Pecat menteri tak cekap - hak siapa?
Mungkin juga Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, sedang memberi amaran kepada ahli-ahli kabinetnya yang tidak menjalankan tugas dengan memuaskan, atau beliau sedang membuat persediaan untuk rombakan kabinetnya.
Namun, sangkaan penulis kali ini silap kerana gesaan tersebut sebenarnya datangnya daripada beberapa ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dalam parlimen, antaranya Datuk Bung Moktar Radin, Datuk Mohamad Aziz dan Datuk Dr Yusof Yacob.
Mereka dilaporkan telah menggesa Perdana Menteri supaya bertindak tegas terhadap kementerian dan jabatan yang tidak cekap, termasuk memecat menteri yang bertanggungjawab.
Perbuatan 'membaling batu' terhadap menteri oleh 'orang sendiri' di hadapan musuh politik dalam Dewan Rakyat yang mulia adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen negara kita.
Pada masa lampau, yang lazim berlaku ialah bila seseorang menteri "diserang" oleh ahli-ahli parlimen pembangkang, tidak kira dia betul atau salah, ramai ahli parlimen BN akan tampil ke depan untuk mempertahankannya Sekarang tak sangka 'orang sendiri' pula yang membuka pekung di dada!
Berani
Perbuatan yang 'luar biasa' dan 'terlalu berani' ini tentu sekali tidak dapat diterima oleh menteri-menteri yang sentiasa terlindung dan dimanjakan selama ini. Maka tidak hairanlah apabila Datuk Seri S Samy Vellu pun melenting dan mencabar: "Panggil dia namakan menteri-menteri itu!"
Tetapi di luar sangkaan Samy, ahli-ahli parlimen BN berkenaan bukan sahaja tidak gentar, malah satu senarai nama menteri-menteri yang dianggap tidak cekap lengkap berserta laporan prestasi mereka telah disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tindakan selanjutnya.
Nampaknya mereka serius dan sungguh berani. Namun, adakah mereka berani kerana benar? Maklumlah ini bukan budaya BN, melainkan ianya satu budaya baru.
Atau mereka berani kerana mendapat sokongan 'orang atas' yang ingin merombak kabinet, dan menteri-menteri pula kebetulan antara yang dipertimbang untuk disingkirkan, justeru itu, gesaan tersebut sengaja dikemukakan untuk menduga reaksinya.
Mengikut Kadir Jasin dalam ruangan 'Other Thots' (Oct 28) dalam New Straits Times, liputan secara besar-besaran Utusan Malaysia mengenai gesaan itu "telah mendorong pemerhati dan penganalisa kedai kopi untuk membuat ramalan mengenai rombakan kabinet".
Tambahnya: "Ini diasaskan kepada fakta bahawa Utusan telah mendahului beberapa perkembangan politik besar, termasuk rombakan-rombakan kabinet dan pemecatan menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri, dengan menerbitkan laporan-laporan 'sensasi' seperti cerita terbabit."
Tidak dapat dinafikan, sebagai media yang menyokong dan rapat dengan kerajaan, Utusan sering dapat membayangkan pandangan dan gerak-geri Umno dan kerajaan BN.
Hak mutlak
Tetapi di pihak yang lain, ulasan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang memang rapat dengan perdana menteri juga perlu dihalusi. Kata beliau: "Inilah pertama kali berlaku seorang ahli parlimen berhasrat membuat laporan mengenai prestasi menteri kepada timbalan perdana menteri."
Tambah beliau: "Penilaian seseroang menteri bukan dibuat oleh ahli parlimen tetapi Dr Mahathir."
Beliau lalu mengingatkan menteri-menteri terbabit bahawa: "Jika mengetahui nama mereka 'tersenarai', mereka berhak mendengar segala dakwaan yang membabitkan mereka. Mereka kemudian berhak bersua muka dengan Datuk Seri Dr Mahathir serta menuntut tindak-balas daripada perdana menteri terhadap dakwaan-dakwaan tersebut."
Rais seolah-olah memberi amaran kepada ahli-ahli Parlimen terbabit tentang kemungkinan tindak-balas daripada perdana menteri sekiranya mereka gagal membuktikan dakwaan-dakwaan yang dilemparkannya.
Rais mengemukakan prinsip BN yang tidak pernah (atau tidak berani?) dipertikaikan oleh sesiapa pun dalam BN, iaitu: pelantikan dan pemecatan menteri adalah hak mutlak perdana menteri.
Daripada prinsip ini, beliau lalu membuat kesimpulan bahawa penilaian seseorang menteri bukan dibuat oleh ahli Parlimen tetapi Mahathir. Dengan lain perkataan, hak mutlak seorang perdana menteri telah diperluaskan sehingga meliputi perlantikan, penilaian dan pemecatan menteri.
Tidakkah prinsip hak mutlak ini memberi kuasa yang terlalu besar sekali kepada seorang perdana menteri? Andainya demikian, apakah perbezaan kuasa seorang perdana menteri dengan kuasa seorang maharaja?
Dan apa akan jadi sekiranya seorang perdana menteri yang berhak mutlak untuk melantik, menilai dan memecat menteri-menterinya itu merupakan seorang yang gilakan kuasa, korup dan mengamalkan nepotisme? Dan bukankah seseorang yang berkuasa mutlak itu akan korup secara mutlaknya?
Senjata disegani
Sekiranya tuduhan terhadap menteri-menteri yang tersenarai itu terbukti berasas, iaitu tidak cekap, tetapi perdana menteri enggan mengambil tindakan terhadap mereka atas alasan yang lain, umpamanya mereka adalah orang perdana menteri yang taat setia, adakah beliau berhak secara mutlak untuk berbuat demikian?
Pada zaman-zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Razak Hussein dan Tun Hussein Onn, jarang kedengaran 'hak mutlak' perdana menteri untuk melantik, menilai dan memecat menteri.
Pada zaman Mahathir, terutama akhir-akhir ini, 'hak mutlak' perdana menteri itu sering dirujuk dan ditekankan. Adakah kerana kuasa pemerintah Mahathir telah goyah sehingga beliau terpaksa menggunakan hak mutlak selaku perdana menteri untuk mengukuhkan kuasa pemerintahnya?
Tidak dapat dinafikan bahawa buat sementara ini, hak mutlak Mahathir selaku perdana menteri untuk melantik, menilai dan memecat menteri telah dijadikan senjata yang sangat disegani kawan dan lawan, baik dalam partinya maupun dalam pakatan barisannya.
Namun, ketagih kuasa juga merupakan kelemahan yang berbahaya, kerana kuasa mutlak akan menyebabkan korup yang mutlak, dan mustahil berkekalan kerana bertentangan dengan hasrat rakyat dan amalan demokrasi.

