Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak sama kebolehannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mentadbir negara termasuk menghadapi isu-isu antarabangsa, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, Abdullah tidak mempunyai kekuatan untuk mengendalikan masalah rakyat dan adakalanya membuat keputusan secara gopoh gapah.

"Kita lihat dalam isu tuduhan rasuah, begitu cepat beliau membuat keputusan menutupnya," katanya yang dipercayai merujuk kepada kes yang membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Zulkipli Mat Noor.

Baru-baru ini, Peguam Negara Tan Sri Gani Patail mengarahkan BPR menutup siasatan ke atas kedua-dua mereka daripada tuduhan rasuah dan Perdana Menteri mahu kes tersebut tidak diungkit lagi.

Siasatan itu djalankan berhubung dakwaan bahawa Musa menerima rasuah RM 2 juta untuk membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat. Zulkipli pula disiasat berhubung dakwaan salahlaku dan salahguna kuasa yang dibuat oleh bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan.

Selain itu, Abdul Hadi berkata, masalah hubungan kaum juga tidak ditangani dengan baik sehingga masyarakat menjadi bercelaru.

Hadi memberitahu demikian ketika ditemui sewaktu melawat malaysiakini hari ini. Hadir sama ialah Senator Mumtaz Mohd Nawi dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat (AJK) Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Hubungan dengan PAS

Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, dalam isu antarabangsa, terutama dalam Pertubuhan Negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara Berkecuali (NAM), terdapat perbezaan yang ketara antara Dr Mahathir dan Abdullah.

Katanya, Dr Mahathir, dalam memimpin kedua-dua pertubuhan antarabangsa tersebut, telah menunjukkan beliau lebih berkarisma dari Abdullah.

"Abdullah melakukan perubahan yang begitu cepat dalam pilihanraya umum 2004 tetapi selepas itu banyak isu yang tidak boleh ditangani," katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang, Terengganu juga bercakap mengenai hubungan baik parti itu dengan Dr Mahathir terutama sejak bekas Perdana Menteri itu melepaskan jawatannya pada 2003.

Abdul Hadi berkata, hubungan baik antara PAS dengan Dr Mahathir telah lama wujud iaitu pada 1969, ketika bekas Presiden Umno itu dipecat dari Umno.

Katanya, PAS penah menawarkan Dr Mahathir untuk berkempen di kerusi Kapar ketika ahli dan penyokong Umno takut untuk mendekati beliau.

Menurutnya, PAS mempunyai persamaan pendapat dengan Dr Mahathir dalam beberapa isu seperti Bosnia, Palestin dan anti-nuklear.

Ketika ditanya adakah PAS sedia menawarkan kerusi untuk Dr Mahathir bertanding atas tiket parti itu dalam pilihanraya umum akan datang, Abdul Hadi secara berseloroh berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu menjadi ahli PAS terlebih dahulu.

"Sekarang Dr Mahathir di luar rumah (Umno), masa dalam rumah dia tidak nampak apa yang ada," katanya.