Emosi Amerika selepas serangan
Akhirnya ancaman puak pengganas, atau militan, yang ditakuti negara ini menjadi kenyataan. Walaupun kejadian letupan itu di New York dan Washington, nun jauh beribu-ribu batu tetapi tempiasnya tetap sampai ke sini.
Maka seluruh Amerika Syarikat menuduh Osama bin Laden sebagai perancang utamanya. Presiden George Bush mengisytiharkan perang terhadap pengganas yang bertanggungjawab dan negara yang melindungi mereka. Mujurlah Bush tidak melatah - menuduh Kumpulan Militan Malaysia (KMM).
Amerika Syarikat dengan pantas menuduh pelampau Islam sebagai pihak yang menyerang Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon. Nampaknya Islam sudah sinonim dengan keganasan, sekurang-kurangnya begitulah anggapan orang di negara kuasa besar itu.
Puak-puak anti-Islam menggunakan sepenuhnya tragedi di New York dan Washington untuk memburuk-burukkan Islam. Media massa mereka meniup propaganda yang begitu berkesan atas nama kemanusiaan dan keamanan.
Tanpa bukti nyata, bin Laden dikaitkan dengan keganasan yang meragut maruah negara itu. Kononnya ribuan nyawa orang awam terkorban akibat tindakan militan Islam.
Tidak mungkinkah keganasan ini dilakukan oleh orang lain yang juga mempunyai sentimen anti-Amerika? Seluruh dunia tahu Uncle Sam mempunyai musuh di mana-mana sahaja - sama ada di Amerika Latin, Asia, Eropah atau Timur Tengah. Musuh Amerika Syarikat berada di setiap penjuru dunia.
Bukan sahaja penganut-penganut agama memusuhi Amerika tetapi pencinta hak asasi manusia, pengedar dadah dan senjata api, ekstremis perkauman dan pelampau politik serta puak-puak berhaluan kiri turut berdendam dengan tindak-tanduk Amerika yang menyokong keganasan Yahudi dan amalan double standard dalam memperjuangkan hak asasi manusia.
Amerika sudah lama mencabar rakyat dan negara lain serta musuh-musuhnya untuk bertindak terhadapnya. Oleh itu, kejadian di New York dan Washington minggu lalu tidaklah memeranjatkan. Yang menjadi kejutan ialah cara ia berlaku dan bagaimana mudahnya sistem pertahanan Amerika, kononya gah dan kebal, dicerobohi.
Memang insiden itu suatu yang di luar dugaan sama sekali dan ia sepatutnya mengajar Uncle Sam agar tidak berlagak angkuh dan sombong.
Hidup dalam ketakutan
Amerika dan mereka yang bukan beragama Islam tidak seharusnya memandang serong kepada penganut-penganut Islam ekoran tragedi ini. Tidak wajar Islam dilabel militan dan fanatik. Alangkah malangnya jika tujuh juta orang Islam di Amerika Syarikat dibiarkan hidup dalam ketakutan akibat daripada perbuatan pengganas antarabangsa ini.
Sejak dari dulu hingga sekarang, penganut Islam umumnya golongan yang toleran. Lihat sahaja di sekeliling anda, di negara majoriti Islam, apakah ada orang bukan Islam ditindas?
Tidak pernah kita mendengar di negara ini atau Pakistan, Arab Saudi, Sudan, Mesir atau di mana-manapun berita orang bukan Islam ditindas atau disembelih. Tetapi di negara-negara majoriti bukan Islam seperti di negara-negara Balkan, Filipina, Myanmar, Eropah malah di Amerika Syarikat sendiri, umat Islam diberitakan ditindas dan didiskriminasi dari semasa ke semasa.
Jadi, manakah kebenaran propaganda anti-Islam itu? Dakyah Amerika dan Yahudi ini sangat kompleks dan sangat besar agendanya. Mereka menghalalkan perbuatan menyerang bumi Palestin, Lubnan, Sudan, Iraq, Afghanistan dan Vietnam yang mengorban berjuta-juta nyawa orang awam.
Tetapi apabila WTC dan Pentagon menyembah bumi, mereka melaung-laungkan nyawa dan kepentingan orang awam. Dan kemungkinan tindak balas Amerika serta Barat selepas ini akan meragut ribuan nyawa orang awam pula. Di manakah kesudahannya?
Akan tamatkah aktiviti pengganas antarabangsa dengan kematian Osama bin Laden? Selamatkah semua kepentingan Amerika di seluruh dunia dengan hancur-leburnya Afghanistan? Bagaimanakah kalau bukan Osama yang melakukannya? Tidak mungkinkah keganasan ini dirancang oleh Israel atau puak-puak lain yang anti-Islam untuk memburuk-burukkan imej Islam?
Sepatutnya tragedi serangan WTC dan Pentagon mengajar semua negara untuk saling hormati- menghormati, bukannya membuli antara satu sama lain. Dalam menangani krisis ini, Amerika dan sekutu-sekutunya tidak sepatutnya membangkitkan sentimen keagamaan.
Tiada sesiapa menangis apabila hampir sejut rakyat Iraq mati akitan sekatan ekonomi Amerika Syarikat sejak 1991. Apabila khemah pelarian Palestin di Sabra dan Chatila diserang dan menyebabkan ratusan maut pada 1982, tiada sesiapa mahu membelanya. Akibatnya, hingga kini Tebing Barat bermandi darah tetapi Amerika langsung tidak peduli. Wajarkah seluruh dunia berkongsi duka tragedi serangan ke atas WTC dan Pentagon?

