Teknologi internet berjaya membuka budaya siber yang baru untuk tamadun manusia hari ini. Ke manakah arah atau apakah rupa bentuk budaya ini masih belum jelas. Seperti muntahan lava dari gunung berapi, teknologi internet masih cair dan sedang mengalir ke setiap celah dan ruang sebelum ia membeku.

Kelahiran objek, istilah, lingo, kepercayaan, mitos dan kumpulan-kumpulan masyarakat siber pasti akan memeriahkan budaya pascamodeniti yang semakin dirasakan bosan dan tidak mencabar lagi. Budaya siber yang baru dan muda pasti menarik dan mengghairahkan.

Dalam tahun 1960-an dulu, dunia moden digemparkan oleh Perang Vietnam. Perang ini melahirkan budaya baru untuk generasi muda - falsafah hidup, ideologi politik, fesyen pakaian, politik seksual dan gerakan massa yang diperkukuhkan oleh muzik rock n roll. Hingga ke hari ini pengaruh besar generasi 60-an masih terasa.

Tahun 60-an juga melahirkan debat politik melalui pendekatan aliran kiri dan kanan. Dunia yang pada ketika itu terbahagi kepada dua kutub - Amerika Syarikat dan (bekas) Kesatuan Republik Soviet Russia - telah merancakkan intelektualisme dunia. Pelajar, mahasiswa dan anak muda di seluruh dunia bangun menjana gerakan massa untuk mendobrak generasi tua. Generasi 60-an melahirkan ratusan protagonis revolusi daripada aliran kiri dan kanan.

Kerancakan budaya ini juga melahirkan satu kumpulan yang dipanggil cafe revolutionaries atau 'pejuang revolusi kafeteria'. Panggilan ini sebenarnya mencemuh para intelektual (terutama di kota Paris) yang hanya pandai berteori dan berdakwah tentang revolusi tetapi duduk di kafe dan tidak pernah menyusun serta melakukan gerakan massa.

Hari ini dalam era siber, muncul satu lagi kumpulan baru yang kelihatan telah mengikut jejak langkah protagonis pejuang revolusi kafeteria ini. Kalau tahun 60-an dahulu mereka duduk bersembang dan berdakwah tentang teori revolusi sambil minum kopi di kafe, kali ini "kumpulan" baru duduk bersendirian melayari internet di siber kafe. Tidak salah jika kita panggil mereka ini sebagai "pendakwah siber" - bagi membezakan mereka daripada pahlawan siber (cyberwarriors), satu kumpulan lain yang lebih radikal yang berkerja mengembangkan idea dan pandangan di ruang siber untuk membawa perubahan struktur yang asasi terhadap tamadun moden.

Sesiapa yang mempunyai talian internet pasti pernah dihubungi oleh pendakwah siber kelas tiga ini. Taktik perjuangan mereka yang paling popular ialah menghantar surat berantai. Surat berantai adalah taktik propaganda kuno yang digunakan apabila setem dan sistem pos diwujudkan. Dalam era ini, surat berantai dari pendahwah siber tidak banyak perbezaan daripada surat berantai yang kita terima dari pejabat pos dahulu. Yang berbeza cuma hari ini surat berantai dihantar dalam alam siber.

Pada zaman surat kiriman dahulu, surat berantai bertujuan menakut-nakut penerimanya. Kali ini taktik yang sama masih digunakan di ruang siber. Diharapkan surat yang "menakut-nakutkan" ini akan membuka kesedaran kepada si pembaca. Kunci utama di sebalik surat berantai pendakwah siber ialah "takut".

Maka bertaburanlah di ruang siber surat-surat tentang seorang hamba Allah yang tidur di sebelah makam Nabi dan bermimpi mendapat pesanan untuk menyeru umat Islam kembali ke jalan yang benar. Jika engkar, mereka akan ditimpa berbagai-bagai malapetaka seperti gempa bumi, taufan, banjir atau wabak penyakit. Hamba Allah yang bermimpi ini kononnya terus menulis surat kepada kawan-kawannya dan meminta mereka menulis surat yang sama kepada kawan-kawan mereka pula. Agar surat ini tidak terputus, unsur takut digunakan kepada si penerima sebagai motivasi untuk menyalin dan mengedarkan mesej tersebut. Jika si penerima gagal menyebarkan surat ini kepada kawan yang baru, maka si penerima akan menerima malapetaka.

Surat komedi seperti inilah yang sering disebarkan oleh pedakwah siber kelas ketiga di internet. Contohnya tidak berapa lama dahulu muncul surat berantai 'air suci' (holy water) yang bermula dari kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang. Surat tentang 'air suci' ini memasuki setiap kumpulan emel Melayu-Islam di ruang siber. Untuk beberapa minggu, isu 'air suci' yang cukup "menakutkan" ini dibincangkan. Tapi akhirnya isu ini mati tanpa kubur.

Pada awal tahun ini muncul pula surat berantai Coca Cola. Menurut surat itu, jika tanda logo jenama minuman ini dilihat melalui cermin, maka akan dapat dibaca tulisan Arab yang berbunyi dan bermaksud 'Tanpa Muhammad, Tanpa Mekkah'. Menurut surat berantai ini, Coca Cola telah mempersendakan Islam. Untuk memperkukuhkan kesahihan surat berantai itu, satu surat dalam bahasa Arab dilampirkan.

Pelbagai jenis surat berantai disebarkan oleh pendakwah siber. Contohnya ada surat tentang minuman ringan yang bercampur alkohol, isu daging burger yang bercampur dengan daging babi, atau isu ukiran rantai yang menyerupai salib. Atau, isu lelaki berpakian kemas yang kerjanya hanya menunggu anak-anak muda di perhentian bas. Lelaki ini berpura-pura membantu tetapi cita-citanya ialah untuk mengkristiankan anak-anak muda ini. Dan akhir-akhir ini, ada pula surat berantai tentang satu jenama kasut yang menggunakan kulit babi sebagai pelapik.

Sama seperti 'pejuang revolusi kafeteria' 60-an dahulu, pendakwah siber kelas ketiga ini sebenarnya sedang memperagakan kerendahan mutu pemikiran mereka sendiri dalam ruang siber. Tanpa disedari, mereka sedang menunjukkan kepada dunia bahawa kepercayaan orang Melayu terhadap agamanya terlalu rapuh sekali. Hanya dengan meneguk secangkir 'air suci,' mereka akan mengubah pegangan agama mereka. Atau hanya dengan membeli seutas rantai, mereka akan kehilangan keyakinan terhadap Islam.

Mereka kurang sedar bahawa individu yang terikat dengan talian internet memerlukan falsafah dan pandangan yang lebih tinggi dan canggih daripada isi surat berantai. Menakut-nakutkan pembaca melalui surat berantai tidak mungkin lagi dapat mengubah manusia pascamodeniti ke jalan benar.

Ruang siber kini mempercepatkan dan mempermudahkan kecapaian maklumat kepada pembaca. Berjuta-juta jenis maklumat boleh dibaca melalui ruang siber. Kalau dulu cerita ribut taufan di Wadunga Wadungu yang menelan ribuan mangsa kerana engkar kepada perintah Allah boleh diterima sebagai sahih. Tetapi hari ini maklumat seperti ini akan diselidiki melalui internet. Malah identiti manusia yang bermimpi di makam Nabi itu pun boleh dicari dan diselidiki.

Pendakwah siber kelas tiga yang cuba membawa "kebenaran" melalui surat berantai akan menjadi sebahagian daripada mitos dan legenda komedi moden. Mereka seperti lalat di siang hari, agas di waktu senja dan nyamuk di waktu malam - mengganggu tetapi tidak akan membawa apa-apa perubahan hakiki. Dengan teknologi komputer, maklumat mereka tidak akan disimpan untuk dibaca tetapi dipadam ke tong sampah.