Kehidupan P Marimuthu sekeluarga berubah secara tiba-tiba apabila tujuh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) datang ke rumah mereka di Kampung Baru Tambahan Ulu Yam pada 2 April lalu.

Mereka memberitahunya bahawa isterinya Raimah Bibi, 40, adalah seorang Islam dan oleh itu, dia (Raimah) dan lima orang anak mereka yang berusia antara empat hingga 12 tahun mesti ditempatkan di pusat pemulihan.

Manakala anak sulung pasangan tersebut tiada di rumah ketika itu kerana tinggal bersama bapa saudaranya.

Ketika menceritakan peristiwa tersebut dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini, Marimuthu seorang penoreh getah berkata beliau tiada pilihan dan terpaksa melepaskan mereka dibawa pergi.

Beliau juga mendakwa, seorang ustaz telah memberitahunya supaya memeluk agama Islam atau akan mendakwanya kerana berkhalwat dengan Raimah. Marimuthu mengahwini Raimah sejak 21 tahun yang lalu.

Raimah yang pulang membantunya menoreh getah dua hari kemudiannya, memberitahu bahawa Jais telah menempatkan keluarganya berhampiran Kampung Kampung Melayu Liga Emas.

Beliau mendakwa, Raimah memberitahunya, penduduk kampung tersebut yang sebahagian besarnya Melayu telah diminta mengawasinya dan tidak membenarnyanya berjumpa dengan orang luar, terutama suaminya.

Marimuthu berkata, beliau terasa terancam dengan pandangan orang Kampung apabila dia cuba menziarahi isteri dan anak-anaknya.

"Isteri saya begitu takut sehingga enggan keluar dan bercakap dengan saya. Saya tiada pilihan dan terpaksa meninggalkan kampung tersebut," katanya.

Menurutnya, Raimah dapat keluar beberapa kali bersama anak-anaknya untuk pulang ke rumahnya tanpa pengetahuan orang lain.

"Kami bersama untuk seketika dan kemudian dia balik semula ke sana," katanya.

Lim: Satu tragedi

Marimuthu juga berkata, beliau tidak tahu sama ada isterinya itu mengamalkan agama Islam sebelum mereka berkahwin. Bagaimanapun, katanya, sejak berkahwin mereka berdua mengamalkan agama Hindu.

"Kami berkahwin di kuil mengikut upacara agama Hindu. Semua anak-anak kami dibesarkan mengikut agama Hindu," katanya.

Katanya, Raimah, yang menjadi anak angkat kepada seorang keluarga India Muslim, tidak ingat nama ibu angkatnya dan arwah bapa angkatnya telah merestui hubungan mereka.

Mengikut Marimuthu, nama isterinya dalam MyKad dinyatakan sebagai Raimah Bibi binti Noordin dan agamanya Islam.

Pasangan tersebut tidak mengemukakan sebarang permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memperbetulkannya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, yang turut menemani Marimuthu berkata, pihak berkuasa mengetahui mengenai 'status agama' Raimah apabila mereka mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah dan salinan kad pengenalan mereka dikemukakan kepada jabatan pendidikan.

Lim menyifatkannya sebagai satu kesilapan kecil yang telah mengakibatkan tragedi berlaku ke atas keluarga berkenaan.

Oleh itu, katanya, perkara tersebut mesti disemak dengan pihak berkuasa supaya keluarga tersebut dapat kembali bersatu semula. Berita asal