Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekali lagi diperalatkan oleh kerajaan untuk membaham tujuh aktivis reformasi minggu lalu. Tuduhan berat dilemparkan kepada mangsa-mangsa tahanan tanpa bicara ini.

Mereka yang ditahan adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, pemimpin Pemuda parti itu Mohamad Ezam Mohd Noor, N Gobalakrishnan, Abdul Ghani Haroon; aktivis reformasi dan juga penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais, penganjur perhimpunan Sabtu lalu Saari Sungib dan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamarudin.

Dalam sidang akhbar yang dihadir bersama oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, dan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Yusuf Rahaman, tujuh tahanan itu dituduh terlibat dalam kumpulan reformasi - seperti yang dimulakan sejak September 1998 untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan bercorak militan.

Pendekatan itu termasuklah:

- Melaksanakan langkah-langkah tertentu untuk mendapatkan bahan letupan termasuk bom dan pelancar grened;
- Menggunakan bom petrol, bebola penggalas dan pelbagai senjata berbahaya untuk menyerang pasukan keselamatan bagi menimbulkan huru-hara;
- Mempengaruhi guru silat dan bekas pegawai dan anggota keselamatan untuk menyertai kegiatan mereka.

Mereka juga dituduh terlibat dalam pakatan sulit seramai 20 orang yang bertanggungjawab merancang perhimpunan pada Sabu lalu ketika menyerahkan memorandum rakyat kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) atau dalam istilah polis, 'Black 14.'

Menurut polis, lebih kurang 50,000 orang akan dikumpulkan di sekitar ibu kota untuk mengadakan demonstrasi jalanan secara besar-besaran yang "berpotensi menjadi rusuhan."

Pada 14 April lalu, sempena ulang tahun kedua hukuman penjara terhadap bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim, tiga program cuba dirancang. Pertama ceramah perdana 'Hari Memperingati Kezaliman' di Markaz Tarbiyyah PAS di Gombak, dan ia berjalan seperti dijadualkan.

Kedua, penyerahan memorandum dengan pengesahan sokongan 50 buah pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat di pejabat Suhakam. Memorandum tersebut disampaikan oleh rombongan perwakilan 10 orang yang diketuai oleh Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan disambut tiga pesuruhjaya badan itu, Tan Sri Harun Hashim, Tan Sri Anuar Zainal Abidin dan Profesor Hamdan Adnan.

Prasangka polis

Dianggarkan dua hingga tiga ribu penyokong pembangkang dan reformasi berhimpun dengan aman serta tertib di dataran di kaki Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut.

Ketika menunggu lebih kurang 90 minit, selain gesaan agar semua peserta perhimpunan duduk dan bertenang, tiada ucapan atau tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghasut atau bercorak militan. Mereka segera bersurai secara aman dan teratur setelah mendengar taklimat ringkas daripada Wan Azizah dan Anuar Zainal.

Tuduhan perhimpunan 'Black 14' yang "berpotensi menjadi rusuhan" itu terbukti melulu dan tidak berasas sama sekali!

Program ketiga, konvensyen ekonomi anjuran Pemuda Barisan Alternatif yang bertajuk 'Ekonomi dan Masa Depan Negara' yang sepatutnya berlangsung pada petang 14 April di auditorium Angkasa, Kelana Jaya. Program ini terpaksa ditunda kerana sewaan dewan itu menarik permohonan tempahan kerana menghadapi tekanan politik.

Polis memutarbelitkan sesuatu yang terbuka sebagai rahsia, yang halal sebagai haram, dan yang aman sebagai ganas, dan dengan itu ISA dapat digunakan atas alasan menjaga keselamatan negara!

Misalnya kumpulan 20 orang aktivis reformasi, apakah yang hendak disulit-sulitkan atau boleh dianggap sulit jika senarai jawatan kuasa berkenaan telah disebarkan dalam pelbagai bentuk, kepada media, orang ramai dan juga laman web proreformasi?

Perhimpunan aman memang merupakan hak asasi rakyat tetapi ia dirampas oleh Barisan Nasional (melalui kuasa polis) dengan berbagai-bagai alasan. Masalahnya bukan pihak penganjur tidak mahu memohon permit tetapi polis, akibat dipengaruhi dasar dan tokoh politik BN, menaruh prasangka terhadap perhimpunan-perhimpunan yang dianjurkan oleh pembangkang atau gerakan reformasi, kononnya antikerajaan.

Perhimpunan aman 14 April umpamanya, siang-siang lagi telah disifatkan oleh polis sebagai perhimpunan haram yang "berpotensi menjadi rusuhan," dan orang ramai berulang kali diingatkan dengan gambaran aktivis reformasi cuba menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan bercorak militan yang melibatkan bahan letupan dan senjata berbahaya.

Lucu dan menyedihkan ialah pengarah sandiwara hitam 'Black 14', Dr Mahathir Mohamad. Bukan saja tidak mengaku salah kerana menfitnah mangsa ISA akibat tuduhan-tuduhannya yang terbukti tidak berasas itu, dan membebaskan tahanan serta merta, beliau malah bersemangat Ah Q.

(Ah Q adalah watak utama dalam novel Hikayat Ah Q, karya Lu Xun, pujangga China. Semangat Ah Q merujuk sifatnya yang lucu dan menyedihkan kerana sentiasa mencapai kemenangan daripada angan-angan reka-rekaannya).

Bercerita dongeng!

Akibat penangkapan tujuh orang aktivis reformasi itu, kononnya bilangan yang hadir telah berjaya dikurangkan daripada 50,000 orang kepada 1,500 orang. Mereka ini tidak merusuh kerana penghasut-penghasut telah ditahan di bawah ISA! Mahathir telah lupa bahawa angka 50,000 itu juga rekaan pihak polis!

Siapakah yang akan mempercayai bahawa ramai tokoh veteran pembangkang yang turut terlibat dalam perhimpunan 14 April itu dapat dihasut oleh sesiapa atau membenarkan sesiapa menghasut sehingga mencetuskan rusuhan? Janganlah bercerita dongeng!

Mengikut liputan akhbar, kita dapati pelbagai hujah pemimpin BN untuk mempertahankan penggunaan ISA walau kita sedar itu semua cubaan sia-sia untuk menegakkan benang basah.

Umpamanya Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yakin polis mempunyai bukti kukuh untuk menahan mereka. Jika benar ada bukti, mengapa mereka tidak didakwa dan dibicarakan di mahkamah, misalnya kumpulan Al-Mau'nah dan juga mereka yang terbabit dalam pergaduhan di Kampung Medan, Selangor baru-baru ini?

Dr Mahathir sendiri berpendapat bahawa mendakwa mereka di mahkamah memerlukan proses dan bukti yang tertentu. Dengan lain kata, sama ada tiada bukti atau bukti tidak kukuh yang menyebabkan mereka tidak diheret ke mahkamah! Inilah fungsi ISA sebagai undang-undang pencegah. Sebenarnya membolehkan polis menahan seseorang tanpa bukti yang kukuh untuk memulakan siasatan.

Justeru itu Suhakam, Majlis Peguam, dan banyak lagi pertubuhan meminta pihak berkuasa membebaskan segera tahanan terbabit dan mereka perlu dihadapkan ke mahkamah, jika melakukan sebarang kesalahan.

Pendirian Suhakam sangat mengecewakan Dr Mahathir. Beliau menegaskan bahawa polis, dan bukannya Suhakam, bertanggungjawab penuh terhadap soal keselamatan negara.

Sebagai menjawab kenyataan Dr Mahathir, Naib Pengerusi Suhakam (Harun Hashim) berkata: "Dari segi undang-undang, (kita) dibolehkan membuat kenyataan dan kita telah membuat kenyataan. Ini undang-undang Parlimen, bukan Suhakam yang buat."

Suhakam bertanggungjawab menjaga hak asasi rakyat Malaysia supaya tidak terhakis atau diceroboh. Dalam bidang kuasa ini, memang tidak patut Dr Mahathir memberikan tekanan politik yang begitu nyata dan kasar sekali terhadap badan itu yang berusia setahun.

Begitu juga anggapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rais Yatim. Suhakam mempertikaikan tindakan polis menahan tujuh aktivis reformasi itu tetapi pada hemat Rais, tindakan Suhakam itu sebagai tidak mempertahankan keluhuran undang-undang. Bukankah ISA yang menceroboh hak asasi seseorang tanpa proses pengadilan itu bertentangan dengan 'keluhuran undang-undang'?

Tuduhan Rais bahawa Suhakam mengikut acuan Barat dalam menangani isu hak asasi di negara kita juga mengelirukan. Masakan hak asasi juga terbahagi menjadi acuan Barat dan acuan Timur?