Pertandingan enam penjuru di Ijok?
Empat individu telah menyuarakan minat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April depan, demikian menurut sumber-sumber.
Empat individu telah menyuarakan minat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April depan, demikian menurut sumber-sumber.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada mereka benar-benar akan bertanding dan akan hanya diketahui pada hari penamaan calon esok.
Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menamakan calon masing-masing. BN akan diwakili oleh K Parthiban, 38, (kiri) dari MIC manakala Tan Sri Khalid Ibrahim, 61, (kanan) akan mewakili PKR.
Parthiban pegawai pendidikan daerah Kuala Selangor dan Khalid pengerusi PKR Selangor dan bendahari agung parti pembangkang itu adalah anak jati Kuala Selangor.
Empat individu yang menyuarakan hasrat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas ialah ahli perniagaan K Loganathan, 47; lulusan perundangan K Mutharasu, 41; broker tanah Ali Mohamed dan seorang ahli perniagaan keturunan Cina. Keempat-empat mereka adalah anak tempatan.
Loganathan bekas ahli MIC Shah Alam dilaporkan berkata beliau mahu bertanding sebagai calon bebas kerana mendakwa BN gagal membangunkan Ijok serta tidak senang dengan cara MIC menangani masalah masyarakat India di kawasan tersebut.
Beliau tinggal di Klang tetapi dilahirkan di Estet Caledonian, dekat pekan Ijok.
Penyokong Subra
Mutharasu juga merupakan bekas ahli MIC. Malah, beliau pernah menjadi setiausaha MIC cawangan Taman Assam Jawa MIC, dekat Ijok, sebelum ia ditutup oleh Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.
"Bapanya, Mugilan merupakan seorang yang dihormati di kawasan ini. Beliau adalah penyokong bekas Timbalan Presiden, Datuk S Subramaniam," kata satu sumber.
Tambahnya, Mutharasu boleh mendapatkan sokongan daripada penyokong Subramaniam di kawasan tersebut jika beliau jadi bertanding.
Subramaniam gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu tahun lalu dan tewas kepada Datuk G Palanivel yang disokong oleh Samy Vellu.
Calon ketiga, Ali, dilahirkan di Kampung Kuantan, dekat Ijok, dan masih menetap di sana.
Sumber yang rapat dengannya berkata Ali adalah seorang ahli DAP yang aktif dan mahu bertanding bagi memecahkan undi kaum India untuk memberi kelebihan kepada PKR.
"Bagaimanapun, beliau tidak menerima restu daripada kepimpinan DAP dan ini mungkin menjadi masalah," tambah sumber itu.
Seorang lagi, ahli perniagaan keturunan Cina, tinggal dan menjalankan perniagaan di Kuala Selangor sejak 27 tahun yang lalu. Beliau juga aktif dalam arena politik tempatan.
Berkhidmatan kepada masyarakat
Tidak banyak yang diketahui mengenai calon ini tetapi beliau telah memberitahu penduduk bahawa beliau mahu melihat lebih banyak kemajuan di Ijok.
Antara keempatnya, pemerhati politik berpendapat, Mutharasu mempunyai peluang lebih cerah kerana beliau disokong oleh seorang yang berpengaruh.
Bagaimanapun, bekas ketua MIC Kuala Selangor, P Thirumoorthy berkata, beliau tidak akan bertanding.
Pemimpin veteran MIC itu telah keluar parti bersama ahli dari 33 cawangan lagi, selepas tidak dipilih oleh Samy Vellu sebagai calon dalam pilihanraya kecil Ijok.
"Tidak, saya tidak akan bertanding sebagai calon bebas atau menyokong calon bebas yang lain," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Menurut Thirumoorthy, beliau adalah seorang ahli yang setia dan akan terus bersama BN.
"Saya tidak puashati dengan Samy Vellu. Beliau gagal menghargai usaha saya kepada parti sejak 30 tahun yang lalu," kata guru berusia 55 tahun itu.
Katanya, beliau akan terus berkhidmat kepada masyarat dan bercadang menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan yang turut dianggotai oleh profesional bagi membantu masyarakat India di situ.
"Kita akan memperjuangkan isu-isu dan membawa masalah yang dihadapi oleh masyarakat kepada rakan-rakan kita dalam BN untuk ditangani," tambahnya.
Thirumoorthy mempunyai ramai penyokong di Ijok dan Kuala Selangor serta memainkan peranan penting dalam memastikan Ijok kekal di tangan BN.
Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya K Sivalingam, 59, pada 4 April lalu. Berita asal

