Konflik pesawat AS-China
Pertembungan pesawat pengintip Amerika Syarikat jenis EP-3 dengan jet pejuang China pada 1 April lalu menyebabkan pesawat tersebut terpaksa mendarat cemas di sebuah pangkalan udara di pulau Hainan. Jet pejuang China itu pula terhempas dan juruterbangnya hilang hingga kini walau pencarian besar-besaran terus dijalankan.
Sepuluh hari berlalu, Amerika Syarikat (AS) masih tidak bersedia meminta maaf kepada rakyat China seperti dituntut kerajaan republik itu.
Presiden George W Bush malah memberikan amaran keras bahawa hubungan China-AS akan musnah jika republik itu terus menahan semua 24 anak kapal pesawat pengintip itu.
Menteri Pertahanan China, Chi Haotian, sebaliknya menggesa Washington agar menerima hakikat, memikul tanggungjawab, memohon maaf kepada rakyat China dan mengambil langkah bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
Tambahnya, sudah jelas pesawat AS melanggar peraturan penerbangan, menyebabkan kemalangan pada jet pejuang China dan kehilangan juruterbangnya, melanggar undang-undang antarabangsa dan undang-undang republik itu.
AS enggan meminta maaf seperti tuntutan China, kerana mereka anggap peristiwa itu kemalangan biasa yang berlaku di ruang udara antarabangsa dan mereka berhak menjalankan aktiviti pengintipan di ruang udara itu. Pendaratan cemas pula tidak dianggap pencerobohan kerana pesawat AS mengalami kerosakan.
Kerajaan Amerika Syarikat juga membantah pihak berkuasa China kerana menahan semua anak kapal dan pesawat itu. Mereka meminta supaya China dengan segera membebaskan mereka dan memulangkan pesawat itu.
'Penyedut hampagas'
Kerana isu asal berpunca daripada aktiviti pengintipan pesawat AS di wilayah China, pertembungan itu sebenarnya kemalangan susulan. Tanpa aktiviti pengintipan, pertembungan barang tentu tidak berlaku.
Pesawat pengintip EP-3 dengan jelas bertujuan mengumpul pancaran dan radar dari kapal atau pangkalan tentera darat. Ia dilengkapi peralatan perisikan terkini yang berupaya memintas pancaran radio dan isyarat komunikasi musuh.
Pesawat itu digelar ' world watchers ' dan kecanggihannya diibaratkan 'penyedut hampagas' yang mampu menyapu bersih semua maklumat dan data.
China menganggap pengintipan AS itu suatu kegiatan yang mengancam keselamatan dalam negeri. Namun, Amerika sebaliknya mempertahankan hak menjalankan aktiviti pengintipan yang sah. Kedua-dua pihak memandang perkara ini berkaitan dengan prinsip dan pendirian.
Sesebuah negara berdaulat dan bermaruah tidak akan mengizinkan kuasa-kuasa besar bermaharajalela di persisiran wilayah negaranya. Jika mampu, negara itu akan 'mengajar' penceroboh itu, atau sekurang-kurangnya mengambil tindakan mempertahankan diri (defensive) yang minima dan perlu.
Imperialis AS, pada tahun 1960 lagi, sebagai polis dunia (atau penceroboh nombor satu dunia?), telah memasuki ruang udara Kesatuan Soviet dengan pesawat yang tercanggih waktu itu, U2 namanya. Pesawat pengintip Amerika itu akhirnya ditembak jatuh oleh tentera kesatuan tersebut, manakala juruterbangnya didakwa dalam mahkamah Kesatuan Soviet dan dipenjara selama dua tahun.
Penggubal yang tidak adil
Sebelum pesawat itu ditembak jatuh, menurut takrif AS, ruang udara antarabangsa meliputi seluruh dunia, kerana itu pesawat pengintip U2 boleh menjalankan tugasnya di seluruh pelusuk sesuka hati secara 'sah'.
Pada waktu itu, barulah saya betul-betul memahami teori yang disebut oleh pensyarah Sains Politik di Universiti Nanyang, Singapura, bahawa ruang udara sesebuah negara itu ialah jarak kekuatan senjata api negara berkenaan untuk menembak jatuh pesawat yang menceroboh.
Tidak dapat dinafikan wujud perjanjian-perjanjian ruang udara antarabangsa, tetapi ada kalanya perjanjian hanya dipandang sebagai kertas yang tidak berguna kepada kuasa-kuasa besar. Dengan mudah saja mereka boleh menolak perjanjian itu dan tidak mengiktiraf pelaksanaannya!
Mengikut China, ruang udara eksklusifnya ialah 188 kilometer daripada sempadan negerinya. Mengikut ukuran ini, pertembungan itu berlaku kira-kira 140 kilometer dari pantai China dan bukan ruang udara antarabangsa seperti dakwaan AS.
Namun kuasa-kuasa besar sering pula berlagak penggubal undang-undang yang tidak adil serta memaksa pelaksanaannya. Dan bagi undang-undang yang tidak menguntungkan, mereka sering pula menolaknya dan tidak sedia terikat dengan pelaksanaannya.
AS menafi pendaratan cemas pesawatnya itu sebagai pencerobohan tetapi anak kapal tidak meminta izin daripada pihak berkuasa China untuk mendarat seperti amalan biasa.
Di satu pihak, tidak mengaku mendarat tanpa keizinan itu adalah pencerobohan; dan di pihak yang lain, tidak membenarkan pesawat itu diperiksa oleh pegawai-pegawai China, kononnya pesawat AS merupakan peluasan wilayah dan kedaulatan AS!
Demikianlah amalan double-standard Amerika: keutuhan wilayah dan kedaulatan China diinjak-injak. Namun, kedaulatan wilayah AS terlalu diagung-agungkan sehingga ia sewenang-wenangnya memperluaskan kawalannya ke peringkat pesawat negara itu boleh berada di bumi China!

