MLKN diminta umum butiran terperinci kajiselidik
Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) diminta memberi butiran yang lebih terperinci mengenai kajiselidik yang dijalankannya yang mendapati 82 peratus daripada 44,000 responden tidak bersetuju dengan cadangan supaya pelatih lelaki dan wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diasingkan.
Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) diminta memberi butiran yang lebih terperinci mengenai kajiselidik yang dijalankannya yang mendapati 82 peratus daripada 44,000 responden tidak bersetuju dengan cadangan supaya pelatih lelaki dan wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diasingkan.
Pengerusi MLKN, Tan Sri Lee Lam Thye dilaporkan berkata responden terdiri daripada pelatih PLKN, ibu bapa mereka, jurulatih dan kakitangan pengurusan kem.
Menurutnya, responden kajiselidik tersebut dipilih secara rawak di 80 kem PLKN di seluruh negara.
Manakala dalam borang kajiselidik itu, dinyatakan responden dibahagikan kepada empat kategori, terdiri daripada ibubapa/penjaga (anak terpilih mengikut PLKN), ibubapa/penjaga (anak tidak pernah mengikuti PLKN), bekas pelatih PLKN dan remaja tidak pernah mengikuti latihan PLKN.
Mengulas mengenai kajiselidik itu, Setiausaha Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha'ani bin Abdullah berkata, peratusan komposisi responden adalah penting untuk mendapatkan kesimpulan sebenar sama ada cadangan pengasingan pelatih itu disokong atau dibantah.
Di samping itu, katanya, pemilihan responden dari kalangan ibubapa yang anak mereka tidak pernah mengikuti PLKN dan responden dari kalangan remaja yang tidak pernah mengikuti latihan PLKN, akan memberi keputusan yang tidak tepat.
Kemahiran komunikasi
"Ibubapa yang pernah menghantar anaknya ke latihan ini akan mempunyai anggapan sendiri terhadap PLKN," tambahnya.
Ditanya mengenai pendirian Fomca terhadap cadangan tersebut, Muhammad Sha'ani berkata, cadangan pengasingan itu tidak akan mewujudkan suasana sebenar di dunia luar.
"Tidak wujud peluang interaksi antara jantina dan juga pendedahan mengenai kemahiran komunikasi yang baik jika mereka diasingkan," katanya.
Bagaimanapun tegasnya, tempat penginapan pelatih perlu diasingkan dan pergaulan yang melampaui batas perlu dikawal.
Di samping itu, katanya, masalah sosial antara pelatih yang berbeza jantina dapat diatasi sekiranya masa lapang dipenuhi bagi mengelak aktiviti negative.
Muhammad Sha'ani berkata, pelatih harus menggunakan masa di kem untuk berlatih dan membangunkan sikap mereka.
Modul latihan
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Maamor Osman percaya kajiselidik itu mempunyai asasnya dan dilakukan oleh golongan yang pakar.
"Kadang-kadang responden yang di pilih itu tidak profesional kerana mereka tidak mengalami sendiri modul latihan itu," katanya mengenai kategori responden terbabit.
Oleh itu, katanya, kajian harus memberi keutamaan kepada pelatih kerana mereka lebih tahu dan memahami situasi sebenar di kem latihan.
Menurut Dr Maamor, pelatih tidak sepatutnya diasingkan mengikut jantina tetapi modul latihan untuk pelatih perempuan perlu dikaji semula.
"Latihan yang diberi harus berbeza kerana daya ketahanan antara lelaki dan perempuan tidak sama.
"Maklumat yang diperolehi daripada mereka yang telah menjalani latihan ini ialah, mereka setuju dengan percampuran jantina kerana wujud persaingan yang positif antara mereka," tambahnya.

