Paradoks serangan WTC, Pentagon
Malah keganasan yang lebih meluas dan menakutkan mungkin akan digunakan bagi menuntut bela dan mencetuskan perang yang baru.
Serangan maut di dua bandar utama Amerika Syarikat (AS) itu sifatkan tindakan perang oleh Presiden George Bush. Beliau mendapat mandat kongres bagi melancarkan serangan tentera secara berterusan terhadap pengganas yang menyerang negara itu, termasuk memusnahkan tempat perlindungan, sistem sokongan dan membinasakan negara-negara yang menaja pengganas serta keganasan.
Sejumlah US$20 bilion telah diluluskan sebagai perbelanjaan peringkat awal bagi suatu peperangan jangka panjang, sementara pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) turut diheret (walau bercanggah pendirian) dalam kancah yang sebenarnya tanpa batasan.
Osama bin Laden pula dianggap dalang yang paling disyaki di sebalik serangan maut tersebut. Mengikut satu laporan media, Osama dan pertubuhannya Al-Qaeda dipercayai mempunyai berpuluh-puluh pangkalan dan kem latihan di 34 buah negara di seluruh dunia. Cuba bayangkan, jika semua negara tersebut dianggap oleh AS sebagai penaja atau pelindung Osama - tetapi tindakan tentera diambil secara terburu-buru terhadap mereka - bukankah ini bermakna tercetusnya perang besar-besaran di banyak tempat?
Memandangkan serangan tentera bakal dilancarkan terhadap Afghanistan pada bila-bila masa sahaja, kerajaan Taleban pula menggesa rakyatnya dan negara-negara Islam agar bersiap sedia untuk berjihad ke titisan darah terakhir jika negara kuasa besar itu meneruskan niatnya itu.
Pada pihak lain, Presiden Iraq Saddam Hussein pula menegaskan bahawa AS tidak harus melancarkan 'perang salib baru' terhadap umat Islam. Sebaliknya AS hendaklah mengambil iktibar daripada kesengsaraan rakyat Iraq dan Palestin akibat tindakan kuasa besar itu dan Israel.
Tidak patut dikaburi justifikasi
Kemungkinan ini adalah senario ngeri dan paling negatif yang seharusnya dielakkan oleh semua pihak terbabit. Harus ditekankan bahawa serangan maut di AS yang mengorbankan beribu-ribu nyawa orang awam itu adalah tindakan gila yang harus dikutuk dengan sekeras-kerasnya tanpa berdolak-dalik. Pendirian antikeganasan yang tegas juga harus diambil dan diutarakan.
Prinsip utama ini tidak patut dikaburi oleh apa justifikasi, termasuk sentimen agama atau ideologi politik. Kita tidak boleh di satu pihak mengutuk serangan maut di AS, tetapi di pihak yang lain bersorak-sorai atau mengejek negara itu sebagai 'padan muka' sungguhpun dasar-dasar luarnya telah mengecewakan rakyat Vietnam, Palestin, Sudan, Iraq, Yugoslavia, China dan banyak lagi negara.
Sekalipun AS boleh dianggap musuh nombor satu kebanyakan orang di seluruh dunia, ia juga tidak boleh dijadikan justifikasi untuk melakukan serangan maut yang gila dan tidak berperikemanusiaan itu.
Kalaupun ada kemungkinan serangan maut itu dilakukan oleh pengganas yang beragama Islam dan kegiatan keganasan yang terbabit mungkin juga ditaja atau dilindungi oleh negara Islam, namun tanpa bukti kukuh, sangat tidak adil jika tindakan tentera dilancarkan terhadap pihak yang hanya disyaki bertanggungjawab atau penaja serangan itu.
Kumpulan-kumpulan pengganas terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, dan begitu juga mangsa-mangsanya. Andainya pengganas-pengganas yang terlibat dalam serangan maut kali ini terbukti beragama Islam, dan penyokong serta pelindungnya juga membabitkan negara Islam, sementara kebanyakan mangsanya pula orang Kristian, ini tidak bermakna tragedi kali ini satu konflik antara dua agama - atau diperluaskan lagi sebagai konflik kebudayaan Islam dengan Kristian.
Semua agama, termasuk Islam telah mengutuk serangan maut kali ini, dan hampir semua pemimpin negara Islam turut mengutuknya. Pakistan malah dilaporkan meminta kerajaan Taliban agar menyerahkan Osama kepada AS untuk diadili, dan kerajaan Taliban pula dilaporkan sudi menimbangkan cadangan tersebut jika ia mendapat jaminan bahawa Osama akan diadili di mahkamah negara berkecuali.
Tidak dapat dinafikan, serangan maut terhadap AS itu merupakan strategi pengganas yang amat provokatif. Bayangkan sebuah kuasa dunia yang terkuat sekali sekonyong-konyongnya terbukti tidak berupaya untuk menjaga keselamatan nyawa dan harta benda rakyatnya. Badan-badan perisikan yang terkenal canggih seperti FBI, ClA dan agensi keselamatan lain dengan mudah sekali dibolosi oleh segerombolan pengganas yang hanya bersenjatakan pisau dan pemotong kotak yang begitu primitif!
Setelah maruah bangsa dan negara diinjak-injak oleh pengganas yang tidak beradab, dan balas dendam sangat ditagih oleh pentadbiran AS untuk mengembalikan keyakinan dan patriotisme rakyatnya, timbul pula masalah untuk mengenal pasti musuh yang sebenarnya. Musuh negara kuasa besar itu memang banyak, tetapi siapa yang terlibat dalam serangan maut kali ini amat sukar dicam dengan bukti kukuh, terutamanya dalam masa yang singkat.
Perang jenis baru yang luar biasa
Jika AS mengambil tindakan ketenteraan secara terburu-buru tanpa sokongan badan-badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dan matlamat serangan dituju kepada negara Islam tanpa bukti yang meyakinkan, maka AS terperangkap dengan strategi provokasi itu.
Di satu pihak, tindak balas AS itu boleh dituduh 'perang salib baru' seperti kata Saddam Hussein, dan negara Islam yang diserang itu nanti tentunya akan meminta negara-negara Islam lain untuk berjihad menentang kuasa besar itu seperti seruan kerajaan Taliban.
Dalam serangan maut itu, beberapa paradoks telah timbul dan memerlukan perhatian yang lebih saksama dan teliti.
Teori konflik budaya (termasuk agama) walau tidak berasas, namun jika kita kurang sensitif terhadap perbezaan dan sentimen budaya, atau diperangkap oleh strategi provakasi pihak-pihak tidak bertanggungjawab, maka tidak dapat dinafikan mungkin konflik itu akan menjadi kenyataan.
Manusia telah mencapai tamadun tinggi, namun wujud pula kegiatan yang paling tidak beradab, dan sebuah kuasa terkuat yang berbangga dengan ketinggian tamadunnya boleh ditewaskan (buat sementara) dan diancam oleh kekuatan barbarisme sehingga terpaksa mengisytiharkan perang terhadapnya.
Negara kuasa besar yang mempunyai pelbagai senjata dan sistem pertahanan canggih - sentiasa berwaspada - boleh ditewaskan (buat sementara) oleh senjata primitif di luar dugaaan. Ia sama sekali tidak berdaya melawan atau mengelaknya.
Angkatan bersenjata tradisional terpaksa melancarkan perang jenis baru yang luar biasa, iaitu peperangan tanpa medan dan masa yang tetap, tanpa garis depan dan kubu pertahanan yang nyata, dan malah tanpa mengetahui siapa dan di mana musuhnya.
Semua pihak mendakwa mencintai keamanan dan perdamaian, dan ingin mempertahankan keselamatan nyawa orang awam dan harta benda rakyat tetapi kedamaian dan keselamatan rakyat kian hari kian terancam.
Semua pihak mengutuk keganasan, tetapi kegiatan itu makin menjadi-jadi. Sudah tiba masanya masalah keganasan ditangani secara lebih serius oleh badan-badan antarabangsa yang terbabit. Itupun jika umat manusia masih bermaruah dan menganggap diri mereka bertamadun.

