Apa yang sedang saya lihat berlaku sekarang tidak meyakinkan saya bahawa agama Islam yang digunapakai di Malaysia ini adalah agama kesejahteraan, keharmonian dan agama kasih sayang. Pandangan saya ini berlandaskan apa yang sedang saya perhatikan berlaku terhadap agama Islam di dalam dan di luar negara.

Banyak perkara yang saya lihat meyakinkan saya bahawa agama Islam yang wujud di Malaysia hari ini bukan lagi satu agama yang berlandaskan kasih sayang. Ya Rahman dan Ya Rahim yang menjadi tunggak Islam telah dihilangkan.

Saya melihat negara negara yang mengakui bahawa daulah mereka adalah daulah Islamiah , kesemuanya sedang diperintah oleh regim yang ganas ganas lagi zalim. Dari Morocco hingga ke Indonesia dari apa yang saya baca menunjukkan tidak ada satupun daulah Islamiah ini yang dapat memberikan contoh contoh terbaik untuk dijadikan ikutan umat manusia.

Pakistan pada tahun 1947 telah diwujudkan atas dasar negara agama Islam. Di atas nama suci agama, ahli ahli peniaga Islam secara licik, telah memecahkan benua Bharat untuk melahirkan Pakistan Timur dan Pakistan Barat. Lihat apa akhirnya terjadi mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri; hingga ke hari ini masih dirasakan porak perandanya.

Pakistan Timur menjadi Bangladesh. Pakistan Barat terus di bawah junta tentera. Saya tidak nampak ciri ciri keIslaman di dalam kedua dua negara yang mengakui berasaskan Islam.

Lihat pula di negara tempat kelahiran agama Islam Saudi Arabia. Saya tidak nampak satu yang positif lahir dari negara ini dalam hal penyusunan kemasyarakatan warganya, walaupun ianya sebuah negara yang amat kaya. Bukan sahaja negara ini tidak pernah mengamalkan sistem pemilihan pimpinan secara demokratik, kita juga perlu bertanya dari lubang mananya munculnya sistem feudal raja ini. Walhal ketika Nabi Muhamad wafat dahulu, tidak pun wujud salasilah Raja Bani Saud. Hari ini Saudi Arabia memiliki rekod anti ruang demokrasi yang paling buruk dalam dunia.

Kehidupan warga Saudi dilihat oleh warga dunia sebagai paradoks, schizo dan bahan lucuan. Warga Saudi yang kaya, sering berulangalik ke negara negara yang mereka cap sebagai negara kafir. Mereka berbuat demikian untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa dan merasa udara yang lebih segar untuk bernafas. Malah, ramai pula yang terus membeli tempat tinggal dan menetap di negara negara kafir ini. Dalam negara kafir inilah baru mereka dapat merasakan apa itu ruang demokrasi.

Dalam negara kita di Malaysia ini, saya perhatikan kefahaman tentang Islam sebagai satu agama wahyu semakin merosot. Islam yang wujud di Malaysia ini ialah Islam yang telah di Melayu-kan oleh dua parti politik Melayu Umno dan PAS. Inilah Islam yang sedang saya perhatikan dari sehari ke sehari semakin tidak rasional dan semakin membawa umatnya ke Zaman Kegelapan.

Dijadikan alat politik

Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah Islam yang kita lihat bergerak, dipakai dan digunakan di Malaysia, bukan Islam yang terawang-awang atau Islam yang diharap-harapkan. Bukan Islam yang keluar dari mulut para pendakwah Melayu Islam. Bukan cakap-cakap yang muluk-muluk tentang Islam tetapi Islam yang beroperasi di sekeliling kita. Islam yang wujud di Malaysia pada ketika ini sedang dijadikan alat politik oleh kedua dua parti ini.

Cuba kita renungkan berita tentang keinginan masyarakat Islam Cina Malaysia yang ingin mendirikan masjid mereka sendiri. Permintaan ini telah ditolak. Apa rasional di belakang penolakan ini. Saya merasakan ianya ditolak kerana Islam di Malaysia ini wajib dilihat sebagai satu agama yang hanya dibenarkan dimonopoli oleh orang Melayu.

Bukankah lebih baik khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa yang difahami untuk dihayati oleh para jemaah. Permintaan mereka untuk saya adalah tanda kecintaan mereka terhadap agama Islam. Mereka ingin menjadi penganut Islam yang soleh. Khutbah dari Imam bertujuan untuk berkomunikasi. Dalam bahasa apa pun khutbah boleh disampaikan. Tidak mungkin Yang Maha Esa tidak
memahami bahasa Mandarin atau bahasa Swedish.

Masyarakat Melayu perlu diberitahu bahawa di Tanah Besar Cina, penganut agama Islam lebih besar jumlahnya dari yang wujud di Malaysia. Malah agama Islam telah sampai lebih awal ke negara China sebelum agama ini datang ke Melaka pada tahun 1404.

Ada pihak yang mempertikaikan rekabentuk masjid yang akan didirikan mungkin berciri ke Cinaan. Jika ini hasilnya maka kita seharusnya bangga untuk sama sama merayakan kepelbagian upaya umat manusia dalam penggunakan bahasa visual untuk mengagungkan Yang Maha Esa.

Juga, jangan lupa untuk pergi ke Melaka untuk menyaksikan betapa indahnya masjid masjid Islam awal yang didirikan ratusan tahun dahulu sebelum agama Islam ini dipolitikkan dan di Melayukan. Masjid masjid tua di Melaka ini memiliki ciri ciri senibina Tiongkok.

Akhir-akhir ini timbul satu lagi kes yang paling mendukacitakan saya. Kes Raimah Bibi Nordin yang dikatakan telah berkahwin dengan lelaki yang bukan seagama dengannya sehingga mendapat tujuh orang anak. Raimah Bibi telah ditahan dan kini terpaksa berpisah dengan anak dan suaminya. Berita yang mendukacitakan ini telah menjadi berita dunia.

Campurtangan

Dari apa yang saya baca, keluarga ini terdiri daripada keluarga yang miskin. Drama keluarga miskin ini menjadi kecoh apabila Islam Melayu campurtangan Lembaga lembaga Islam Melayu ini bukan melihat kemiskinan ini sebagai masalah yang dihadapai oleh keluarga ini.

Islam Melayu ini hanya berjaya melihat bahawa Raimah Bibi ini wajib dipisahkan dan diselamatkan dari keluarganya yang mereka dianggap kafir. Ayah yang namanya P Marimuthu dan tujuh orang anak-anak ini tidak perlu dibantu kerana mereka Hindu, yang perlu diselamatkan hanya Raimah. Inilah contoh terbaik keupayaan fikrah Islam Melayu dalam pemahaman mereka terhadap Islam.

Dalam kes Raimah Bibi ini saya tidak nampak Islam yang Ya Rahman dan Ya Rahim. Dalam kes ini saya tidak dapat melihat Islam yang diwar warkan sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang sesama manusia. Dalam kes ini saya tidak nampak kesucian Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhamad terhadap umat manusia. Apa yang saya lihat hanyalah Islam Melayu yang bagitu merosot
sekali akal fikrah mereka.

Apakah tidak sampai ke dalam benak pegawai lembaga lembaga Islam Melayu ini bahawa memisahkan anak, ibu dan ayah itu adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan. Apakah tidak mereka dapat menemui ayat ayat di dalam kitab suci al Quran yang menuntut penganutnya berbuat baik sesama manusia.

Tidakkah mereka menyedari bahawa tiga perempat dari semua ayat ayat al-Quran itu adalah tuntutan Yang Maha Esa agar kita membuat kebajikan kepada umat manusia. Berbuat baik itu adalah tuntutan agama Islam.

Agama apa pun dalam dunia ini yang dipolitikkan tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada umat manusia. Hari ini saya melihat bahawa lembaga lembaga Islam Melayu yang sedang dipolitikkan ini telah mengambil alih tempat Yang Maha Esa. Mereka bergerak seolah olah mereka adalah wakil Tuhan yang kudus di atas muka bumi ini. Hasilnya, apa yang sering kita dengar dari mulut
mereka ialah tangkap, rotan, sebat, hukum dan api neraka.

Kepada mereka yang bukan beragama Islam, saya memahami kesangsian mereka terhadap Islam. Apa yang kita lihat ini, untuk saya bukanlah Islam yang disampaikan oleh Muhamad bin Abdullah. Ianya juga bukan Islam Al Farabi, Ibnu Rushd atau Ibnu Sinna.

Islam yang dikembangkan oleh Al Farabi, Ibnu Rushd dan Ibnu Sinna adalah Islam rasional, Islam ilmuan. Islam inilah yang telah mempengaruhi pemikir pemikir Katholik dan Judaism di Eropah. Islam ilmuan jenis inilah yang menjana fikrah para Rabbai dan para Paderi untuk mengenepikan Zaman Gelap (Dark Ages) Eropah dan membuka Zaman Pencerahaan (Renaissance) untuk umat manusia.