Timbalan Pendakwaraya Sallehuddin Saidin menafikan bahawa beliau telah meletakkan jawatan ekoran spekulasi yang tertiup kencang bahawa beberapa beberapa orang pendakwaraya telah meletakkan jawatan kerana dikatakan tidak sehaluan dengan Peguam Negara.

Ketika dihubungi, beliau yang juga Ketua Unit Kes Terkelas di bahagian pendakwaan, menafikan spekulasi yang beliau telah menyerahkan surat perletakannya tiga hari lalu.

Beliau yang digugurkan daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam kes bunuh Altantuya Shaariibuu, menyifatkan ianya sebagai khabar angin sahaja.

Sallehuddin bagaimanapun memberitahu bahawa beliau telah memohon untuk bersara awal tetapi tidak menjelaskannya dengan lebih lanjut.

Sejak semalam, khabar angin bertiup kencang bahawa sekumpulan pendakwaraya akan meletakkan jawatan hari ini kerana kerana tidak bersetuju dengan cara Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail mengendalikan beberapa perkara.

Selain Sallehuddin, khabar angin itu menyebut, antara mereka yang telah meletakkan jawatan ialah Ketua Jabatan Pendakwaan, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan sekurang-kurangnnya dua ketua pendakwaraya di peringkat negeri.

Ketika dihubungi hari ini, Mohd Yusof bagaimanapun menafikan yang beliau telah meletakkan jawatan.

Dalam jawapannya melalui SMS, beliau memberitahu malaysiakini bahawa ianya tidak betul.

Peguam Negara pula tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai perkara tersebut, walaupun malaysiakini telah mencuba beberapa kali.

Jun lalu, Salehuddin yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu telah digugurkan sehari sebelum kes itu mula didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Peguam Negara kemudiannya mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa Sallehuddin diganti kerana beliau dilihat bermain badminton dengan Hakim kes tersebut, Datuk Mohd Zaki Mohd Yasin. Berita asal