Lembaga penasihat hiasan ISA
Menurut surat tersebut, beliau dan tahanan lain sedang menimbangkan sama ada untuk membuat rayuan kepada lembaga penasihat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dalam tempoh 14 hari selepas perintah tahanan. Sebagai seorang bekas tahanan politik antara 1967-1974, eloklah saya ceritakan tentang pendirian dan tindakan kami ketika menghadapi lembaga penasihat.
Waktu itu beratus-ratus lagi tahanan ISA di kem-kem tahanan khas Muar, Batu Gajah dan Taiping mengambil keputusan untuk memulaukan lembaga penasihat. Boikot ini diambil berasaskan analisis kami mengenai ciri dan fungsi badan itu serta pengalaman tahanan yang telah merayu kepada badan itu.
Kami menganggap langkah itu kejam kerana Menteri Dalam Negeri diberi kuasa untuk menahan seseorang tanpa melalui perbicaraan di mahkamah terbuka. Oleh itu, mudah saja akta itu disalahgunakan oleh kerajaan. Pihak berkuasa boleh menindas dan menganiayai musuh-musuh politiknya dengan alasan yang direka-reka, umpamanya 'mengancam keselamatan negara.'
Kewujudan akta yang mengizinkan penahanan seseorang selama dua tahun tanpa bicara jelas bertentangan dengan hak asasi manusia dan hak perlembagaan rakyat Malaysia. Ia menghakis keluhuran serta kedaulatan kehakiman.
Kami menganggap segala tuduhan yang direka-reka oleh polis Cawangan Khas dalam soal siasat terhadap kami serta perintah tahanan yang sewenang-wenang itu, adalah satu komplotan politik semata-mata.
Melemahkan semangat
Justeru, kami menuntut semua tahanan ISA dibebaskan segera tanpa syarat, atau membenarkan kes-kes kami dikemukakan di mahkamah terbuka.
Setelah dijatuhkan hukuman oleh KDN - yang bertindak sekali gus pendakwaraya dan hakim - dalam tempoh 14 hari, tahanan ISA diberi peluang untuk membuat rayuan kepada lembaga penasihat. Namun, lembaga itu tidak dapat memainkan peranan mahkamah rayuan kerana ia tidak mempunyai sebarang bidang kuasa kehakiman.
Lembaga itu hanya boleh membuat saranan kepada pegawai Cawangan Khas daripada KDN yang mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan muktamad.
Oleh itu, lembaga penasihat hanya dijadikan perhiasan bagi 'mengesahkan' proses perundangan yang tidak sah demi mengabui mata orang ramai yang kian kritis terhadap undang-undang zalim tersebut.
Saranan yang dikemukakan oleh lembaga penasihat tidak mungkin dipandang berat oleh pegawai Cawangan Khas yang hanya berminat dan terlatih untuk melemahkan semangat dan maruah tahanan melalui seksaan fizikal dan mental, supaya mereka menyerah diri dan 'bertaubat' melalui pengakuan di akhbar atau televisyen demi kebebasan yang memalukan.
Penahanan jangka panjang (kebanyakannya melebihi 10 tahun) merupakan senjata untuk melunturkan semangat juang tahanan ISA yang terkenal 'berkepala batu dan pantang menyerah'. Sehingga pegawai Cawangan Khas melepaskan geram dengan berkata: "biarlah mereka reput dalam penjara!"
Akibat pertentangan sengit antara tahanan ISA dengan pegawai Cawangan Khas, lembaga penasihat turut memujuk tahanan secara halus agar berkompromi dengan pihak polis itu jika mereka ingin memperolehi kebebasan.
'Jawatankuasa kehidupan'
Mengambil kira semua ini, sebuah badan pimpinan diwujudkan tahanan ISA yang dikenali 'Jawatankuasa Kehidupan' turut memboikot lembaga penasihat secara menyeluruh. Keputusan itu mendapat sambutan yang amat memuaskan oleh tahanan ISA pada waktu itu. Keadaan ini sangat menggemparkan Cawangan Khas.
Mereka memberi amaran bahawa tiada tahanan akan dibebaskan tanpa saranan lembaga penasihat. Amaran ini diabaikan oleh tahanan ISA dan mereka terus memboikot lembaga penasihat.
Seterusnya ada beberapa tahanan yang berpangkat 'Datuk' (gelaran untuk tahanan yang telah lama dikurung dan dihormati) mulai memboikot pegawai Cawangan Khas. Hujah mereka: "Kami tidak mahu membuang masa lagi untuk ditemuduga!"
Menjelang saat dibebaskan, saya diminta memberi pandangan tentang keadaan politik tempatan. Bagaimanapun, saya enggan memberikan kerjasama. Melalui perjuangan yang padu, akhirnya pihak berkuasa terpaksa membebaskan kami.
Malah beberapa orang tahanan, termasuk Tan Hock Hin, seorang pemimpin Parti Buruh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pulau Pinang, turut memboikot lembaga penasihat. Mereka juga memboikot temuduga pegawai Cawangan Khas dan enggan menerima sebarang syarat yang dipaksakan apabila mereka dibebaskan.
Polis Cawangan Khas juga mengenakan syarat lain, antaranya mereka yang dikenakan sekatan kediaman dan tahanan dalam rumah harus melaporkan diri di balai polis, dilarang menyertai kegiatan politik, kesatuan pekerja, dan badan-badan bukan kerajaan yang lain dan juga dilarang berucap di khalayak ramai.
Syarat-syarat itu boleh dilanjutkan sehingga Cawangan Khas berpuas hati dengan bekas tahanan sehingga mereka dianggap 'tidak berbahaya lagi'. Dengan cara ini, gerakan aktivis buruh dilenyapkan.
Sepertimana pendapat Tian Chua: "Proses perundangan di bawah ISA seperti lembaga penasihat bukan sah, ia suatu proses untuk mencantikkan regim diktator." Justeru itu, kita perlu terus mendedahkan ciri-ciri penipuan di sebalik lembaga penasihat.

