Patung: PAS masih diragui Cina
Kekeliruan yang muncul akibat kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS itu sedaya upaya cuba dijelaskan tetapi kesan buruknya terhadap imej parti itu tidak begitu mudah dikikis, terutama sekali Kelantan dan Terengganu pernah menghapuskan patung-patung kijang dan penyu di negeri masing-masing. Begitu juga isu Taleban memusnahkan patung Buddha di Bamiyan.
Ketika membahaskan titah ucapan Sultan Pahang 2 Mei lalu, Adun Indera Mahkota Ti Lian Ker berkata ramai peniaga Cina berjaya dalam perniagaan kerana mereka menyembah dewa Kuan Kong yang mendukung keadilan. Jika PAS memegang kuasa, Ti percaya semua patung bukan Islam, termasuk tugu peringatan nenek-moyang yang mereka sembah, akan turut dimusnahkan.
Menurut Ti lagi, Idris telah meminta laluan dan menjawab bahawa menurut ajaran Islam, PAS wajib memusnahkan patung bukan Islam.
Idris telah menafikan tuduhan Ti tersebut. Katanya: "Masa itu saya hanya menjelaskan ajaran Islam. Mengikut Islam, umatnya dilarang menyimpan patung. Selepas itu (pada sebelah petang) saya selanjutnya menerangkan bahawa bagi penganut agama lain, terserahlah kepada mereka kerana hak kebebasan beragama dan mengamalkan ajarannya dijamin oleh Islam."
Pada 5 Mei lalu Pemuda MCA memutar semula pita rakaman yang didakwa mengandungi kenyataan Idris seperti berikut:
"Tadi, Adun Indera Mahkota menyebutkan kalau PAS memerintah, patung-patung itu akan diruntuhkan dan ini saya rasa menyentuh hukum agama.
"Dalam agama Islam, kita wajib meruntuhkan patung-patung itu.
Peristiwa menggemparkan
"Dalam soal itu, saya berharap Adun Indera Mahkota tidak menyentuh perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam yang diputuskan oleh (bunyi tidak jelas) ulama " (The Star, 6 Mei)
Jika kandungan pita rakaman itu adalah kenyataan Idris seperti dakwaan (hingga kini, Idris belum menafikannya), saya rasa penjelasannya itu sukar diterima.
Bahagian yang boleh dipertikaikan adalah ayat: "Dalam agama Islam, kita wajib meruntuhkan patung-patung itu." Menurut Idris, "patung-patung itu" bermaksud patung yang dimiliki umat Islam. Namun, Adun Indera Mahkota hanya menyebut patung-patung termasuk dewa Kuan Kong, patung-patung yang dimiliki umat Islam tidak timbul sama sekali.
Lebih penting lagi, apakah gerangan yang diputuskan oleh (Majlis) Ulama yang disebutkan oleh Idris itu? Sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS, Idris tidak sepatutnya terus membisu dalam perkara ini.
Jika keputusan itu mengenai jaminan kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama yang lain, bukankah ia dapat membantu untuk melenyapkan prasangka yang telah ditimbulkan oleh Adun MCA itu?
Kenyataan Idris mengenai patung itu mengelirukan. Bagi MCA, isu itu boleh diibaratkan 'pucuk dicita, ulam pun tiba'. Maka ia diputarbelitkan oleh parti komponen Barisan Nasional itu tanpa ragu-ragu lagi. Keesokannya, ia dilaporkan besar-besaran oleh semua media utama berbahasa Cina dan disusuli bantahan serta bidasan banyak pihak berkenaan - seolah-olah peristiwa yang menggemparkan!
Media gagal
Tanpa mengira penjelasan dan jaminan kebebasan beragama diberikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, termasuk Presidennya Datuk Fadzil Noor, kenyataan Idris yang mengelirukan itu akan terus diputarbelitkan sebagai propaganda politik MCA khasnya dan Barisan Nasional amnya pada masa datang, terutama ketika pilihanraya.
Politik tidak beretika, termasuk tidak bersedia mengaku salah setelah melakukannya dan memutarbelitkan sesuatu walau penjelasan dan jaminan telah diberikan sangat dikesali.
Kali ini, media juga boleh dikritik kerana gagal membuat siasatan lebih teliti dan disusuli liputan yang objektif dan seimbang. Mereka seolah-olah telah diperalatkan oleh Adun MCA yang berprasangka dan bertujuan mencemari imej PAS agar boleh dikaitkan dengan angkara Taleban di Bamiyan.
Gerak balas masyarakat Cina secara spontan dan menyeluruh itu, selain menunjukkan sikap kurang berwaspada terhadap dakwaan MCA, membayangkan dua gejala yang tidak harus diabaikan.
Pertama, mereka berpegang teguh pada hak kebebasan beragama sebagai hak asasi manusia dan hak perlembagaan yang tidak boleh dirampaskan oleh sesiapa.
Kedua, kepercayaan masyarakat Cina amnya terhadap PAS belum cukup untuk menghadapi kekeliruan seperti yang ditimbulkan oleh kenyataan Idris itu. Dengan kata lain, imej PAS sebagai parti Islam yang liberal, rasional dan progresif masih belum terserlah dalam masyarakat Cina. Mungkin kerana mereka sudah termakan dakyah politik MCA dan Barisan Nasional yang anti-PAS, atau mungkin juga kerana imej PAS sebagai parti Islam yang liberal, rasional dan progresif masih dalam proses pembentukan.
Sebagai parti politik yang berlandaskan Islam, selain jaminan mulut, PAS perlu melaksanakan dasar-dasar liberal, rasional dan progresif yang dapat dilihat dengan mata kepala rakyat pelbagai kaum dan agama.
Sebagai sebuah parti dalam pakatan pembangkang, parti Islam itu harus melaksanakan dasar yang sesuai dengan manifesto Barisan Alternatif - pada pokoknya sekular. Jika tidak, politik PAS dan Barisan Alternatif rasanya tidak akan mencapai peringkat kemuncak, meski suasana politik sangat memberangsangkan.

