Polis menyerbu pejabat Putra Post di Ampang Hilir pagi tadi ekoran satu laporan polis yang dibuat terhadap tabloid tersebut yang sedang diedarkan di kawasan pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.

Ketua Pengarang Putra Post , Mohamed Nawi mengesahkan bahawa lapan anggota polis dari ibupejabat polis Ampang Jaya menyerbu pejabatnya kira-kira jam 9 pagi tadi

Beliau memberitahu malaysiakini , pasukan polis tersebut turut merampas sebuah komputer serta plet cetakan untuk siasatan mereka.

Katanya, mereka memaklumkan kepadanya bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadap Putra Post yang mendakwa ianya diterbitkan tanpa permit penerbitan daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (DN).

Laporan polis tersebut, katanya, dibuat berdasarkan kepada artikel yang disiarkan oleh tabloid tersebut yang kini sedang diedarkan dalam pilihanraya kecil Ijok.

Kilang cetak diserbu

Katanya, artikel tersebut adalah mengenai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isu-isu lain yang berkaitan dengan Umno dan pilihanraya kecil Ijok.

Antara penulis artikel berkenaan, kata Mohamed, adalah Raja Petra dan bekas ahli Parlimen, Datuk Ruhanie Ahmad.

Menurut Mohamed, beliau kemudiannya telah menunjukkan permit KDN kepada pasukan polis tersebut.

Bagaimanapun, katanya, mereka memberitahunya bahawa mereka tidak dapat membuat pengesahan permit tersebut dengan KKDN.

Sehubungan itu, katanya, beliau menghubungi sendiri bahagian penerbitan KDN yang menurutnya telah mengesahkan bahawa permit tersebut adalah sah dan masih berkuatkuasa.

Putra Post diterbitkan oleh Pancawarna Enterprise dan dicetak oleh Kam Heng Printers di Sri Kembangan.

Katanya, beliau juga dimaklumkan bahawa pihak polis Seri Kembangan turut membuat serbuan ke kilang yang mencetak Putra Post .

Artikel mengenai Najib dalam edisi terbaru Putra Post itu ditulis oleh Ruhanie, yang menyebut bahawa Timbalan Perdana Menteri itu menjadi sasaran konspirasi politik untuk menyingkirkannya dari Umno.

Antara lain, ia menyebut, pada hari ini, ia menjadi rahsia umum bahawa sekumpulan individu sedang berusaha secara terbuka dan terselindung untuk meminggirkan Najib melalui rombakan kabinet atau dalam pilihanraya umum.

Ia juga menyiarkan laporan yang kritikal terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda Umno.

Pro-Mahathir

Putra Post juga dianggap sebagai sebuah tabloid yang pro-bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia mula diedarkan sewaktu tercetusnya perbalahan antara Dr Mahathir dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ia berikutan tindakan kerajaan Abdullah membatalkan beberapa projek yang dimulakan sewaktu pentadbiran Dr Mahathir, khususnya pembatalan projek pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Putra Post juga digunakan oleh penyokong bekas Perdana Menteri itu, termasuk kelab Generasi Mahathir, sewaktu Dr Mahathir bertanding untuk jawatan perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno yang lalu.

Dr Mahathir tewas dalam pertandingan tersebut, dan beliau mendakwa ianya berpunca daripada politik wang.