Romantisnya Beirut dan lorong gelap di Kola
Saya tidak akan melupakan bagaimana pada 13 Oktober 1973, kami dari Universiti Malaya telah keluar menunjuk perasaan untuk menyokong perjuangan adil rakyat Palestin - dan Bangunan AIA di Jalan Ampang menjadi sasaran kami.
Pelajar Universiti Malaya daripada pelbagai jalur politik telah sebaris di jalan raya untuk menyatakan semangat setiakawan kami kepada rakyat Arab yang sedang berperang menentang Isreal.
Seperti biasa, kami dibedil dengan gas pemedih mata. Tetapi tiga hari kemudian kami keluar lebih ramai lagi. Pelajar-pelajar UKM, ITM dan kumpulan belia juga turut serta. Kerana jumlah dan kekuatan yang ampuh, maka para pemimpin pelajar telah diterima masuk ke dalam bangunan kedutaan.
Wakil duta Amerika terpaksa berhadapan dengan para pemimpin pelajar dan menerima nota bantahan kepada Amerika Syarikat yang dianggap oleh pelajar sebagai dalang dan penyokong setia negara Isreal.
Jadi, apabila Tentera Merah Jepun menawan bangunan AIA beberapa bulan kemudian, saya tidak dapat menyorok rasa gembira di dalam hati, walau pun ketika itu waran tangkap telah dikeluarkan dan saya sedang dicari pihak berkuasa.
Saya adalah antara beberapa pemimpin pelajar yang dibenarkan masuk ke dalam Bangunan AIA. Malah hingga ke hari ini, saya masih teringatkan muka penjaga lif yang membawa kami ke tingkat sembilan untuk menemui wakil duta.
Penjaga lif yang berbadan besar ini berlagak kasar dan sombong. Dia berasa dirinya lebih Amerika daripada orang Amerika! Dengan angkuh, dia menolak-nolak kami ketika di dalam lif. Apabila dia dicederakan oleh Tentera Merah Jepun, maka saya anggap satu karma telah sampai kepada penjaga lif yang sombong ini.
Episod Tentera Merah Jepun berakhir apabila lima rakan mereka yang sedang dipenjara di Tokyo dibebaskan. Semua mereka kemudiannya terbang dari Tokyo ke Subang dan akhirnya ke Algeria. Mereka juga mendapat enam juta dolar wang tebusan.
Sejarah 1970-an terus bergerak dan saya meninggalkan Malaysia untuk sampai ke Lebanon. Pada waktu saya sampai, Lebanon sedang menghadapi perang saudara yang bermula awal April 1975.
Kumpulan gerakan pembebasan Palestin daripada semua jalur ideologi berundur dari Jordan setelah dipukul teruk oleh Raja Jordan Al-Malik Husin pada September 1971. Kini gerakan pembebasan Palestin mendirikan pejabat dan pengkalan-pengkalan gerila di Lebanon.
Bagi saya, Lebanon pada tahun 70-an samalah seperti Sepanyol pada 1940-an dahulu. Earnest Hemingway, George Orwell dan puluhan lagi dari kumpulan kiri telah datang ke Sepanyol untuk menentang tentera fasis Jeneral Franco di bawah naungan International Brigade.
Kali ini kami, anak-anak muda dan pelajar dari seluruh dunia telah datang berkumpul di Lebanon untuk mendirikan 'international brigade' kami pula.
Kota romantis Beirut, ibu kota Lebanon, terletak di pinggir persisiran Laut Tengah. Cuaca Laut Tengah yang nyaman menambahkan lagi keindahan kota kosmopolitan - kota pertembungan dua budaya, Eropah bertemu Timur.
Kota Beirut berjaya melambai datang individu-individu kiri dan berbagai-bagai kumpulan revolusioner dari seluruh dunia. Kami datang untuk mempertahankan hak rakyat Palestin daripada diganyang oleh kekuataan tentera fasis Falangis. Parti Falangis Lebanon yang berfahaman ekstrem kanan dari segi sejarahnya adalah cabang dari parti Falangis Jeneral Franco.
Melalui teman-teman kumpulan pelajar dari Damascus (Damsyik), saya dibawa melintasi pergunungan Bekka yang memisahkan Syria dengan Lebanon. Pemandu kereta kami cukup arif untuk mengelak daripada terjerat dalam perkampungan musuh.
Kami merentasi jalan-jalan kecil di pergunungan ini sehingga selamat sampai ke kawasan yang dikuasai oleh kumpulan gerila Palestin. Kami berhenti di satu kawasan yang dipanggil Kola, berhampiran Universiti Arab.
Saya diberitahu nama Kola muncul kerana tidak jauh dari kawasan ini ada sebuah kilang pembuat minuman air botol yang dipanggil Kola. Di kawasan ini terletak bangunan Universiti Arab.
Di daerah ini juga berdiri rumah-rumah pangsa kelas menengah, pasar dan kedai. Di pinggir daerah Kola, muncul pula kawasan miskin dan kumpulan penduduk setinggan rakyat Lebanon, pelarian Palestin dan Armenia.
Maka tidaklah ganjil apabila PLO, Al-Fateh, Barisan Popular, Barisan Popular Demokratik, Liga Arab dan pelbagai organisasi gerila serta massa mendirikan pejabat mereka dalam kawasan Universiti Arab.
Gerakan pembebasan Palestin senang mengambil rekrut dari kalangan mahasiswa dan sokongan tenaga anak-anak muda dari kawasan setinggan.
Dalam rumah-rumah pangsa ini terdapat pula pejabat-pejabat rasmi gerakan pembebasan Palestin. Banyak juga rumah pangsa yang dijadikan 'khemah' tempat gerila berehat. Pejuang di Beirut adalah gerila bandar dan mereka beristirehat di dalam rumah-rumah pangsa.
Saya
ditempatkan di sebuah rumah pangsa bersama satu kumpulan pelajar dan mahasiswa
Arab - ada yang datang dari Tunisia, dari Maghribi dan ada juga dari Paris.
(Bahagian 2 tulisan ini akan diterbitkan pada Khamis ini)

