Pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan Tan Sri Eric Chia Eng Hock, bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, terhadap tuduhan pecah amanah oleh Mahkamah Sesyen semalam.

Ketua Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata notis itu difailkan semalam sebaik selepas mahkamah menyampaikan keputusan penghakimannya dalam kes itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir telah melepas dan membebaskan Chia daripada tuduhan CBT melibatkan RM76.4 juta tanpa memanggilnya membela diri. Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan dijalankan selama tiga tahun.

"Keputusan untuk merayu itu dibuat kerana kami tidak berpuashati dengan keputusan (pembebasan) itu, yang pada pandangan kami adalah bertentangan dengan kekuatan bukti," kata Mohd Yusof kepada Bernama di Pejabat Peguam Negara di Putrajaya.

"Kami masih belum menerima sebab keseluruhannya bagi keputusan itu dan alasan bagi rayuan kami akan diumumkan selepas petisyen rayuan itu difailkan," kata Mohd Yusof kepada Bernama semasa ditemui di Pejabat Peguam Negara di Putrajaya.

Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu Bernama bahawa beliau telah mengarahkan pegawainya menulis kepada Mahkamah Sesyen untuk mendapatkan alasan penghakiman secepat mungkin.

"Ini kerana kes itu merupakan berkaitan dengan kepentingan orang ramai. Kami perlu meneliti sebab-sebabnya dulu. Dengan tindakan kami memfailkan notis rayuan pada hari yang sama dengan penghakiman, menunjukkan kami tidak berpuashati dengan keputusan (pembebasan) itu," katanya.

Semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah membebas dan melepaskan Eric Chia daripada tuduhan pecah amanah melibatkan RM76.4 juta tanpa dipanggil membuat pembelaan.

Hakim Akhtar Tahir berkata, pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang cukup bagi satu kes prima facie terhadap Chia.

Penghakiman 30 muka

Ketika membacakan 30 muka surat penghakiman, Akhtar berkata, mahkamah serba kekurangan untuk membuat penilaian maksimum kerana saksi-saksi material tidak dipanggil langsung untuk memberi keterangan dalam perbicaraan ini.

"Bagi semua alasan yang diberikan, saya memutuskan bahawa pendakwa gagal mebuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan oleh itu membebas dan melepaskan tertuduh dari tuduhan utama dan pilihan," katanya.

Pada 10 Februari 2004, Chia, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan asal melakukan pecah amanah melibatkan jumlah wang yang sama dengan, secara tidak jujurnya, mengarahkan pembayaran wang itu kepada akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd di Hong Kong bagi kerja teknikal di kilang syarikat itu Gurun, padahal pembayaran itu tidak
perlu dibuat.

Enam bulan kemudian, beliau didakwa terhadap tuduhan dipinda iaitu meluluskan secara tidak jujur wang itu dengan mengadakan perjanjian dengan NKK Corporation dari Jepun, dan mengarahkan pembayaran wang itu tanpa kelulusan lembaga pengarah atau jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd.

Chia, 74, didakwa melakukan kesalahan itu sebagai pengarah urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd di pejabatnya di Menara UBN di Jalan P Ramlee di sini antara 4 Nov 1993 dan 22 Feb 22 1994.

Kedua-dua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua tahun dan 20 tahun, dan sebat serta denda.

Chia, yang diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah, duduk di belakang pasukan pembelaannya kerana beliau uzur. Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwaraya Kanan Datuk Yusof Zainal Abiden menutup kesnya pada 4 Mei lalu setelah memanggil 29 saksi.