Setiausaha MIC bahagian Tanjung Karang, K Parthiban, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pada kira-kira jam 5.20 petang tadi di Dewan Simponi di Ijok.

Hadir sama ialah Presiden MIC yang juga Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu.

Parthiban, 38, bertugas sebagai pegawai pendidikan di pejabat pendidikan Kuala Selangor. Beliau dipercayai telah melepaskan jawatannya Jumaat lalu.

Parthiban adalah seorang guru graduan yang pernah mengajar di beberapa sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan Tamil di Kuala Selangor dan Tanjung Karang.

Beliau dilahirkan di estet Raja Musa di Kuala Selangor. DUN Ijok terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Selangor.

Sebelum ini, beberapa nama telah disebut-sebut bakal dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Ijok yang merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu. Dan nama Parthiban tidak termasuk langsung dalam senarai tersebut.

Patuh keputusan parti, Najib

Seperti yang dilaporkan oleh malaysiakini semalam bahawa pemilihan Parthiban tidak disenangi oleh beberapa pemimpin akar umbi di MIC di Kuala Selangor.

Semalam, Ketua MIC Kuala Selangor, S P Thirumoorthy mengancam akan meletakkan jawatan sekiranya beliau tidak dipilih oleh parti itu bertanding di Ijok.

Beliau mendakwa mendapat sokongan 33 cawangan MIC di Kuala Selangor, termasuk 18 cawangan di Ijok dan dua lagi di Tanjung Karang.

Dalam reaksinya, Samy Vellu berkata beliau tidak akan melayan tuntutan Thirumoorthy dan 'biar dia meninggal parti itu'.

Sebaliknya, Menteri Kerjaraya itu berkata, calon pilihannya boleh menang walaupun tanpa sokongan Thirumoorthy.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata, setiap ahli BN mesti bersatu menyokong calon yang telah dipilih itu.

Calon bebas

Bernama memetik beliau sebagai berkata, sebagai ahli parti mereka mesti bersedia menerima keputusan yang telah dibuat.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan nama calonnya di Batang Berjuntai malam esok.

Setakat ini, Bendahari Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim masih disebut-sebut bakal dipilih sebagai calon parti itu di Ijok.

Semalam, mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR telah menyenaraipendekkan dua nama - Khalid dan Datuk S Nallakarupan.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan K Loganadan, 47, mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di Ijok.

Bercakap kepada Bernama semalam, Loganadan berkata keputusan itu tidak didorong oleh sesiapa, sebaliknya untuk berkhidmat di kawasan itu kerana beliau mendakwa tidak banyak pembangunan dan kemajuan dibawa oleh wakil rakyat terdahulu.

Loganadan yang kini menetap di Klang, dilahirkan di Ladang Caledonian, kira-kira lima kilometer dari pekan Ijok dan mendapat pendidikan rendah di sekolah Tamil di situ sebelum melanjutkan pendidikan menengah di Batu Arang dan Batang Berjuntai.

"Saya adalah anak tempatan dan tinggal di sana selama 18 tahun dan cukup tahu masalah di situ," katanya yang juga Timbalan Presiden Kelab Motivasi Insan Cemerlang Selangor, sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Loganadan mendakwa beliau pernah menjadi ahli MIC selama kira-kira lapan tahun dan mempunyai ramai kenalan serta sanak-saudara di Ladang Caledonian yang turut termasuk dalam DUN Ijok.