PARLIMEN l Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan pemberian ubat pencegahan penyakit HIV atau program perintis pemberian ubat profilaksis pra pendedahan (PrEP) akan di perluaskan lagi ke 30 klinik kesihatan pada tahun hadapan.

Program perintis itu sebelum ini ditentang keras oleh sekumpulan profesional penjagaan kesihatan Islam.

Mereka berkata tindakan itu bercanggah dengan kepercayaan mereka, kerana ubat itu boleh diberikan kepada mereka yang tidak HIV positif dan melakukan hubungan seks di luar perkahwinan atau seks homoseksual, yang bertentangan dengan Islam.

Doktor berkenaan juga berkata mereka hanya boleh menyokong langkah itu jika preskripsi termasuk "kaunseling pengurangan risiko" untuk menghalang pesakit daripada terus terlibat dalam gaya hidup berisiko tinggi.

PrEP dikatakan mampu mengurangkan risiko penularan HIV melalui seks sebanyak 99 peratus.

Pada sesi pertanyaan kepada menteri di Dewan Rakyat, hari ini, Dr Zaliha berkata, program tersebut yang telah dijalankan selama 12 bulan di 18 klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula Januari lalu menunjukkan penurunan kepada beberapa jenis penyakit.

"Sehingga 30 September, sebanyak 2,714 individu sudah menerima rawatan PrEP, berdasarkan analisis awal sehingga bulan keenam, kita dapati kadar penurunan penyakit seperti sifilis menurun dari 11 peratus kepada kurang daripada 1 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, peratusan pesakit yang tidak lagi menggunakan kondom menurun dari 6.3 peratus kepada 3.9 peratus, manakala pesakit yang mempunyai lebih dari satu pasangan juga menurun daripada 44.5 kepada 36.1 peratus.

"Terdapat 14 klien telah berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko namun terdapat tiga kes positif HIV (0.11 peratus) kerana pengguna tidak patuh dengan penggunaan PrEP dan kadar ini jauh lebih rendah dari negara lain yang melaksanakan PrEP lebih awal,

"Hasil dapatan awal menunjukkan bahawa individu yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten dan tingkah laku yang lebih baik walaupun sedang menggunakan PrEP," katanya lagi.

Jelasnya, pengumpulan data kajian penggunaan ubat tersebut dijangka selesai pada 31 Disember ini dan data tersebut akan dianalisis awal Januari 2024.

Zaliha turut memberitahu bahawa program perintis ini telah diperluas kepada 21 klinik tahun ini.

"Kita akan analisis data bagi melihat impak kesihatan secara langsung dan tidak langsung susulan pemberian PrEP dan perubahan tingkah laku berisiko," katanya.