Tiga hari lalu, seorang menteri kabinet mengarahkan media di Malaysia menyiarkan lebih banyak lagi berita-berita "keburukan" Barat. Apakah tafsiran "keburukan" ini tidak pula diterangkan secara jelas. Apa yang jelas ialah kenyataan ini dibuat sebagai tindakan balas negara ini terhadap media Barat yang sering menyiarkan berita "buruk" tentang Malaysia.

Media arus perdana tempatan tanpa segan silu menerbitkan ucapan menteri ini sebagai "berita". Menteri itu yang sedang berusaha kuat untuk mencalonkan dirinya sebagai naib presiden Umno berharap orang ramai, terutama ahli partinya, melihat beliau sebagai seorang pejuang nasionalis yang patriotik.

Sayangnya para pembaca yang mempunyai daya fikir akan melihat saranan menteri ini sebagai langkah kebudak-budakan. Saranan menteri ini telah berjaya memperlihatkan kewujudan ruang kosong di antara dua telinganya. Ruang kosong itu pasti tidak berupaya menelurkan pendapat yang membina.

Beliau bukan saja berjaya memperbodohkan diri sendiri; malah media tempatan yang melaporkan ucapan beliau ini juga semakin boleh dipertikaikan kemampuan menilai asas-asas berita mereka.

Kelihatan terlalu sukar bagi menteri-menteri di negara kita memahami bahawa media di negara Barat bergerak dengan bebas. Konsep kebebasan media ini dilihat terlalu payah untuk menembusi ruang kosong di antara dua telinga menteri-menteri. Justeru kerana mereka tidak faham cara media Barat bergerak atau tidak mampu membaca serta menilai media Barat. Contoh idola yang mampu mereka sebutan hanyalah media tempatan.

Berdasarkan contoh media idola itu, maka si menteri ini beranggapan media di Barat juga bergerak seperti media di Malaysia - ini adalah satu pandangan yang salah.

Media di Barat tidak mengikut telunjuk ahli politik, para menteri atau wakil rakyat. Tanggungjawab utama media di sana ialah memberikan maklumat kepada pembaca mereka. Tanpa pembaca yang ampuh, sesebuah syarikat media akan gulung tikar.

Media Barat akan melaporkan apa saja peristiwa atau maklumat yang dianggap mempunyai nilai berita. Media bergerak sebagai gedung perniagaan. Barang yang dijual ialah berita. Berita yang mereka perdagangkan wajib pula mempunyai kewibawaan. Tanpa kewibawaan, tidak mungkin akhbar, radio atau tv mereka dihormati oleh umum.

Kewibawaan media menjadi penting bagi memperkuatkan lagi tanggungjawab sosialnya yang lebih besar. Hingga ke hari ini tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab sosial media Barat lebih tinggi nilai dan berkesan daripada media kita yang (pada masa ini) sedang memperhambakan diri kepada parti pemerintah.


Le Monde, di kota Paris, adalah akhbar yang paling berpengaruh di Perancis. Akhbar ini tidak dimiliki oleh sesiapa pun. Modal untuk menerbitkan akhbar ini dijana oleh para pembaca. Justeru sidang pengarang akhbar ini hanya bertanggungjawab kepada pembaca. Para pembacalah yang menjadi jurumudi akhbar ini dan bukan si taukeh kaya atau sang menteri.

Di Britain, akhbar The Guardian yang telah "berkahwin" dengan Sunday Observer berjalan atas landasan yang sama. Penerbitan akhbar ini disokong oleh dana daripada Yayasan Guardian yang mendapat modalnya daripada harta yang diwakafkan. Akhbar-akhbar ini dapat bergerak dengan bebas sebagai satu lembaga yang berwibawa dalam sebuah masyarakat majmuk yang demokratik.

Di Barat tidak wujud akta cetak. Sesiapa saja boleh menerbitkan apa saja tanpa memerlukan lesen dari sesiapa pun. Oleh itu, di Barat tidak mungkin timbul berita tentang terhalangnya penerbitan sesebuah akhbar seperti yang berlaku terhadap Harakah atau Eksklusif. Tidak pernah terdengar sesebuah majalah seperti Detik atau Tamadun terpaksa ditutup atau menagih simpati daripada kementerian tertentu.

Memang ada akhbar yang terkubur atau majalah yang nazak. Ia berlaku kerana akhbar atau majalah ini tidak mendapat sambutan daripada pembaca. Majalah Punch di Britain - walaupun telah diterbitkan dalam tempoh puluhan tahun - terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan lagi.

Kebebasaan media di Barat bukan "kebebasan tanpa tanggungjawab" seperti yang sering ditohmah oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Di Britain media diawasi oleh Majlis Akhbar - ahli-ahlinya dilantik oleh orang-orang akhbar sendiri dan bukan atas suruhan orang politik atau parti pemerintah.

Justeru sehingga ke hari kiamat, tidak mungkin seseorang menteri di negara Barat akan menyarankan kepada media mereka agar melaporkan lebih banyak "keburukan" Malaysia. Jika ditakdirkan perkara ini berlaku juga, menteri itu mungkin dianggap "gila".

Harus juga kita sama-sama menyedari bahawa media di Barat sama ada cetak atau elektronik amat jarang melaporkan berita tentang negara di Dunia Kedua atau Ketiga, apatah lagi berita dari Malaysia.

Lawatan menteri mahu pun Perdana Menteri Malaysia ke Washington DC, London atau Havana yang menjadi berita penting media negara ini tidak mungkin mendapat liputan dari agensi-agensi berita Barat seperti BBC, CNN atau CBS. Media di Barat menghargai nilai berita yang lebih bernas dan tulus daripada menyebarkan 'khutbah" seorang pemimpin politik.