ke daratan. Rumah-rumah nelayan ditinggalkan kosong. Restoran dan pekan-pekan kecil tidak kelihatan orang lagi.
Sebelum menghampiri Sungai Litani, kami berhenti di tepi sebuah bangunan yang telah roboh akibat serangan udara. Saya masuk ke dalam runtuhan itu untuk melihat dengan lebih dekat lagi. Di tengah-tengah bangunan ini terpacak sebutir bom sepanjang lima kaki sebesar batang pinang. Menurut Mahmoud, bom ini tidak meletup kerana ia digugurkan terlalu dekat dengan sasaran.
Apa yang kami cari ialah bom Cluster - satu jenis bom buatan Amerika yang paling berbahaya dan diharamkan penggunaannya. Lebanon, menurut kenyataan PLO, dijadikan makmal untuk menguji bom jenis ini. Isreal berkeras menafikan bahawa bom jenis ini telah digugurkan di Selatan Lebanon. Dan kami dari Jabatan Penerangan PLO datang untuk mencari bahan bukti.
Kami meneruskan perjalanan ke arah Isreal. Dari jauh saya ternampak soldadu-soldadu berberet biru. Saya telah mengenali beret ini semenjak di sekolah rendah lagi kerana abang ipar saya pernah bertugas sebagai soldadu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Congo. Beret biru ini masih tergantung di ruang tamu rumah kami sebagai tanda kenangan-kenangan.
Seorang soldadu Perancis yang lengkap bersenjata datang dan menahan kereta kami. Tiga orang lagi tercegat, bersedia dengan senjata, memerhatikan dari khemah mereka. Kami sedar bahawa kami tidak akan dibenarkan menghampiri Sungai Litani. Tidak mungkin kereta kami melintasi jalan yang telah dipagari dengan besi berpaku yang merintangi jalan raya itu.
Kami berundur dan mengambil jalan kecil memasuki kawasan kampung. Tidak pernah saya melihat keindahan alam seperti musim bunga di kawasan Laut Tengah. Bunga-bunga liar bertaburan. Rumput-rumput bangun menghijau sesudah tiga bulan tidur ketika musim sejuk. Pucuk-pucuk di ladang limau kelihatan merah membakar.
Saat romantis seperti ini mengingatkan saya pada Khalil Gibran. Apakah saya sedang melintasi kampung dan lembah dusun angggurnya? Apakah lembah hijau yang subur ini telah memahat jiwa halus seorang insan untuk melahirkan sebuah puisi? Bumi seindah ini pasti menjadi mata air di tengah gurun untuk kelahiran sajak-sajak sufinya.
Kemudian kami sampai ke sebuah perkampungan. Di antara pokok pisang dan pokok anggur, saya ternampak dua buah rumah yang telah roboh. Sebaik saja kami berhenti, dua orang petani Arab datang menyambut kami. Saya tidak faham apa yang dibualkan antara mereka dengan Mahmoud. Tiba-tiba muncul dua orang anak kecil dan ibunya.
Bagi saya orang kampung di mana-mana di dalam dunia ini serupa saja. Penanam padi atau penanam anggur semuanya berhati ikhlas. Mereka mempelawa kami minum teh dahulu sebelum kami dibawa melihat dua buah rumah yang telah runtuh. Rumah itu milik jiran mereka. Seorang anak muda telah syahid di rumah ini. Ahli-ahli keluarga yang lain melarikan diri ke Beirut.
Di kawasan rumah runtuh ini, barulah dapat kesan bencana bom Cluster. Kami menemui bangkai bom ini berhampiran dengan kebun pisang. Bom sebesar batang pinang itu panjangnya lima kaki. Ia meletup sebelum sampai ke bumi.
Apabila meletup, badannya akan terbuka. Dari badannya, keluar biji-biji besi sebesar bola tenis. Bola-bola besi ini akan berterbangan mencari sasaran. Dalam masa beberapa saat, bebola besi ini akan meletup sekali lagi dan akan berterbangan keluar besi-besi halus tajam berbentuk bintang berbucu tiga.
Di dalam runtuhan rumah ini, saya melihat berbaris-baris besi-besi halus berbentuk bintang berbucu tiga yang tercacak tajam di dinding. Bintang besi yang terbang berpusing-pusing ini adalah senjata maut. Apa saja yang dilanggarnya akan terputus. Kepala atau badan si mangsa jika dilanda oleh besi halus ini boleh terputus. Saya ternampak batang-batang pisang yang terputus akibat serangan bom ini.
Kami mengambil satu bangkai Cluster dan beberapa bebola besi untuk dibawa pulang ke Beirut sebagai bahan bukti.
Mahmoud kemudian mengarahkan pemandunya membawa kami ke sebuah lagi perkampungan di lereng bukit. Orang kampung ini membawa kami melihat tiga buah rumah pasang siap yang telah ditinggalkan tentera Isreal. Rumah dua bilik ini sengaja ditinggalkan - mungkin sebagai alat perang saraf. Atau sebagai tanda bakti mereka terhadap penduduk kampung ini.
Mahmoud kemudian cuba mencungkil logo syarikat yang membuat rumah ini untuk dibawa pulang ke Beirut. Semasa Mahmoud mengopek logo itu, seorang petani datang dan bertanya kepada Mahmoud, apakah nanti Isreal akan marah apabila melihat rumahnya telah terkopak?
Mahmoud tergamam mendengar soalan itu. Tetapi saya tidak hairan kerana inilah sifat peperangan - tentera berperang tetapi orang biasa terperangkap di tengah-tengah.
Dari kampung ini, kami mengambil satu lagi jalan kecil untuk pulang ke Beirut. Di sini saya menyaksikan kebusukan perangai soldadu Isreal.
Di tengah-tengah jalan kelihatan tiga buah kereta yang telah kemek menjadi papan akibat dilanggar kereta kebal. Kain baju bertaburan. Ia adalah kereta penduduk kampung yang ingin melarikan diri daripada serangan udara Isreal tapi mereka bertembung dengan pasukan kereta kebal.
Minggu lepas, saya melihat berita pengunduran Isreal dari Selatan Lebanon di CNN. Saya teringat kembali lembah-lembah hijau dan penduduk kampung yang pernah saya temui di Selatan Lebanon. Bendera-bendera Hizbullah dan bendera merah Parti Komunis Lebanon kelihatan berkibaran. Orang kampung beratur di jalan raya menyambut kedatangan mereka.
Saya tersenyum puas kerana 23 tahun dahulu saya juga telah melintasi jalan yang sama. Dunia baru yang kami harapkan telah lahir. Dunia romantis 1970-an telah berlalu dan mendewasa.

