Larangan mementaskan tarian singa pada 'Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat' di Kampung Medan, Selangor dua minggu lalu adalah bukti yang amat jelas tentang songsangnya dasar budaya kerajaan Barisan Nasional. ([#1]Tarian singa: Keadilan adu kepada menteri budaya[/#], 23 Jan)

Kesongsangan ini semakin jelas kelihatan dalam dua dekad kebelakangan ini. Pandangan juling tentang bentuk-bentuk seni muncul akibat dasar budaya yang salah.

Dasar Kebudayaan 1971 boleh dilihat sebagai langkah yang positif walau falsafahnya masih boleh dipersoalkan. Menurut Resolusi 1971, asas budaya Malaysia berteraskan budaya Melayu dan Bumiputera. Di sinilah munculnya kegagalan takrifan awal kerana budaya manusia Melayu itu terkelompok ke dalam pandangan dunia yang dipengaruhi oleh kelas.

Persoalan akan timbul, budaya kelas Melayu mana yang akan mejadi teras - budaya kelas Melayu feudal? Atau, budaya majoriti manusia Melayu daripada kaum tani dan kaum buruh?

Apa yang jelas berlaku sekarang, budaya yang diterapkan oleh Barisan Nasional di bawah Umno ialah budaya Melayu feudal berjenis kolot. Bukan satu kesalahan untuk menjadikan budaya feudal ini sebagai rujukan tetapi apa yang dipungut dan diperkukuhkan oleh Umno ialah manifestasi budaya Melayu feudal yang beku dan antiperubahan.

Budaya feudal jenis Umno ini menunduk dan mematahkan potensi minda individu untuk berani merayau bebas melanggari bingkai-bingkai budaya yang sedia wujud untuk melahirkan bentuk-bentuk seni yang baru. Melalui budaya feudal Umno, manusia Melayu terus dididik dan dibudayakan untuk berjiwa hamba kepada Umno.

Budaya secara senangnya ialah cara hidup dan pandangan dunia satu-satu kelompok manusia. Pandangan dunia kumpulan manusia ini wujud berlandaskan asas ekonomi. Pada peringkat awal ketamadunan manusia, semua budaya kumpulan berasaskan pertanian. Hingga ke hari ini, aktiviti pertanian terus menjadi asas budaya kepada semua bangsa di dunia ini. Dari ekonomi pertanianlah munculnya budaya kelas tuan tanah, budaya kelas feudal, budaya kelas perniagaan dan budaya kelas pemerintah.

Gabungan unsur Timur Tengah-India

Asas ekonomi pertanian ini juga telah memangkinkan kelahiran revolusi industri yang membawa jentera, teknologi dan kemodenan. Jentera dan teknologi yang bersekongkol dengan modal telah melahirkan bentuk-bentuk budaya baru yang sedang wujud di sekeliling kita hari ini.

Seni, artifek seni dan bentuk-bentuk budaya daripada semua genre lahir kerana manusia ingin keselesaan dan merayakan kehidupan. Selidiki dan kajilah pesta bangsa-bangsa di dunia, pasti akan ditemui asas merayakan kehidupan. Bentuk-bentuk seni diwujudkan kerana manusia ingin merayakan hidup dan berterima kasih pada Yang Esa.

Justeru, tarian singa juga adalah satu bentuk seni masyarakat Tionghua untuk merayakan kehidupan dan berterima kasih pada Yang Esa. Singa bukanlah haiwan yang wujud di benua China atau Asia. Tetapi 'watak singa' telah diterima pakai oleh masyarakat China. Daripada kajian, terbukti bahawa tarian ini berasal dari Timur Tengah dan dibawa masuk ke Tiongkok melalui Jalan Sutera.

Tarian singa disadur pula dengan mitos tempatan untuk dijadikan perayaan menyambut tahun baru. Tahun baru Cina adalah perayaan pertanian di mana benih-benih bijirin yang ditanam di musim sejuk telah mula bercambah. Ia membawa kegembiraan, lalu dirayakan oleh kaum tani. Bentuk budaya tarian singa ini disucikan dengan pandangan agama Buddha-Tao yang bersalut seni pertahanan diri, kung fu, yang berasal dari India.

Lihatlah bagaimana satu manifestasi seni berubah-ubah bentuk mengikut iklim dan mitos tempatan di sesuatu kawasan.

Sayangnya Umno yang juling dan tidak sihat dasar budayanya cuba memperlihatkan tarian singa sebagai unsur kecinaan yang akan mengancam bentuk-bentuk seni budaya Melayu. Kejulingan mata kiri Umno ini disokong dan dipagari pula oleh budayawan-budayawan Melayu yang juling mata kanannya.

Hari ini banyak bentuk seni yang merayakan kehidupan rakyat telah dimasukkan ke dalam pembetung oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Kementerian ini yang menjalankan dasar budaya Umno diberikan kuasa hegemoni untuk memberikan takrifan tertentu terhadap apa yang boleh dipanggil 'bentuk seni budaya', walhal budaya itu adalah kehidupan orang ramai.

Dasar budaya Umno ini hanya memperagakan dan memperkukuhkan bentuk (form) tanpa apa-apa pengisian yang hidup segar dan kontemporari. Dalam masa yang sama, pembetungan telah memisah-misahkan pelbagai bentuk seni rakyat semua bangsa daripada difahami, dikenali, dihayati dan dirayakan bersama. Pembetungan ini telah berjaya melahirkan prasangka budaya antara bangsa-bangsa di negara kita.

Seni sebagai komoditi untuk pelancong

Noktah akhir daripada dasar pembetungan ini ialah bentuk-bentuk seni semua bangsa dimasukkan pula dalam satu pakej sebagai komoditi untuk tontonan pelancong. Bentuk-bentuk seni yang diwarwarkan oleh kementerian kebudayaan Umno itu telah lari dari akidah asal - merayakan kehidupan.

Hari ini, pada hakikatnya bentuk-bentuk seni kepunyaan semua bangsa - Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain - sedang diancam oleh dasar budaya Umno. Undang-undang, peraturan, permit dan lesen direka cipta sebagai halangan-halangan untuk memastikan bentuk-bentuk seni ini terus terkurung dan dapat dibetung oleh Umno. Rakyat yang mahu berpesta bagi merayakan kehidupan tanpa mengikut garis minda dan definisi Umno, seperti di Kampung Medan dua minggu lalu, telah ditindas.

Seni dan budaya adalah jiwa dan nafas kehidupan. Manusia hidup untuk merayakan kehidupan. Pesta dan perayaan - daripada susur agama ataupun tidak - diwujudkan untuk memberi erti kepada kehidupan manusia. Parti-parti politik dan birokrasi kerajaan tidak harus menghalang manusia pelbagai bangsa dan pandangan agama daripada merayakan kegembiran hidup.

Apa yang terjadi di Kampung Medan, Telok Panglima Garang itu adalah penindasan terhadap budaya rakyat yang telah dilakukan oleh Umno. Rakyat dinafikan hak berkumpul dan berpesta untuk menikmati kehidupan. Pada perhimpunan raya itu, masyarakat Melayu telah dinafikan daripada menikmati dan menghayati tarian singa, silat dan kompang, gendang dan serunai, rebab dan rebana.

Halangan itu dilakukan kerana seni budaya rakyat ini sedang berjuang untuk membebaskan diri daripada pembetungan budaya Umno yang feudal.