Konsert rock dan ruang demokrasi
Mengikut sebuah akhbar arus perdana, konsert kumpulan rock XPDC telah diselamatkan oleh hujan lebat dari ''bertembung'' dengan sekumpulan penunjuk perasaan. Penunjuk perasaan ini bukannya datang dari XPDC Fan Club. Tujuan para demonstran tersebut datang adalah untuk membantah pementasan konsert XPDC di atas alasan "maksiat".
Mengikut sebuah akhbar arus perdana, konsert kumpulan rock XPDC telah diselamatkan oleh hujan lebat dari ''bertembung'' dengan sekumpulan penunjuk perasaan. Penunjuk perasaan ini bukannya datang dari XPDC Fan Club. Tujuan para demonstran tersebut datang adalah untuk membantah pementasan konsert XPDC di atas alasan "maksiat".
Untuk anak-anak muda peminat muzik rock 'N roll terutama peminat setia XPDC, pasti merasa kecewa dan tersenyum sinis terhadap sesiapa saja yang menganjurkan bantahan tersebut; walau pun kumpulan ini terlalu kecil berbanding dengan peminat setia XPDC. Ini bukanlah kali pertama bantahan atau pun tunjuk perasaan dilancarkan terhadap pementasan konsert muzik. Untuk mereka yang mempunyai ingatan gajah pasti tidak dapat melupakan bagaimana konsert M.Nasir, Sheila Majid, Micheal Jackson dan konsert Sharifah Aini telah mendapat bantahan yang sama.
Ada beberapa jalur pandangan yang boleh membantu kita memahami fenomena bantahan terhadap konsert rock ini. Jalur ''sifu'' nya ialah kerana falsafah induk asas masyarakat moden hari ini masih belum terlerai dan kusut dari pemahaman dan penghayatan umum; termasuk dari kalangan penyokong parti pembangkang atau pun penyokong parti yang memerintah. Falsafah inilah yang wajib dihayati untuk membantu fikrah dalam memahami dengan jelas tanda dan makna konsert, muzik, filem, lukisan dan pelbagai bentuk seni yang terkumpul sebagai budaya perjalanan hidup manusia.
Asas pertama falsafah ini ialah konsep ruang demokrasi. Asas kedua ialah pemahaman terhadap konsep hak individu. Dua asas falsafah induk inilah yang memangkin dan menjana kelahiran masyarakat sivil atau masyarakat madani. Selagi dua konsep falsafah ini tidak difahami maka tidak mungkin masyarakat madani dapat diwujudkan. Khutbah-khutbah dan ceramah mengenai demokrasi hanya akan dilihat sebagai gula-gula untuk mendapat kuasa atau untuk memperkukuhkan kuasa.
Ruang demokrasi dan masyarakat madani adalah isi dengan kuku. Dua konsep ini seperti aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Ruang demokrasi wajib diwujudkan terlebih dahulu sebelum munculnya masyarakat madani. Masyarakat madani hanya akan memperlengkapkan perayaan ruang demokrasi itu.
Masyarakat madani tidak mungkin wujud melalui slogan atau laungan retorik politik. Ujian pertama untuk melihat sama ada seseorang itu menghayati konsep falsafah masyarakat madani ialah pandangan mereka terhadap ruang demokrasi hak individu. Jika mereka tidak menghormati hak demokrasi individu bermakna mereka tidak menghayati masyarakat madani.
Secara kasar masyarakat madani ialah sebuah masyarakat yang wujud di antara ruang kuasa daulah dengan ruang hak milik individu. Ruang masyarakat madani bukan dikuasai oleh daulah dan tidak juga dimiliki oleh individu. Ruang ini dimiliki bersama secara kolektif oleh semua anggota masyarakat. Di dalam masyarakat madani, daulah menghormati ruang demokrasi milik individu dan individu pula menghormati ruang kuasa daulah.
Jika falsafah dan konsep ini telah difahami maka tidak mungkin timbul bantahan terhadap konsert Battle of Brutal , konsert XPDC atau konsert apa saja. Bantahan ini jangan disalah tafsir untuk disamakan seperti bantahan orang ramai terhadap kuasa kezaliman daulah. Jika tafsiran ini ditimbulkan nyatalah mereka yang menggunakan tafsiran ini gagal untuk memahami garis pemisah diantara kuasa daulah dan ruang demokrasi.
Bantahan terhadap konsert muzik sering terjadi apabila sekumpulan anggota masyarakat - mungkin besar atau kecil telah cuba memaksa satu kumpulan lain - mungkin besar atau kecil - dari menikmati jenis hiburan yang mereka suka. Perkataan yang maha penting disini ialah paksa. Mereka dipaksa untuk tidak menikmati apa yang mereka suka. Mereka tidak dibenarkan meraya dan menikmati bentuk seni yang mereka minati. Jelas pemaksaan ini telah menerbus dan menceroboh ke dalam ruang demokrasi individu.
Pemaksaan ini telah cuba ''dihalalkan'' dengan pelbagai cara. Cara yang paling popular digunakan untuk orang Melayu yang beragama Islam ialah hujah maksiat. Hujah maksiat ini menjadi ''Akta ISA'' yang dilemparkan untuk menakut-nakutkan anggota masyarakat itu sendiri. Tidak ada kefahaman tentang asas seni, bentuk seni atau daya kreatif yang cuba dihuraikan dalam konteks hujah maksiat ini. Bila dilemparkan ''bom maksiat'' ini maka semua anggota masyarakat akan bertempiaran lari. Justeru diharapkan muzik dan konsert rock akan berhenti dan tidak diminati umum.
Melalui ''bom maksiat'' ini kuasa daulah telah juga di-''usik-usik''. Daulah digambarkan sebagai bersubahat kerana telah memberi tauliah kepada pementasan konsert ini. Oleh kerana pihak daulah telah memberi tauliah, maka menurut hujah ini daulah juga turut sama bergelumang dalam kancah maksiat.
Jika ''bom maksiat'' tidak mencukupi maka akan disadur pula dengan bom ''anti budaya Barat''. Anti budaya Barat digunakan untuk memperkukuhkan lagi ''bom maksiat'' yang mungkin tidak diendahkan oleh masyarakat bukan Melayu. Kalau dizaman Perang Dingin dahulu ''komunis dan sosialis'' telah dijadikan ''hantu jerangkung'' untuk menakut-nakutkan orang ramai. Kini ''jerangkung''nya ialah budaya Barat yang dimport. Melalui ''hantu jerangkung'' ini kumpulan penentang konsert rock berharap mereka akan dilihat sebagai nasionalis patriotik yang suci dan bersih.
Semua ini adalah hujah enteng yang dilihat dari sudut pandangan yang gagal mengambil kira insan sebagai individu yang kompleks, berfikir, bernaluri, bernafsu dan berbeza diantara satu dengan yang lain. Hak ruang demokrasi individu dan citarasa yang berbeza-beza tidak ditimbulkan.
Penganut ''bom maksiat'' ini telah tersalah tafsir. Mereka menganggap keserupaan sebagai kesaksamaan. Mereka mengharapkan semua manusia ini serupa. Harapan ini samalah seperti mengharapkan S. Jibeng memberi komentar tentang lukisan Gelombang Latiff Mohidin.
Pada hakikatnya insan dalam apa saja bentuk tidak mungkin dapat diserupakan. Individu mungkin boleh diserupakan melalui bentuk uniform, diseragamkan tempat tinggal mereka, diwajibkan memakai itu dan ini, dipaksa mendengar ceramah itu atau khutubah ini tetapi tidak mungkin ada kuasa pun dapat memiliki semangat , citarasa, jiwa dan spiritualiti individu. Di dalam konteks ini , apa yang wajib dipertahan dan diperjuangkan ialah kesaksamaan darjat dan hak individu.
Justeru, dalam sebuah masyarakat madani, satu kumpulan kecil atau besar berhak untuk membantah, berdemo dan menunjukkan perasaan mereka. Mereka berhak untuk membantah konsert XPDC atau konsert apa saja. Mereka berhak untuk membantah penutupan majalah Detik atau akhbar Harakah . Mereka berhak untuk bersuara menentang undang-undang yang zalim. Semua ini adalah hak individu yang wajib diperkukuhkan demi menjana kelahiran masyarakat madani.
Ruang demokrasi dan hak individu adalah asas untuk mendindingi mereka agar dapat menyuarakan pandangan, berdemo atau menunjukkan perasaan. Hak asasi ini yang wajib diperkembang dan dipertahankan oleh individu dan juga oleh daulah. Suara bantahan mereka wajib didengar secara terbuka dan demokratik. Pandangan dan bantahan mereka juga boleh pula dihujah kembali secara demokratik.
Masyarakat madani ialah sebuah masyarakat demokratik yang mendewasa dan dapat merayakan pelbagai pendapat dan pandangan. Masyarakat ini juga mengizinkan perbezaan citarasa di atas dasar kesaksamaan darjat. Untuk merayakan kepelbagian jalur pandangan, masyarakat tidak memerlukan hantu jerangkung, bom moral atau bom maksiat.

