Tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikemukakan setakat ini, kata speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

"Kita tidak terima apa-apa usul berkaitan dan sesiapa saja ahli parlimen boleh mengemukakan apa saja usul itu sekarang walaupun mesyuarat belum bermula.

"Namun terpulang kepada keputusan speaker untuk menolak atau menerimanya, yang mana keputusan akan diumumkan semasa persidangan Dewan Rakyat nanti," dia dipetik sebagai berkata kepada BH.

Katanya, usul itu jika dikemukakan boleh dimasukkan dalam senarai usul, walaupun mesyuarat pertama penggal ketiga akan bermula bulan depan.

Dia berkata demikian ketika mengulas keraguan pembangkang bahawa tiada jaminan usul tidak percaya akan diterima untuk dibahas dan diundi di Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari semalam berkata banyak usul pembangkang ditolak mentah-mentah oleh speaker Dewan Rakyat.

Fadhli Shaari

Sementarara itu, Johari berkata speaker akan membuat keputusan berdasarkan prosedur dan peraturan Dewan Rakyat.

Justeru dia mengesyorkan anggota parlimen pembangkang “belajar” dan “mengkaji” peraturan mesyuarat supaya lebih faham prosesnya.

Anwar semalam berkata pembangkang tidak mempunyai kekuatan untuk menumbangkan kerajaan melalui undi tidak percaya.

Sebaliknya, kata perdana menteri, mereka hanya terus memainkan propaganda untuk menipu penyokong.

Sebelum ini Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa pembangkang membuat usul isu.

Ia susulan dakwaan terbaru terdapat usaha mengumpulkan akuan berkanun (SD) anggota parlimen untuk menumbangkan kerajaan melalui usaha dinamakan Langkah Dubai.