Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan piket bagi mendesak kerajaan melaksanakan gaji minimum RM900 dan elaun sara hidup (COLA) RM300 kepada pekerja swasta di negara ini.

Setiausaha PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, 18 atau 19 peratus negara Eropah telah melaksanakan pembayaran gaji minimum yang disesuaikan dengan kos hidup negara masing-masing.

"MTUC telah berbincang dengan PKR mengenai tuntutan gaji minimum bagi mencari jalan bagaimana ia boleh dilaksanakan.

"Majikan tidak akan takut membayar gaji minimum kerana ia mengikut produktiviti pekerja. Gaji minimum RM900 bukanlah sangat besar kerana saya dalam korporat dahulu pernah dapat RM90,000 sebulan.

"Adalah efektif dan munasabah kerajaan menerima tuntutan MTUC tersebut," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Khalid pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Guthrie Berhad sebelum menyertai PKR pertengahan tahun lalu.

Oleh itu, kata Khalid, apa yang dituntut MTUC itu ada kaitan dengan tanggungjawab kerajaan iaitu membenarkan pembayaran gaji minimum untuk sektor swasta dilaksanakan.

Khalid menolak dakwaan bahawa pelaksanaan gaji minimum akan menyebabkan majikan terpaksa membayar gaji yang lebih tinggi kepada pendatang yang bekerja di negara ini.

Perancangan gunatenaga

Beliau berkata, apa yang berlaku sekarang ialah perancangan gunatenaga yang tidak teratur menyebabkan negara memerlukan ramai pekerja asing.

Katanya, Malaysia sepatutnya tidak memerlukan begitu ramai pekerja asing sebagaimana yang berlaku di Australia.

"Kita ambil contoh, Australia yang penduduknya lebih kurang seramai negara kita, tidak memerlukan ramai pekerja asing tidak sampai 100,000 orang sahaja.

"Pekerja asing (di negara ini) telah menghantar pulang RM1 bilion setahun ke negara asal mereka dengan perkiraan seorang menghantar RM100 sebulan," katanya.

Khalid berkata, setelah 50 tahun merdeka sudah tiba masanya Malaysia menjadi negara maju termasuk menguatkuasakan pembayaran gaji minimum kepada pekerja.

Isnin lalu, MTUC mengadakan piket di beberapa tempat di seluruh negara bagi menuntut kerajaan melaksanakan gaji minima RM900 dan COLA RM300 kepada pekerja sektor swasta.

MTUC mendakwa pelaksanaan gaji minimum perlu kerana ada sesetengah pekerja swasta dalam sektor tertentu yang mendapat gaji kurang RM500 sebulan.

Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamud berkata, piket akan diteruskan sehingga kerajaan bersetuju memenuhi tuntutan tersebut.