Umno perlu mengetengahkan lebih ramai pemimpin muda untuk mengimbangi golongan veteran dalam pilihanraya umum akan datang, kata Naib Ketua Puteri Umno, Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, semakin ramai golongan muda yang berpelajaran, bekerja kuat dan bertanggungjawab yang boleh menjadi wakil rakyat yang baik, sebagaimana yang dibuktikan oleh beberapa pemimpin yang menang dalam pilihanraya umum lalu.

"Mereka yang berusia dan berpengalaman bukan bermakna mereka boleh melakukan kerja dengan baik dan memuaskan hati semua orang.

"Lebih ramai golongan muda perlu diberi peluang lebih baik kerana mereka boleh mendapat pendedahan pada peringkat awal lagi dan ini merupakan satu aset kepada parti," katanya.

Sebagai contoh, katanya, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, walaupun baru dalam politik Umno tetapi beliau sudah cukup matang dan memang layak untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, Khairy juga telah membuktikan kewibawaan dalam beberapa pilihanraya umum 2004 dan beberapa pilihanraya kecil di mana Barisan Nasional (BN) menang cemerlang.

Bagaimanapun, katanya keputusan penuh untuk memilih calon pilihanraya ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku pengerusi Barisan Nasional (BN).

Jangan ragui Khairy

Pilihanraya umum perlu diadakan selewat-lewatnya April 2009 tetapi para pemerhati politik meramalkan ia diadakan lebih awal daripada tarikh tersebut.

Kata Rosnah, semua pihak seharusnya tidak meragui Khairy termasuk suara-suara sumbang yang khuatir menantu Perdana Menteri itu akan menjadi terlalu berkuasa.

"Saya tidak percaya Khairy akan menjadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kedua. Khairy tidak akan merosakkan parti kerana beliau sangat sayang kepada Umno," katanya merujuk kepada pemecatan Anwar dari jawatan timbalan perdana menteri pada September 1998.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin muda dari Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir berkata, Umno negerinya mempunyai ramai pemimpin muda yang boleh mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan oleh pemimpin sedia ada dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam pilihanraya umum lalu, katanya, Umno Perak mempunyai lapan pemimpin muda mewakili kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jumlah dijangka meningkat dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri berkata proses peralihan - dari pemimpin lama kepada pemimpin muda - sedang berjalan.

Perak ramai calon muda

Beliau yakin Umno Perak tidak ketandusan muka baru yang boleh diketengahkan pada bila-bila sahaja.

"Kira-kira 50 peratus calon yang bertanding - baik kerusi Parlimen dan DUN - merupakan muka baru dan sesetengahnya masih muda," kata Dr Zambry yang ketua Umno bahagian Lumut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor.

Zambry yang merupakan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi berharap lebih ramai pemimpin muda diberi peluang bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

"Kami sentiasa ada barisan pelapis yang berkaliber dan `menepati syarat' yang masih muda tetapi bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang diperlukan rakyat.

Lagi pula, tambahnya, keseimbangan antara pemimpin muda dan lama penting bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan maju.

Sementara itu, bekas Exco Pemuda Umno, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, saingan utama Umno iaitu PAS, kini mempunyai ramai pemimpin muda dalam kepimpinan parti itu.

Kayu pengukur

"Dalam pilihanraya umum lalu, PAS mengemukakan ramai calon muda dan mereka kini semakin matang serta semakin memahami selok-belok politik menjelang pilihanraya umum akan datang.

"Faktor ini perlu diberi perhatian Umno kerana politik Melayu hanya ada dua parti - PAS dan Umno. Di kawasan tradisi Melayu, mereka hanya menyokong Umno atau PAS," katanya.

Zahidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri di Perlis berkata, Umno juga perlu mengambilkira faktor sama ada seseorang pemimpin yang sedia ada masih diterima rakyat atau tidak.

Katanya, jika seseorang pemimpin terlalu lama, ia mungkin memberi masalah kepada parti dan untuk itu elok diberi ruang kepada muka baru khususnya golongan muda.

Ketika ditanya adakah perlu Khairy bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, Zahidi berkata, jika pengundi Rembau mahu beliau bertanding, Khairy perlu bertanding.

"Rembau merupakan kawasan beliau, kayu pengukur kepada Khairy terletak di kawasan yang mana beliau menjadi ketua pemuda," katanya.

Esok: Bersediakan Umno hadapi pilihanraya umum tahun ini?