Tiong, rakan kongsi Nanyang?
Perkembangan terbaru ini di luar jangkaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mereka kini khuatir perpecahan MCA dan membawa kesan terhadap pilihanraya umum akan datang.
Akibat tekanan hebat ini, Presiden MCA Dr Ling Liong Sik terpaksa membuat tawaran pada 7 Jun lalu bahawa sesiapa yang berminat mengambil alih Nanyang mengemukakan cadangan dalam tempoh 10 hari.
Keikhlasan Ling bagaimanapun diragui kerana tempoh itu begitu singkat bagi sesuatu urus niaga bernilai ratusan juta ringgit dan meminta harga yang lebih tinggi daripada harga asal (RM5.50 sen satu saham). Urus niaga itu pula ia berbaur politik, bukan atas kerelaan.
Jika mendapat rakan kongsi strategik yang sesuai, Dr Ling bersedia manawarkan saham Nanyang Press melebihi 51 peratus. Beliau berkira-kira 'membunuh dua burung dengan seketul batu'.
Jika MCA mendapat rakan kongsi itu, bermakna parti itu dapat menguasai akhbar terbabit secara tidak langsung. Dengan cara ini, mereka berharap dapat meredakan tentangan hebat masyarakat Cina terhadap pengambilalihan Nanyang.
Di samping itu, dengan harga yang lebih tinggi MCA akan mendapat keuntungan yang lumayan dengan cara yang mudah sekali.
Sebelum ini, pemilik kumpulan Sin Chew Jit Poh, Tan Sri Tiong Hiew King sering disyaki turut berperanan dalam operasi pengambilalihan Nanyang Press oleh parti Cina itu.
Empayar media Tiong
Keraguan ini timbul kerana kumpulan Sin Chew, yang menjadi saingan dekat Nanyang, tiba-tiba mengambil pendirian bersimpati terhadap operasi pengambilalihan itu. Malah ketua pegawai eksekutifnya P C Liew - dengan bantuan seorang lagi bekas kakitangan akhbar itu - turut terlibat dalam pengambilalihan pengurusan Nanyang Siang Pau.
Pada hari Ling membuat tawaran saham itu, Sin Chew Jit Poh menyiarkan wawancara pemiliknya Tiong dengan majalah mingguan Hong Kong Yazhou Zhoukan - miliknya sendiri.
Wawancara itu membayangkan Tiong sebagai rakan kongsi baru strategik yang sesuai seperti ditawarkan Ling. Tiong berterus terang mendedahkan cita-citanya untuk 'bersekutu dan menggabungkan' semua akhbar Cina di rantau ini bagi membina 'empayar media Tiong' - oleh itu dapat bersaing dengan media Barat.
Beberapa tahun lalu, Tiong pernah mencuba untuk mengambil alih Nanyang Press, tetapi tidak berjaya. Hingga sekarang, beliau masih berminat berbuat demikian dengan syarat menguasai 51 peratus saham.
Beliau sanggup bekerjasama dengan parti politik, dan beliau bersedia membantu sekiranya sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina menghadapi masalah.
Tiong tampil untuk menjelaskan pendiriannya itu dan dalam keadaan sekarang, penjelasan itu tidak mungkin kebetulan. Jika dikaitkan pendirian tersebut dengan apa yang dilakukan oleh kumpulan Sin Chew sebelum ini, jelas sekali beliau bukan saja merupakan calon rakan kongsi strategik baru Ling yang paling sesuai, malah mungkin membayangkan persefahaman yang sudah lama wujud sebelum ini.
Hong Leong beli balik saham
Masyarakat Cina telah menyuarakan tentangan terhadap hasrat Tiong itu kerana monopoli akan menyebabkan media hilang kebebasan. Apatah lagi ahli perniagaan itu berhasrat untuk bekerjasama dengan parti politik, iaitu MCA dalam kes ini.
Sekiranya parti itu ikhlas hendak menyelesaikan masalah, ia tidak harus mengehadkan tawarannya itu dalam tempoh 10 hari. Tiong juga bukan sesuai dijadikan rakan kongsi strategik barunya. MCA seelok-eloknya menjual balik seluruh sahamnya kepada Hong Leong dengan harga yang sama.
Dalam hal ini Pengerusi Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Tan Sri Lim Guan Teik harus menunaikan janji untuk memujuk Hong Leong membeli balik saham berkenaan.
Dalam hubungan ini, 'lampu hijau' daripada Dr Mahathir sangat penting, agar Hong Leong dapat mengubah fikirannya dan rela membeli balik saham-saham itu.
Andainya Hong Leong tidak dapat dipujuk, maka persatuan utama Cina seperti Dong Jiao Zong, Gabungan Persatuan Murid-murid Tua Sekolah Cina, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor harus bertanggungjawab menubuhkan satu konsortium yang melibatkan pihak-pihak yang berminat untuk mengambil alih Nanyang Press.
Di samping itu, pengalaman jawatankuasa rayuan pilihanraya Suqiu ketika menghadapi tekanan politik tidak harus dilupai. Jika tidak, kepemimpinan persatuan Cina terbabit akan kehilangan kepercayaan masyarakat Cina. Seterunya perjuangan untuk membela kebebasan media akan luntur kerana kepemimpinan yang lemah dan tidak berani berjuang.

