"Sandiwara" adalah perkataan yang popular sekarang. Kalau pada zaman kanak-kanak dulu, perkataan "sandiwara" hanya dirasai di kalangan pendengar radio, kini ia meniti dari bibir ke bibir rakyat.

Bagi sesetengah pihak pula, perkataan ini menjadi sangat sensitif dan terasa pedasnya.

Begitu juga dalam politik Malaysia, drama atau sandiwara atau lakonan tidak pernah surut. Dari semasa ke semasa perkembangan politik digubah mengikut perancangan watak-watak tertentu dan kemudiannya aksi mereka ditayang-tayangkan selagi ia boleh dimanfaatkan oleh parti-parti politik atau pemimpinnya.

Sandiwara politik paling besar atau box office di negara ini yang pernah dipentaskan ialah soal ketuanan Melayu pada tahun 1987. Dalam drama ini, pelakon utamanya termasuklah bekas pemimpin utama MCA, Datuk Lee Kim Sai, Datuk Najib Tun Razak, Datuk Paduka Ibrahim Ali, Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan tidak lupa, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Plot sandiwara ini berkisar tentang ketuanan Melayu yang dicabar oleh masyarakat bukan Melayu. Maka gegak-gempita seluruh alam Melayu di negara ini. Dalam sandiwara ini, Umno muncul sebagai pahlawan atau "hero yang sanggup bermandi darah " - meminjam kata-kata Menteri Besar Selangor yang baru - untuk mempertahankan hak dan ketuanan bangsanya.

Panglima Umno pada masa itu, Datuk Seri Sanusi Junid pula berjanji untuk menghimpunkan setengah juta orang Melayu di Stadium Merdeka sebagai pameran kekuatan dan keberanian bangsa itu mempertahankan hak mereka.

Hasrat Sanusi tidak tercapai apabila drama ini terganggu aksi kemuncaknya dengan penangkapan lebih 100 orang ahli politik khususnya pembangkang dan pengkritik kerajaan dalam Operasi Lalang.

Malangnya dalam penahanan di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) itu, tidak ramai aktivis Umno ditangkap. Tokoh utama Umno yang beberapa pemimpin Pemuda, termasuk Ibrahim Ali.

Mangsa-mangsa lain termasuk pemimpin PAS, DAP, aktivis pendidikan Cina, aktvis badan bukan kerajaan (NGO) dalam pelbagai bidang.

Seorang wartawan, Datuk Ahmad Sebi turut ditahan dan tiga akhbar - The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan - dibatalkan permit penerbitannya.

Kim Sai, Sanusi, Najib, Muhammad Taib dan ramai pemimpin Barisan Nasional yang menjadi dalang kepada isu ini bebas. Begitulah sandiwara ketuanan Melayu ini berakhir. Selepas itu, isu ketuanan Melayu menjadi sepi.

Begitu licik Umno memainkan peranannya dalam drama panas seumpama ini. Pemimpin pembangkang yang berfikiran singkat begitu mudah terpengaruh dengan umpan wayang Umno dan MCA itu.

Pemimpin PAS yang mahu turut serta menjadi hero Melayu, lalu terikut-ikut dengan rentak yang dipalu oleh Umno, tetapi akibatnya mereka menjadi mangsa kebodohan sendiri.

Akhirnya rakyat dan pemerhati politik membuat kesimpulan bahawa drama ketuanan Melayu 1987 itu tidak lebih daripada agenda untuk menghalalkan penahanan secara borong pemimpin pembangkang.

Kini nampaknya drama ketuanan dan hak istimewa Melayu diulang tayang. Pelakon utamanya kali ini, Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen II), Datuk David Chua dan pemimpin Umno, terutama saya pemudanya.

Namun begitu ia gagal mencapai taraf box office seseperti kejadian 13 tahun lalu kerana pemimpin pembangkang nampak lebih cerdik sekarang. Mereka lebih berhati-hati.

Pemimpin PAS terutamanya cuba mengelakkan diri daripada terikut-ikut tarian yang dimainkan oleh Umno. Begitu juga DAP, para pemimpinnya tidak beremosi kali ini.

Seorang pemimpin utama PAS menyifatkan isu ketuanan Melayu yang digembar-gemburkan kini tidak lebih daripada sebuah "sandiwara." Timbalan Presidennya, Abdul Hadi Awang menegaskan insiden ini sebagai "lakonan Umno dan Barisan Nasional."

"Ia hanya satu drama apabila Umno dan BN semakin takut bahawa undi mereka di kalangan orang Melayu merosot selepas pilihan raya umum lalu," tegas Menteri Besar Terengganu lagi.

Pandangan itu dikongsi bersama majoriti rakyat negara ini. Orang Melayu, selain daripada penyokong totok Umno, tidak begitu ambil pusing. Mereka sedar bahawa isu itu tidak lebih daripada wayang kulit yang akan tamat skripnya apabila Presiden Umno membuka mulut.

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang berada di Mozambique telah meminta supaya isu ini tidak lagi diperbesar-besarkan. Pastinya hero-hero Melayu dalam Pemuda Umno akan akur dengan penuh setia pada arahan presiden mereka.

Berjayakah Umno dan Pemudanya menjadi hero Melayu terakhir dalam sandiwara ini? Terpujukkah rajuk orang Melayu terhadap Umno? Atau mungkinkah isu ini menjadikan orang Melayu makin meluat dengan gelagat parti ini dan pemimpin Pemudanya yang kebudak-budakan itu?