PAS halakan ‘peluru LCS' ke calon BN Kemaman
PRK KEMAMAN | Masuk hari keenam berkempen PAS hari ini tampil menghalakan ‘peluru’ mereka kepada lawan dengan membangkitkan isu projek pembinaan kapal peronda pesisir (LCS) generasi kedua.
Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Mohd Nazari Mokhtar, berkata memang ketika kontrak LCS ditandatangani dulu, calon BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor belum dilantik sebagai panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pun begitu, katanya, semasa projek berkenaan dijalankan antara 2016 sehingga 2018 Raja Mohamed Affandi sudah berkhidmat dalam ATM.
Justeru menurut Yang Dipertua PAS Tenggara itu lagi, selaku pemimpin utama ATM Raja Mohamed Affandi wajib mengambil tahu projek mega Kementerian Pertahanan (Mindef) yang diberikan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Mohd Nazari yang pernah menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil di Port Dickson menambah, sebagai pegawai kanan ATM, Raja Mohamed Affandi patut memberi perhatian kepada projek pembinaan LCS.

Tambahan pula, katanya, BNS itu sendiri adalah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Pada pertengahan perkhidmatannya tidak banyak perkembangan dalam pembinaan kapal LCS yang hanya mencatatkan pencapaian sebanyak 46.99 peratus setakat Jan 2017.
"Pada tempoh hujung perkhidmatan Raja Mohamed Affandi sebagai panglima setahun selepas Januari 2017 perkembangan pembinaan LCS hanya mencapai 3.16 peratus dan kepada 50.15 peratus pada Jan 2018," katanya dalam kenyataan media di Kemaman hari ini.
Sepanjang tempoh perkhidmatan itu, kata Mohd Nazari, perkembangan pembinaan LCS sangat perlahan.
Patut lantik jadi senator
Mengulas lanjut Mohd Nazari yang juga bekas pegawai tentera berkata, PRK Kemaman adalah masa yang sangat sesuai untuk Raja Mohamed Affandi menjelaskan sebab sebenar projek bernilai berbillion ringgit itu tergendala sekian lama.
“Bagi kami bekas tentera berasa sangat malu dengan apa yang berlaku. PRK Kemaman ini menjadi tumpuan media nasional dan antarabangsa dan menjadi wadah paling sesuai untuk dia memberikan penerangan kepada rakyat khususnya para pengundi di Kemaman.
“Justeru itu kami sangat berharap nama Tan Sri (Raja Mohamed Affandi)selaku mantan panglima ATM dan seluruh warga serta bekas tentera dapat dibersihkan daripada terpalit dengan skandal LCS,” ujarnya.

Sementara itu pada sidang media di Kemaman hari ini, Mohd Nazari mempersoalkan apakah penyertaan Raja Mohamed Affandi dalam PRK itu adalah cubaan untuk menjadikannya ‘kambing hitam’.
Mendakwa "bimbang" dengan keadaan itu, Mohd Nazari berkata, ketokohan Raja Mohamed Affandi sepatutnya dimanfaatkan untuk menguruskan apa-apa agensi atau dilantik menjadi senator, bukannya bertanding dalam PRK.
“Umno sepatutnya boleh berikan kuota senator veteran tentera kepada Raja Mohamed Affandi, tak payahlah nak bertanding.
"Kalau dia bertanding bermakna pemimpin Umno cuba nak jadikan beliau sebagai ‘kambing hitam’.
“Kalau nak bawa suara veteran tentera tak perlu jadi ahli parlimen mana-mana, lantik jadi senator buat kerja untuk veteran,” dakwanya yang yang ditewaskan Anwar Ibrahim dalam PRK pada 2018.

