Hak asasi, bisul PM
Di sini, kita wajib pula memahami asas ekonomi politik kepartian di negara itu. Ada dua parti terbesar - Demokrat dan Republikan - yang mewakili kepentingan kelas pemodal Amerika.
Syarikat-syarikat gergasi yang berkepentingan dengan kompleks industri persenjataan biasanya menyokong Republikan. Manakala Demokrat mewakili kepentingan industri dalam negeri, industri pertanian dan kaum pekerja Amerika.
Parti Republikan lebih menjurus kepada fahaman politik yang lebih kanan. Ia menyokong dasar prosenjata nuklear dan membawa dasar memperbesarkan angkatan tentera Amerika. Justeru pentabiran mereka lebih selesa dengan jiwa regim-regim diktator, junta tentera atau antidemokrasi di negara-negara Dunia Ketiga seperti Malaysia.
Manakala Demokrat membawa falsafah liberal demokratik. Ia tidak senang dengan regim tentera atau regim ganas yang antidemokrasi. Pada tahun 1977, sesudah mengalami kekalahan di Vietnam, Amerika Syarikat yang ditadbir Demokrat di bawah pimpinan Jimmy Carter (seorang peladang kacang) telah mengeluarkan Doktrin Carter. Doktrin ini memasukkan hak asasi manusia ke dalam dasar luar negara itu.
Pada zaman pentabiran Carter, kita melihat junta tentera seperti Jeneral Samoza di Nicaragua tumbang. Regim Ahmad Reza Pahlavi (atau Shah Iran) tumbang di Iran. Carter juga memulangkan Terusan Panama kepada rakyat Panama - tetapi kemudiannya dirampas kembali oleh Ronald Reagan (Republikan) dan dipulangkan kembali oleh Bill Clinton (Demokrat).
Seluruh Asia Tenggara berubah semasa parti Demokrat di bawah Clinton berkuasa di Rumah Putih. Thailand, Filipina dan Korea Selatan menjadi lebih demokratik. Paling menonjol ialah di Indonesia, regim Jeneral Suharto tumbang. Sementara Timor Timur berjaya mencapai kemerdekaan setelah 23 tahun dijajah Indonesia.
Agenda hak asasi manusia yang menjadi tiang seri dasar luar negara Amerika itu sedang menghantui regim di negara-negara seperti Malaysia yang terlalu buruk rekod hak asasi manusianya. Pentabiran Demokrat pula mengaitkan dasar ekonomi dan pelaburan mereka dengan rekod hak asasi manusia sesebuah negara.
Dasar hak asasi inilah yang menjadi bisul kepada Mahathir.
Apa yang ditentang olehnya bukanlah kepentingan pemodal syarikat multinasional Amerika. Mahathir dengan tangan terbuka, malah sanggup menyembah-yembah agar pelabur dari Amerika datang ke Malaysia. Beliau menyediakan pelbagai insentif kepada syarikat antarabangsa agar datang mengaut untung di Malaysia. Perdana Menteri hanya tidak senang dan risau terhadap dasar pentabiran Demokrat yang menimbulkan isu hak asasi manusia.
Apa yang disuarakan oleh Al Gore dua tahun dahulu sempena satu persidangan APEC di bangunan PWTC adalah sebahagian daripada Doktrin Carter. Bagi Demokrat, jika sesebuah kerajaan itu telus dan demokratik, maka tidak mungkin kerajaan itu dapat ditumpaskan oleh 'kumpulan pelampau' dari puak kiri atau kanan.
Untuk jangka panjang, dasar ini lebih menguntungkan kepentingan pemodal Amerika di negara ini. Dasar ini dilihat daripada pengalaman Amerika sesudah kekalahan di Vietnam.
Sikap antiimperialis mempunyai ciri dan pola dalam perlakuan politik harian. Sifat utama sebuah kerajaan yang antiimperialis ialah menolak kepentingan pemodal besar sama ada tempatan dan luar negara. Kerajaan yang antiimperialis akan menyebelahi kepentingan majoriti rakyat negaranya.
Mahathir tidak berbuat demikian. Malah melalui Umno dan jentera daulah, beliau sedang menginjak-injak hak asasi rakyat negara ini. Lihatlah bagaimana beliau mengambil wang rakyat untuk menyelamatkan harta konco-konco dan anaknya sendiri.
Melalui dasar penswastaan pula, harta rakyat telah dirampok oleh Mahathir dan konco-konconya. Kapitalis tempatan sedang mengganas melalui pelbagai akta industri yang tidak menyebelahi kepentingan buruh dan pekerja. Melalui akta tanah, tanah pusaka dan tanah wakaf juga tidak lagi selamat daripada dirompak oleh Mahathir dan kroninya.
Sebagai rakyat biasa, kita tidak ada kepentingan untuk bangun mempertahankan kepentingan kaum kapitalis tempatan yang sedang tergugat. Sama ada pemodal ini Melayu, Cina atau India - kepentingan mereka berlawanan dengan kepentingan rakyat biasa.
Walaupun mereka kapitalis tempatan Melayu-Islam dan membaca bismillah sebelum makan, ini tidak bererti mereka tidak menindas.
Kapitalis Hindu, Buddha atau Islam sama sahaja - mereka menolak dan menyerang kelahiran satu sistem ekonomi yang lebih telus dan adil agihan ekonominya. Mereka bersatu untuk meluluskan pelbagai undang-undang dan akta yang boleh membantu menaikkan keuntugan perniagaan mereka.
Apa yang wajib kita lakukan ialah menyuarakan pandangan bahawa kita bukan hanya menolak dasar antirakyat dan prokapitalis Umno; kita juga sama-sama menolak dasar globalisasi dan perdagangan bebas yang disarankan oleh Bank Dunia, IMF atau WTO.
Kapitalis komprador, kapitalis nasional dan pemodal multinasional semuanya bersekongkol untuk memerah harta kekayaan negara ini.
Duduk semeja dengan Fidel Castro atau menghisap cerut Havana tidak akan menjadikan seseorang itu antiimperialis. Mahathir dan Umno tidak pernah mempunyai sentimen antiimperialis.
Ikan masin di pasar Chow Kit lebih antiimperialis daripada Mahathir Mohamad!

