Sengsara 47 hari, dibelasah FRU
Sebaliknya saya diugut oleh anggota polis Cawangan Khas (SB) agar mengaku telah diperalatkan oleh anasir komunis untuk mengambil bahagian dalam gerakan pelajar di Universiti Nanyang, Singapura dan di dua ladang itu. Oleh itu, kegiatan saya dianggap mengancam 'keselamatan negara.'
Waktu itu, saya berbahas dengan anggota SB - dengan dakwaan mereka sebenarnya tidak bertanggungjawab kerana gagal memberitahu saya tentang identiti anasir komunis yang ada di keliling saya. Di kepala mereka tidak tertulis 'anasir komunis,' bagaimana saya dapat mengetahui identiti mereka?
Saya memberitahu pegawai SB itu - di Universiti Nanyang, kami menentang regim Lee Kuan Yew kerana pemimpin itu ingin menukar kampus itu daripada sebuah universiti berbahasa pengantar Cina kepada pengantar Inggeris. Kami menentang Lee bagi mempertahankan hak autonomi institusi pengajian tinggi agar regim itu tidak dapat menguasai pentadbiran universiti.
Di Bukit Asahan dan Triang pula, kami membantu pekerja menentang penindasan dan pemerasan pemodal asing, mempertahankan hak-hak pekerja untuk menjaga kepentingan mereka.
Perjuangan kami merupakan hak asasi yang patut dihormati. Jika komunis juga memperjuangkan hak-hak tersebut, siapakah dapat menegah mereka untuk berbuat demikian?
Tetapi tidak menguntungkan berhujah dengan anggota SB. Malah, tentu rugi jika pendirian tahanan berubah akibat kekeliruan hujah-hujah mereka ketika seseorang itu mengalami deraan fizikal dan mental. Jika dapat mematahkan hujah-hujah anggota SB sekalipun, mereka tidak akan mengaku kalah. Kami juga yang akan terus ditahan, malah leblih lama lagi - tentu merugikan, bukan?
Oleh itu, tahanan politik yang veteran telah menjadi bijak kerana sia-sia berdebat dengan anggota SB. Akhirnya ramai yang memboikot pertemuan dengan SB, dan nekad membiarkan mereka ditahan sehingga pihak yang berkuasa berpuas hati!
Enggan terima syarat
Tahanan-tahanan veteran lama-kelamaan terpaksa dibebaskan. Untuk menjaga air muka, anggota SB terpaksa mencari peluang menemui tahanan-tahanan veteran sebelum mereka dibebaskan, umpamanya menemui tahanan di balai polis tempatan sebelum mereka dibebaskan!
Tahanan ISA dinafikan hak untuk membela diri di mahkamah terbuka tetapi digalak merayu kepada Lembaga Penasihat - padahal tidak mempunyai kuasa kehakiman.
Tahanan-tahanan ISA memboikot lembaga itu bagi mendedahkan demokrasi palsu golongan pemerintah reactionary. Untuk mempertahankan 'kewibawaan' lembaga itu, SB menggertak - tiada sesiapa boleh dibebaskan melainkan harus berjumpa dengan Lembaga Penasihat sebagai prasyarat. Bagaimanapun, kebanyakan tahanan terus memulaukan lembaga itu. Akhirnya, tahanan yang dianggap 'berkepala batu' itu dibebaskan juga!
Tahanan yang dibebaskan sering dikenakan pelbagai syarat sebagai sekatan baru, misalnya tempat kediaman, masa kurungan di rumah dan kawasan bergerak. Di samping itu, bekas tahanan ISA juga dilarang bergerak aktif dalam parti politik, kesatuan sekerja dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga dilarang berucap di khalayak ramai. Ada tahanan politik yang enggan menerima sebarang syarat apabila dibebaskan. Jika syarat-syarat itu dikenakan secara paksa, mereka enggan mematuhinya apabila dibebaskan.
Saya telah merengkok selama tujuh tahun (1967-1974) dalam kem tahanan Batu Gajah dan penjara Taiping, Perak. Tempoh itu tidak begitu lama berbanding dengan banyak rakan-rakan seperjuangan yang ditahan lebih 10 tahun.
Seseorang yang tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah, tidak diadili di mahkamah terbuka, hanya dituduh 'mengancam keselamatan negara' kerana mempertahankan autonomi universiti dan menentang bahasa pengantar ditukarkan kepada bahasa Inggeris; seseorang yang ditahan kerana mempertahankan hak pekerja, enggan mengutuk parti komunis dan menulis 'surat taubat', maka dia kehilangan kebebasan selama tujuh tahun.
Apakah negara yang membenarkan hal seperti ini berlaku layak digelar mengamalkan demokrasi? Oleh itu, jelaslah ISA merupakan penghinaan terbesar terhadap konsep demokrasi dan hak asasi manusia.
Sukar sekali dipercayai bahawa sesudah kehilangan kebebasan di kem tahanan, seseorang itu masih menghadapi pelbagai bentuk penindasan. Tahanan ISA terpaksa melancarkan pelbagai tindakan, termasuk mogok lapar untuk menuntut hak-hak surat-menyurat, berjumpa keluarga, bersukan, bercucuk tanam, menyanyi, keluar dari bilik kurungan dan keselamatan peribadi.
Mogok lapar tahanan ISA yang paling lama - 47 hari- berlaku pada 29 Disember 1973. Peristiwa ini juga dikenali 'kejadian 12.29.' Peristiwa itu tercetus oleh insiden bunuh diri seorang teman seperjuangan yang bernama Wong Swee Sang. Wong mengidap penyakit tinnitus (mendengar bunyi tertentu dalam telinga) yang serius tetapi tidak mendapat rawatan perubatan. Beliau membunuh diri sebagai membantah seksaan pihak berkuasa terhadap tahanan ISA.
Pundi kencing hampir tembus?
Tahanan-tahanan di kem tahanan Batu Gajah, setelah menerima khabar buruk itu, berkumpul beramai-ramai dan meminta pihak berkuasa kem menyatakan punca kematian Wong. Pihak berkuasa kem enggan berbuat demikian. Mereka sebaliknya menggunakan kekerasan terhadap tahanan dan ramai dicederakan.
Saya turut mengalami kecederaan serius. Saya luka di bahagian bawah perut, pundi kencing saya hampir tembus. Setelah tamat pembedahan selama tiga jam, doktor mengucapkan tahniah kepada saya: "kamu bernasib baik. Jika luka ke bawah sedikit, kamu kini sudah menjadi seorang cacat!"
Dalam mogok lapar selama 47 hari, tahanan diganasi hampir setiap hari. Ramai tahanan yang dianiayai. Umpamanya pada 13 Januari 1974, 139 tahanan di kem Taiping dipindah ke kem tahanan Batu Gajah secara paksa oleh polis pencegah rusuhan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Lebih kurang pukul 1 petang, apabila menaiki ke tingkat tiga blok A, mereka dipaksa membawa semua barang masing-masing dan melalui lorong sempit antara dua barisan manusia, FRU di sebelah dan wadar di sebelah yang lain. Serangan yang bertubi-tubi dengan cota dimulakan. Hampir setiap tahanan mendapat cedera di seluruh bahagian badan - kepala, muka, mata, dada, perut, belakang, kaki dan tangan.
Pada pukul 2 petang hari itu, tahanan disuruh keluar untuk mandi satu kumpulan demi satu kumpulan. Anggota FRU dan wadar sekali lagi mengambil kesempatan untuk menyerang dan menghina tahanan sesuka hati, lebih ramai lagi mengalami kecederaaan. Mereka juga sewenang-wenangnya masuk ke bilik kurungan tahanan untuk membelasah pada bila-bila masa sahaja.
Tidak henti-henti kedengaran herdik tengking anggota polis yang mengganas - bercampur-campur dengan jeritan dan rintihan kesakitan tahanan yang diserang. Seksaan secara terancang dan menyeluruh seperti ini jarang berlaku di mana-mana negara yang mendakwa mengamalkan demokrasi.
Kebuasan dan kebiadaban musuh dapat dibuktikan dengan penderitaan Goh Sao Ping yang sungguh berani dan berpantang undur. Beliau hampir menemui maut selepas empat kali diserang. Setiap kali dibelasah, beliau terpaksa diusung ke hospital akibat kecederaan teruk. Pada kali keempat Goh dimasukkan ke hospital, pegawai perubatan tidak membenarkan beliau kembali ke tempat tahanan lagi kerana kecederaannya begitu genting sekali dan mungkin boleh mati jika terus diseksa.
Setelah berminggu-minggu mogok itu berjalan, setiap hari ada ramai pemogok yang pengsan kerana terlalu lemah. Kebanyakan mereka pengsan tatkala berdiri. Apabila kedengaran bunyi seseorang itu jatuh rebah, pemogok-pemogok lapar di bilik-bilik kurungan berhampiran akan memberitahu wadar. Mereka mendesak agar tahanan yang pengsan itu diberikan pertolongan cemas dan dihantar ke hospital dengan segera.
Nyawa-nyawa ikan?
Apabila mogok itu memasuki seminggu terakhir, semua pemogok lapar sudah nyawa-nyawa ikan. Pegawai perubatan hospital Batu Gajah menulis surat kepada hospital Ipoh agar mengambil alih semua pemogok kerana mereka telah terlalu tenat dan tidak bersedia untuk bertanggungjawab.
Wakil tahanan yang mogok itu diberitahu oleh pegawai perubatan hospital Batu Gajah secara rasmi bahawa jika mereka meneruskan tindakan itu, organ-organ utama badan mereka seperti jantung dan buah pinggang akan kehilangan fungsi dan tidak dapat dipulihkan buat selama-lamanya. Pegawai perubatan meminta wakil itu menyampaikan kepada semua pemogok pesanan yang amat penting itu.
Oleh kerana ia berkaitan dengan hidup mati pemogok itu sendiri, ditemani oleh pegawai perubatan, wakil itu dengan segera memberitahu semua tahanan yang mogok akan akibat serius yang bakal dihadapi jika meneruskan tindakan itu. Semua pemogok diminta membuat keputusan sama ada berhenti atau meneruskan kempen itu.
Namun, tiada seorang pun yang sudi menamatkan bantahan itu. Demi mempertahankan keselamatan fizikal dan maruah sebagai tahanan, mereka bersedia untuk mengorbankan nyawa sekalipun!
Pihak berkuasa terbabit hanya bersedia untuk menyelesaikan masalah pada saat-saat terakhir sebelum berlaku kematian. Pegawai perubatan pada mulanya sangat berprasangka terhadap tahanan.
Setelah mengetahui tuntutan-tuntutan kami, antara lain, hanya meminta pasukan FRU berundur dari tempat tahanan, menjamin keselamatan fizikal tahanan, menghukum anggota-anggota FRU dan wadar yang menggunakan kekerasan terhadap tahanan, dan memulihkan segala kemudahan yang sedia ada, beliau seolah-olah tidak mempercayai, kerana kesemua tuntutan itu munasabah dan hak asasi tahanan!
Selepas kejadian mogok lapar 12.29, sikap pegawai perubatan itu berubah, daripada berprasangka menjadi lebih prihatin, mesra dan sudi membantu.
Sesiapa yang pernah kehilangan kebebasan akan tahu menghargai nilai kebebasan. Seseorang yang masih hidup - setelah melalui mogok lapar selama 47 hari - dia tentu tidak mengendahkan lagi sama ada makan atau tidak.
Seseorang, jika nyawanya dikembalikan setelah berada pinggir maut, tentunya tidak lagi takut mati. Seseorang - jika pernah menyaksikan bagaimana pejuang-pejuang tulen sudi berkorban dengan tenang - mungkin akan mengambil iktibar daripada mereka jika keadaan memerlukan pengorbanan sedemikian.

