Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah selesai menjalankan siasatan awal terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom yang didakwa menerima sogokan RM5 juta bagi membebaskan penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat (OD).

Pemangku Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, laporan tersebut telah diserahkan kepada pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

"Bagaimanapun, saya tidak tahu kandungan laporan itu," katanya kepada pemberita selepas menutup Forum BPR Bersama Media di Pulau Pinang hari ini apabila diminta mengulas status siasatan tersebut.

Pada 4 Mac lalu, Johari menafikan dakwaan beliau menerima sogokan itu tetapi mengaku membebaskan beberapa tahanan selepas meneliti laporan polis dan saksi bebas dan menerima pandangan Penasihat Undang-undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, demikian menurut laporan Bernama

Pada masa yang sama, beliau membidas pihak polis kerana tidak mengikuti prosedur dalam menyerahkan fail-fail berkaitan tahanan Ordinan Darurat dan juga kelemahan polis dalam mengemukakan bukti kes sehingga menyebabkan suspek tidak dapat didakwa di mahkamah.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Said berkata BPR akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bersama media bagi membincangkan pendekatan terbaik dalam melaporkan berita jenayah rasuah agar dengan tujuan mendidik masyarakat untuk menghindari gejala itu.

Maklumat terkini

"Kita boleh membincangkan masalah berkaitan rasuah dan integriti sekurang-kurangnya sekali dalam setahun supaya media dapat menyampaikan mesej mengenai pencegahan jenayah rasuah dengan lebih berkesan dan laporan media mengenai kes-kes rasuah juga tidak menjejaskan siasatan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, dalam menyajikan berita dan maklumat terkini, pengamal media berhadapan dengan cabaran untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan berkredibiliti berhubung kes rasuah sehingga kadangkala menimbulkan suasana tidak harmoni antara kedua-dua pihak.

"Perkara ini mungkin berlaku kerana kedua-dua pihak tidak memahami dengan jelas bidang tugas masing-masing serta mengenai halangan atau sekatan dalam tugas dan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Beliau menyifatkan Forum BPR Bersama Media itu, yang pertamakali diadakan di negara ini, sebagai inisiatif yang baik untuk membuka laluan kepada kerjasama dan persefahaman lebih erat pada masa akan datang.

Forum bertajuk Peranan dan Kerjasama Media Dalam Pencegahan Rasuah itu disertai 45 peserta terdiri daripada pengamal media, kakitangan BPR dan agensi di bawah Kementerian Penerangan di Pulau Pinang.