CIMB pertahan skim pinjaman pra-lulus
Kumpulan bank kedua terbesar di Malaysia hari ini menafikan bahawa pinjaman peribadi pra-lulus yang ditawarkan kepada pelanggannya sama seperti skim yang ditawarkan oleh ceti haram (Ah Long) termasuk kadar faedah yang tinggi.
Kumpulan bank kedua terbesar di Malaysia hari ini menafikan bahawa pinjaman peribadi pra-lulus yang ditawarkan kepada pelanggannya sama seperti skim yang ditawarkan oleh ceti haram (Ah Long) termasuk kadar faedah yang tinggi.
Sebaliknya, CIMB berkata skim tersebut yang dilancarkan pada Januari 2005, bertujuan untuk menyediakan pinjaman kecil kepada mereka yang memerlukannya.
"Ini bukan seperti skim yang ditawarkan oleh Ah Long," kata Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan CIMB, Affendi Hamid ketika dihubungi hari ini.
"Ini merupakan perkhidmatan yang inovatif untuk menyediakan pinjaman supaya mereka tidak meminjam dari ceti haram.
Skim tersebut yang dikenali sebagai CIMB Xpress Cash, menwarkan pinjaman peribadi pra-lulus sebanyak RM5,000 kepada pelanggan terpilih pada kadar faedah tiga peratus sebulan (baki berkurangan) pada kadar harian.
Pelanggan pula ditawarkan cara bayaran balik bagi tempoh 24 bulan (RM296 sebulan), 36 bulan (RM230 sebulan) atau 48 bulan (RM198 sebulan). (Lihat carta)
Menurut Affendi, kemudahan itu disediakan untuk mereka yang tidak berpendapatan tetap atau tiada modal untuk memulakan perniagaan.
Pra-lulus tunai
Sementara itu, Ketua Ekspress CIMB Aaron Loo berkata, pihak bank tidak akan mengambil tindakan sepertimana yang dilakukan oleh Ah Long terhadap peminjam yang gagal membayar pinjaman.
Sebaliknya, kata beliau, CIMB akan menghubungi (untuk mengingatkan mereka), menghantar surat peguam atau menyenaraihitamkan mereka.
Loo juga enggan menyatakan jumlah surat tawaran pinjaman peribadi pra-lulus itu yang telah dihantar kepada pelanggan mereka. Bagaimanapun, difahamkan kira-kira 38,000 pelanggan telah ditawarkan pinjaman tersebut.
Dalam surat tawaran bertajuk Pra lulus tunai hanya untuk anda pelanggan berkenaan diberitahu mereka adalah salah seorang daripada pelanggan yang dihargai dan pihak bank berbesar hati untuk menawarkan pinjaman peribadi pra-lulus sebanyak RM5,000.
Sementara itu, Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Dr Hamdan Adnan berpendapat kadar faedah yang dikenakan untuk pinjaman ekspres CIMB adalah tinggi.
Oleh itu, katanya, Bank Negara perlu berbuat sesuatu berhubung perkara itu bagi melindungi kepentingan peminjam.
Beliau yang juga merupakan aktivis hak asasi manusia berkata, pihak bank tidak sepatutnya mengambil kesempatan terhadap pelanggan.
Implikasi negatif
"Skim ini mungkin baik jika CIMB mengenakan kadar faedah yang berpatutan," tambahnya.
Menurutnya, penawaran pinjaman mudah seperti itu juga boleh memberi implikasi negatif kerana ia boleh mewujudkan masyarakat yang suka berhutang.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Casca), Dr Jacob George berkata, pinjaman seperti itu biasanya adalah baik tetapi terpulanglah kepada pengguna untuk menerimanya atau tidak.
Bagaimanapun, Dr Jacob merasakan kadar faedah yang dikenakan itu terlalu tinggi.
"Jika mahu membantu masyarakat, mereka harus bersikap adil," katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah bercakap dengan pegawai kanan CIMB di Shah Alam supaya mengkaji semula kadar faedah tersebut.
Jacob berkata, persatuannya akan mengemukakan permintaan rasmi sebaik sahaja mereka siap mengumpulkan maklumat dari para pelanggan.

