Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim dipilih sebagai calon parti itu dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April depan.

Walaupun pengumuman rasmi belum dibuat, tetapi biro penerangan parti itu telah menghantar emel profail Khalid kepada pihak media.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman rasmi di satu majlis di Ijok malam ini.

Khalid akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban. Kerusi Ijok kosong ekoran kematian penyandangnya, K Sivalingam pada 4 April lalu.

Khalid adalah antara pengasas PNB dan telah memajukan institusi pelaburan bumiputera itu menerusi beberapa skim saham amanah termasuk Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Boikot mesyuarat

Khalid meninggalkan PNB pada Julai 1994 untuk menyertai kumpulan Guthrie. Beliau mempunyai kelayakan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland.

Isu pemilihan calon PKR untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Ijok telah mencetuskan kontroversi apabila ada pihak dalam parti pembangkang itu mahukan calon keturunan India diletakkan bertanding.

Kumpulan tersebut turut memboikot mesyuarat yang diadakan pada malam Sabtu lalu untuk membincangkan strategi pilihanraya kecil itu selepas mendapat tahu yang Khalid telah dipilih sebagai calon.

Spekulasi bertiup kencang pada hujung minggu lalu apabila PKR menyenaraipendekkan Khalid dan ahli perniagaan Datuk S Nallakarupan.

Khalid dilahirkan Di Kuala Selangor. Tokoh korporat berusia 61 tahun itu yang merupakan teman rapat Anwar menyertai PKR tahun lalu. Beliau juga merupakan Ketua PKR Selangor dan ketua bahagian Kuala Selangor.

Kempen SMS

Menurut emel PKR tersebut, perkhidmatan Khalid dalam sektor korporat telah memberi faedah kepada penduduk tempatan di Kuala Selangor.

Ia termasuk pembinaan sebuah pusat latihan mengendalikan jentera industri di Kuala Selangor dan memperkenalkan program melatihkan pelajar yang tercicir.

"Kedua-dua program tersebut berjaya meningkatkan kualiti hidup dan memberi peluang pembelajaran kepada penduduk, terutama para remaja di Kuala Selangor," katanya.

Kenyataan itu menegaskan, jika terpilih, Khalid akan memperkenalkan program sosial dan ekonomi, yang menumpukan kepada latihan kemahiran dan pembangunan belia.

Sementara itu, khidmatan pesanan ringkas (SMS) telah dihantar secara meluas semalam yang mengkritik Khalid sewaktu beliau berkhidmat dengan Guthrie.

SMS itu menubuh beliau memberi layanan buruk terhadap penduduk setinggan, yang majoritinya kaum India, dengan mengarahkan rumah mereka dan kuil Hindu dirobohkan.

Ketika dihubungi sebelumnya, Khalid berkata, beliau tidak menyedari mengenai penyebaran SMS itu tetapi menyifatkannya sebagai 'perkara biasa' dalam politik.

"Saya tidak berbuat apa-apa yang salah (ketika bersama Guthrie). Kita tidak perlu menjawab semua (dakwaan) tersebut," tambahnya.