Tidak perlu kebebasan akhbar
Semua
yang berlaku itu tidak harus memeranjatkan kita. Tetapi jika masih ada orang yang
terperanjat apabila mendengar permit Detik, Wasilah, Harakah
atau Tamadun ditarik kembali bermakna individu-individu ini masih belum sedar dan
kurang faham tentang kedudukan politik negara ini dan makna kebebasan bersuara di Dunia
Ketiga.
Pasti ada juga individu atau kelompok yang membantah tindakan kerajaan ini dengan alasan
kebebasan akhbar atau freedom of the press. Golongan ini menuntut agar media di
negara kita menjadi satu lembaga yang bebas. Kumpulan ini termasuklah mereka yang kurang
jelas tentang peranan daulah (state) dan peranan modal (capital).
Pada hakikatnya tidak wujud kebebasan akhbar di Barat atau di Timur, di negara maju atau
di negara Dunia Ketiga. Di negara-negara kapitalis seperti Amerika Syarikat, Australia
atau Jerman memang dilihat wujud kebebasan akhbar. Kebebasan ini bagaimanapun hanya pada
satu tahap saja. Selagi akhbar-akhbar ini tidak mengancam kepentingan modal dan para
pemodal, maka akhbar-akhbar ini boleh bertempik siang dan malam.
Kritikan-kritikan di akhbar-akhbar ini akan digunakan untuk memperkuatkan keyakinan umum
terhadap kewujudan demokrasi di negara-negara itu. Demokrasi yang wujud di Barat adalah
demokrasi modal untuk para pemodal. Selagi para pemodal dan tuan punya saham tidak
terganggu, maka "kebebasan akhbar" seperti ini boleh wujud.
Apa yang wajib diperjuangkan di negara Dunia Ketiga seperti Malaysia bukan kebebasan
akhbar tetapi kebebasan untuk menulis, menerbit dan mencetak. Inilah asas demokrasi yang
tulen. Sesiapa saja boleh menulis, mencetak dan mengedar apa saja pandangan. Pandangan ini
boleh pula dihujah secara bebas. Inilah ciri masyarakat madani yang berpandukan demokrasi
tulen.
Justeru
dalam demokrasi tulen, hanya penulis yang fasih, berwibawa menulis, bijak berhujah dengan
lenggok bahasa yang menarik atau dapat memaparkan hujah dengan fakta-fakta yang
tepat yang akan dapat menarik pembaca. Idea yang jitu, ilmiah, rasional
dan munasabah akan berkembang. Idea yang karut, tahyul dan tidak masuk
akal akan diketepikan. Dalam suasana seperti ini, neraca kebenaran dan
kata pemutus dipegang oleh pembaca. Pembacalah yang akan menjadi hakim
dan juri.
Hari ini, apa yang berlaku pada kepada media-media kita bukanlah sesuatu yang tidak sihat.
Penarikan lesen mahu pun penutupan majalah wajib dilihat sebagai satu fenomena yang
positif. Tindakan kerajaan ini telah menyebabkan lebih ramai pembaca beralih untuk melihat
laman-laman web. Ini adalah satu kenyataan ilmiah. Sehari sesudah berita Harakah
diganggu Kementerian Dalam Negeri tersiar kepada umum, bilangan pembaca Harakah edisi Internet melonjak.
Dari kajian, statistik menunjukkan Harakah edisi siber menjadi laman web bukan
perniagaan yang kedua paling popular di dunia selepas Laman
Reformasi (lebih popular, mahazalimtwo). Perkembangan ini membuktikan tindakan KDN
apabila dibantu teknologi perkomputeran hari ini telah membawa satu anjakan yang positif.
Teknologi internet yang wujud hari ini membolehkan sesiapa saja menjadi penerbit, pencetak
dan penulis sekali gus. Ia tidak mungkin terjadi sepuluh tahun dahulu. Tidak mungkin ada
satu kuasa di dunia ini yang dapat menghadkan idea dan pendapat dari sesiapa pun untuk
berkembang. Laman web di internet tidak memerlukan kebenaran dari sesiapa pun di dunia
ini. Kebebasan menulis di laman web kini menyusur kepada falsafah demokrasi tulen. Laman
web dan akhbar web adalah masa depan manusia.
Teknologi
ini membuka satu ledakan -- revolusi ini setaraf dengan ledakan Revolusi Industri seratus
tahun dahulu.
Turut dibuktikan ialah bilangan pembaca akhbar bercetak semakin menurun di seluruh dunia.
Dan mungkin satu masa nanti akhbar cetak akan menjadi satu yang tidak relevan lagi. Di
negara kita suasana peralihan ke laman web ini dibantu oleh budaya politik Umno dan
disokong pula oleh
sikap media arus perdana. Justeru kita tidak perlu menghabiskan masa dan daya fikir
mengkritik media arus perdana kita. Atau meminta mereka bersikap adil dan melaporkan
berita secara seimbang. Ini tidak mungkin terjadi.
Semua
media memihak dan membawa satu pandangan politik. Yang membezakan sesebuah akhbar dengan
akhbar yang lain hanyalah sama ada akhbar itu propemodal, antirakyat atau antidemokrasi.
Dalam budaya politik kita hari ini, kita wajib mempopularkan dan menggalakkan orang ramai
mencari sumber berita dari laman-laman web. Sempena sambutan Hari Raya kali ini, kita
harus berterima kasih kepada kerajaan kerana langkah yang diambil telah mendorong lebih
ramai lagi
pelayar baru memasuki ruang siber. Untuk kerajaan dan pengendali media arus perdana, mari
kita sama-sama menyanyikan lagu "Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan.
Biarkan."

