Petugas pilihanraya yang mendakwa dari PAS Alor Gajah turut membantu calon DAP, Liou Chen Kuang dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Khamis ini.

Mereka memfokuskan kepada kawasan majoriti pengundi Melayu seperti di Melaka Pindah dan kawasan sekitarnya.

Seorang petugas PAS terbabit yang ditemui malaysiakini, mendakwa pucuk pimpinan PAS kawasan Alor Gajah bersetuju membenarkan mereka membantu calon DAP.

Bagaimanapun, katanya, kempen tersebut perlu dijalankan secara senyap-senyap bagi mengelak dikesan oleh pihak Barisan Nasional (BN).

Pilihanraya kecil Machap menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon DAP, Liou Chen Kuang dengan calon BN, Lai Meng Chong.

PAS sebelum ini memboikot pilihanraya tersebut dan melarang ahli dan penyokongnya daripada menyokong calon DAP.

Salahguna jentera k'jaan

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Alor Gajah, Zaili Muhamad, ketika ditanya mengenai perkara itu, berkata pihaknya akan menyiasat untuk mendapatkan kesahihannya.

Sehingga ini, katanya, beliau belum mendapat sebarang maklumat mengenai ada petugas PAS yang membantu calon DAP di Machap.

Menurutnya, PAS tidak mempunyai perancangan membantu DAP secara sulit ataupun di saat-saat akhir.

Sementara itu, Zaili berkata, PAS Alor Gajah sedang membuat pemantauan terhadap penyalahgunaan jentera kerajaan untuk berkempen oleh BN.

"Kami mendapati agensi kerajaan seperti Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah digunakan untuk berkempen bagi pihak calon BN," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaili berkata, gambar tempat premis dan jentera kerajaan disalahgunakan seperti sekolah telah diambil untuk rujukan parti dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

BN edar VCD

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) mengedarkan risalah dan cakera padat video (VCD) yang mendakwa bahawa mengundi DAP dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap esok sama seperti menyokong PAS.

Antara lain, VCD tersebut menunjukkan penyelaras media Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ginie Lim memberitahu satu majlis ceramah di Machap minggu lalu bahawa "menyokong DAP bermakna menyokong pembangkang, menyokong pembangkang bermakna menyokong PKR dan PAS."

VCD mendakwa, walaupun DAP telah keluar dari Barisaan Alternatif (BA) pada 2001, tetapi ia masih bekerjasama secara sulit dengan rakan-rakan lamanya dalam BA PAS dan PKR.

DAP meninggalkan barisan pembangkang itu kerana tidak bersetuju dengan matlamat PAS untuk menubuhkan negara Islam.

Sementara itu, risalah turut diedarkan yang memaparkan keratan akhbar Cina mengenai dasar-dasar kontroversi kerajaan PAS di Kelantan, seperti cara pakaian dan kenyataan Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kakitangan awam wanita tidak boleh memakai gincu.

Dipercayai lebih 1,000 keping VCD itu telahpun diedarkan di kawasan majoriti pengundi Cina.

Sementara itu, pakar strategi pilihanraya DAP, Liew Chin Tong memberitahu malaysiakini, pihaknya mendapat maklumat bahawa selepas tengah malam, pihak lawan akan memasang bendera PAS dan satu kain rentang lama yang memaparkan Lim Kit Siang memeluk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut anggota pasukan penguatkuasa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Yew Han Hwey, mereka telah menurunkan lebih 50 bendera PAS yang dipasang di daerah pengundian Tebong dan Machap Baru sejak semalam.

DAP berkata, beliau telah menghubungi PAS dan diberitahu parti itu tidak pernah memasang sebarang benderanya di situ.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Dr Fong Chan Onn berkata, VCD itu diedarkan untuk "mendedahkan" pakatan sulit antara DAP dan PAS.

Katanya, BN tidak berniat untuk menaikkan sentimen pengundi tetapi ianya berkewajipan untuk mendedahkan kebenaran kepada rakyat.