Daulah digugat demokrasi siber
Seperti akhbar, telefon, radio atau televisyen, internet kini produk terbaru tamadun manusia.
Seorang anak yang dilahirkan hari ini akan membesar dan menerima internet sama seperti kita menerima radio dan tv. Objek-objek ini akan menjadi aksesori kehidupan moden. Kita tidak lagi mempersoalkan kewujudannya. Malah kehidupan kita akan diperlengkapkan dan lebih selesa dengan bantuan objek-objek baru ini.
Justeru objek-objek moden ini akan terus mempengaruhi proses pembudayaan. Kita akan dipaksa menyediakan tempat dan berkongsi ruang dengan objek ini. Kewujudaan objek baru ini menjadi penting, lalu ia berupaya menggaris dan mendorong arah budaya kita.
Contoh pertama yang masih segar dalam ingatan kolektif kita ialah kemunculan kafe siber (cyber cafe) di setiap pelusuk negara. Dari kota besar hingga ke pekan kecil, kita boleh bertemu kafe ini. Di mana saja ada talian telefon, pasti kita akan dapat bertemu dengan lanskap baru ini. Kemunculan objek moden ini jelas telah mengubah lanskap persekitaran. Sekali gus lanskap ini akan memandu dan mencorak budaya fikir kita.
Mereka yang lahir sebelum merdeka, atau pada dekad pertama sesudah itu, pasti akan teringat rupa bentuk dan aroma kedai membeli getah. Hari ini, kedai getah telah hampir pupus dan hanya tinggal dalam ingatan kolektif. Ruang kosong yang ditinggalkan oleh kedai getah telah diambil alih oleh kedai permainan video, kedai cakera padat atau yang terbaru kafe siber.
Kafe ini dan teknologi internet membolehkan orang ramai meneroka ruang siber. Namun, teknologi ini masih lagi di peringkat awal. Masih lagi belum popular dan ia belum dilihat umum sebagai satu yang biasa seperti melihat radio atau tv.
Jumlah anggota masyarakat yang terusik oleh internet masih lagi kecil. Tapi, sama seperti kesampaian tv atau radio pada satu ketika dahulu, ruang siber akan terus mengembang untuk mempengaruhi proses pembudayaan.
Ke mana arah dan jalur yang akan dibawa oleh ruang siber masih belum begitu jelas. Huha-huha tentang Koridor Raya Multimedia (MSC), tentang e-perniagaan, universiti maya dan sebagainya boleh dilihat sebagai tanda-tanda bahawa daulah ingin terus memiliki dan mengawal ruang siber yang baru dibuka ini.
Daulah, di negara dunia ketiga, tidak akan melepaskan satu ruang baru untuk dikongsi bersama dengan orang ramai secara demokratis. Daulah yang berpaksikan modal dan keuntungan sedang melihat ruang baru ini sebagai ruang untuk mencari dan menimba kekayaan. Pemodal-pemodal kecil dan besar sedang mengkaji dan meneliti segala bentuk kemungkinan baru yang boleh mendatangkan keuntungan.
Di negara kita, terbukanya ruang siber ini berlaku dalam suasana pergolakan politik. Suasana ini menempatkan ruang siber ke tingkat yang bersejarah dalam proses ingatan kolektif dan pembudayaan kita.
Ruang ini mula terbuka dalam era pertembungan dan peralihan dua zaman. Pergolakan politik yang berlaku dua tahun kebelakangan boleh dibaca sebagai pertembungan dua budaya - pemikiran lama bertembung dengan budaya pemikiran baru.
Budaya dan hukum-hukum sosial yang sedia wujud telah menyempitkan ruang demokrasi orang ramai. Kuasa daulah telah memonopoli pelbagai ruang umum yang seharusnya kita miliki bersama.
Daulah turut menyempit atau terus menutup ruang-ruang umum yang seharusnya dapat dimanfatkan untuk membina fikrah orang ramai. Justeru, apabila terbuka ruang siber, orang ramai menjadi teruja dengan kemungkinan-kemungkinan baru.
Ruang siber terus disambut untuk dinobatkan sebagai protagonis pemikiran baru. Umum berharap ruang ini akan dimiliki bersama dan membolehkan orang ramai meneroka tanpa hukum dan syarat-syarat baru.
Daulah kini dilihat sebagai antagonis yang mewakili pemikiran lama - ingin terus mempertahankan apa saja yang lapuk, kolot, mundur dan mencengkam serta cuba merencatkan perjalanan tamadun manusia.
Ruang siber yang baru terbuka kini akan menjadi arena pertembungan dua jalur pemikiran: baru dan lama; daulah dan rakyat. Ruang ini juga akan membawa kontradiksi baru dalam proses pembudayaan itu. Yang baru akan berkontradiksi dengan yang lama untuk melahirkan sintesis budaya baru.
Pertembungan dua arus pemikiran ini masih belum selesai. Suasana pergolakan politik ini sedang memaksa orang ramai untuk melihat diri, memeriksa kedudukan dan memihak.
Apa yang jelas hari ini ialah ruang yang baru terbuka ini lebih banyak memberikan kemungkinan kepada sesiapa saja yang mempunyai daya fikir, daya kreatif untuk menampilkan apa saja yang segar, baru dan mencabar. Daya fikir dan daya kreatif yang segar hanya dimiliki oleh orang muda.
Kerana kemudaan, mereka bebas daripada beban-beban sosial atau budaya. Ini menjadikan mereka berani meneroka, tanpa takut dan segan silu untuk melihat apa saja kemungkinan yang dibawa oleh ruang siber. Di sinilah kemungkinan dan harapan untuk lahirnya asas baru pembudayaan yang lebih demokratik.
Ruang siber adalah ruang alternatif - politik dan budaya - dalam negara kita. Ruang ini sedang tersedia untuk sesiapa saja yang berjiwa muda; yang berani meneroka dan bereksperimen untuk bersaing dan mencabar yang lama.
Pemikiran lama, walaupun dapat dipertahankan dengan kuatkuasa daulah, lama kelamaan akan terpaksa mengundur.

