Watak lemming pada ahli politik
Hishamuddin RaisPublished: Jan 22, 2001 6:48 AM | Updated: Jan 29, 2008 6:21 PM
'Terperanjat' juga saya apabila membaca blurb tajuk berita tentang artikel Rustam A Sani seperti dilaporkan malaysiakini.
Berita tentang ' persepsi politik Cina yang tidak boleh dijadikan rakan perjuangan.' sebenarnya hanya sedutan pendek artikel penuh penulis itu yang bakal diterbitkan dalam akhbar sebuah parti pembangkang Berita Keadilan. ([#1]Pengundi Cina boleh dianggap 'tidak berprinsip'[/#], 8 Jan)
Pada sebelah petang, sehari setelah berita ini diterbitkan, saya didatangi seorang kenalan yang bertugas sebagai wartawan di sebuah akhbar harian berbahasa Cina. Wartawan muda yang fasih berbahasa Melayu ini ingin mendapat kepastian tentang berita tersebut. Saya hanya sanggup menjelaskan bahawa saya belum membaca artikel itu sepenuhnya.
Pada hemat saya, cara yang paling baik untuk memastikan kesahihan ialah mencari artikel itu daripada malaysiakini dan membacanya sendiri.
Wartawan muda ini, yang telah begitu biasa dan selesa dengan saya, memperagakan sikap kurang senangnya terhadap ulasan Rustam itu. Beliau meluahkan sentimen tidak puas hatinya kepada saya. Dia memberikan pandangan daripada kaca mata orang Tionghua. Saya hanya mendengar tanpa teranjak daripada garis rasional diri saya.
Kemarahan anak muda ini diterima sahaja kerana saya juga pada satu ketika dahulu mempunyai sikap yang sama - dan mungkin lebih keras dan jitu. Saya juga telah melalui zaman tergesa-gesa dan zaman tergopah-gapah.
Tergasa-gesa bukan selalunya tidak baik. Sifat ini adalah jiwa dan sentimen anak muda yang wajib dihormati. Tergesa-gesa dan ingin melakukan 'sekarang' adalah tenaga penggerak yang paling ampuh. Tanpa sentimen muda seperti ini, dunia tidak akan berubah.
Malam berikutnya saya bertemu pula Sivarasa Rasiah, seorang peguam hak asasi, OKT reformasi dan ahli jawatankuasa pusat Parti Rakyat Malaysia (PRM). Kami berlabun hal itu dan ini, dan akhirnya terbuka sekali lagi kisah tulisan Rustam itu, juga orang kuat PRM. Sivarasa agak tergamam apabila mendengar surah saya, tetapi sebagai seorang peguam dan mengenali Rustam dengan lebih rapat, beliau menerangkan kemustahilan kolumnis itu akan mengutarakan pandangan 'perkauman atau dengan gaya yang mempelekehkan orang lain'.
Sugul dan terus bertafakur
Menurut Sivarasa, pandangan Rustam dalam PRM mengenai tuntutan Suqiu cukup jelas sejelas air di gunung.
Esoknya, tiga hari selepas laporan malaysiakini (Isnin), saya menerima panggilan telefon daripada seorang wartawan malaysiakini yang memberitahu bahawa Pemuda MCA telah membuat kenyataan akhbar menuntut Rustam meminta maaf berhubung artikel itu. Saya, yang masih memboikot akhbar, tidak pula membaca berita ini dalam media arus perdana.
Malam berikutnya warung tempat saya berlabun didatangi pula oleh Khalid Jaafar, pengarang Berita Keadilan. Beliau turut membawa akhbar rasmi partinya itu yang memuatkan sepenuhnya artikel Rustam. Saya membaca tulisan itu dengan senyuman dengan dibantu secawan kopi kosong.
Daripada artikel itu, nyatalah bahawa 'heboh-heboh' yang dimulakan oleh Pemuda MCA itu tidak berasas sama sekali. Sayangnya beberapa orang ahli politik (bertindak secara naluri semula jadi ala haiwan lemming) sanggup terjun bersama-sama Pemuda MCA.
Akhir-akhir ini kita terbaca berita di malaysiakini bagaimana 'lemming-lemming' itu yang turut membuat kenyataan dan menuntut Rustam meminta maaf kepada kaum Cina telah mengaku kepada umum bahawa mereka tidak membaca tulisan Rustam sepenuhnya. ([#1]We didn't read Rustam's article, two wanting apology admit[/#], 15 Jan)
Apabila berita ini dilaporkan, saya tidak marah kepada 'lemming-lemming' ini kerana saya cukup sedar tentang keupayaan fikrah mereka ini untuk membuat penelitian rapi. Saya juga telah lama berasa was-was terhadap beberapa 'lemming' ini, terutama tentang keupayaan mereka untuk mengeluarkan pandangan yang boleh membina masyarakat.
Saya menjadi sugul dan terus bertafakur untuk memikirkan bagaimana mereka boleh diangkat untuk menjadi pemimpin kita dan pandangan mereka pula dilaporkan oleh akhbar arus perdana sebagai 'benar'.
Lalu, saya teringat kembali kepada buku Satanic Verses karangan Salman Rushdie yang menjadi kontroversi sepuluh tahun dahulu. Semasa itu saya berada di kota London dan bekerja sebagi pelayan di sebuah restoran di Soho. Restoran ini betul-betul di sebelah jalan Charing Cross, sebuah jalan khusus tempat membeli bahan-bahan bacaan.
Puluhan kedai buku berjujuk di jalan ini, termasuk Foyles - kedai buku terbesar di kota London. Poster edisi pertama Satanic Verses dalam bentuk kulit keras telah berselerak di kedai-kedai buku. Heboh-heboh tentang buku ini telah menjadikan penjualannya bertambah rancak.
Enggan berfikir dan menyelidik
Tetapi seminggu kemudian, semua poster iklan buku ini hilang. Satanic Verses hanya dapat dibeli jika ditanyakan kepada penjual di dalam kedai. Buku ini tidak lagi dijual secara terbuka kerana terdapat bantahan dan tunjuk perasaan daripada kumpulan-kumpulan Islam.
Di suatu petang sebelum masuk bekerja, saya telah melintasi Foyles dan melihat beberapa anak muda Pakistan yang berlegar di hadapan kedai buku ini. Mereka ingin memastikan bahawa toko Foyles itu tidak akan menjual buku ini. Sebagai warga kota London, saya terus berhadapan dengan anak-anak muda ini dan bertanya mereka sama ada telah membaca buku itu.
Semunya menggelengkan kepala. Lalu saya bersuara, jika mereka tidak membaca buku ini, bagaimana boleh membuat pandangan. Tiada seorang pun yang menjawab. Lalu saya beredar dan menukarkan diri daripada pemikir budaya kepada seorang buruh di sebuah restoran.
Hu-ha hu-ha akibat artikel Rustam walaupun tidak sepanas Satanic Verses tetapi mempunyai kesamaan. Masih ada manusia yang sanggup berperangai lemming atau Pak Turut - enggan berfikir dan menyelidik sebelum membuat keputusan sendiri. Ada pula lemming ini yang menaburkan pandangan walau tanpa sokongan fakta yang sahih.
Walau apa pun, kesedihan saya telah beransur hilang. Saya kini tersenyum puas kerana dengan episod artikel Rustam itu terbuktilah bahawa lemming ini sebenarnya tidak boleh berfikir, membaca atau membuat penilaian.
NOTA: Menurut Reader's Digest Universal Dictionary: Lemming ialah binatang sejenis tikus yang terdapat di utara Amerika dan Eropah Utara. Ia digunakan untuk kiasan kepada individu yang menjadi pak turut sesuatu tindakan yang akhirnya membawa bencana kepada dirinya sendiri.

View Comments0