Kalau disamakan dengan seorang pemain badminton, Pemuda Umno juga jaguh kampung yang dahagakan kejuaraan. Walau sekadar kejuaraan di peringkat pertandingan satu bintang, peluang itu mesti direbut demi membina imej dan memulihkan semangat yang semakin hari semakin luntur.

Begitulah ibaratnya Pemuda Umno dalam "kejayaannya" meminta Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina (Suqiu) untuk mengetepikan tujuh rayuan (bukannya menggugurkan tuntutan) yang dikatakan menggugat ketuanan dan hak istimewa Melayu.

Sangat memalukan kerana ketua pergerakan itu, Datuk Hisahamuddin Hussein sanggup mengeluarkan kenyataan meminta rakyat jangan lagi menganggap Pemuda Umno lembik, lembab, tidak berkesan atau pondan selepas berjaya menyelesaikan dengan baik isu rayuan Suqiu itu.

Hishammuddin berharap dengan "kejayaan" itu, imejnya dan pergerakan pimpinannya itu dapat dibersihkan dan dipulihkan. Beliau mahu orang Melayu mengangkat Pemuda sebagai jaguh Melayu dalam sekelip mata. Pemuda Umno mahu ahli-ahli parti itu melupakan segala kelemahan dan kelembikkan ekoran "kejayaan" yang dicapai 5 Januari lalu.

Jika Pemuda Umno dibuai mimpi setelah berjaya menekan Suqiu, itu adalah satu kesilapan besar. Orang Melayu sebenarnya mengharapkan sesuatu yang besar daripada itu. Ahli-ahli parti Melayu itu mahukan Pemuda yang tahan lasak, berwawasan dan bersemangat waja untuk mempertahankan hak-hak Melayu, bukannya satu kumpulan elitis pemuda yang mementingkan diri sendiri dan berperangai pak turut.

Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Pemuda Umno dalam menangani isu rayuan Suqiu itu sudah terlambat. Kalau pergerakan ini benar-benar mahu mempertahankan hak istimewa orang Melayu, barisan exconya patut membantah rayuan masyarakat Cina itu pada hujung tahun 1999 lagi.

Apabila Suqiu mengemukakan 17 rayuan sebelum pilihan raya umum dua tahun lalu, Pemuda Umno membisu. Mengapakah apabila kabinet Barisan Nasional menerima semua rayuan, Hishammuddin tidak tidak membantah sedangkan mereka tahu tujuh isi perkara yang diketepikan oleh Suqiu itu termasuk dalam 17 perkara tersebut?

Tidakkah ini menunjukkan belang sebenar jaguh kampung ini. Ia tidak berani menegakkan kebenaran. Keberaniannya hanya mengikut arus setelah dimalukan oleh kumpulan pelampau Melayu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Cakap besar, jiwa kecut

Tambahan pula Suqiu hanya sekadar mengetepikan rayuannya, bukan menggugurkan sama sekali. Tuntutan ini akan muncul semula pada masa yang sesuai - mungkin menjelang pilihan raya tahun 2004 apabila Barisan Nasional terdesak ingin mengutip undi bukan Melayu.

Selain itu tindakan Pemuda Umno berunding dan tawar-menawar berhubung hak istimewa dan ketuanan Melayu adalah suatu perbuatan yang memalukan bangsa kerana perkara itu tidak boleh dijual beli. Hak istimewa dan ketuanan Melayu sudah termaktub dalam perlembagaan, tidak perlu dirundingi lagi dengan mana-mana pihak. Sepatutnya rayuan Suqiu itu tidak dilayan sama sekali.

Perjalanan Pemuda Umno masih jauh. Ia perlu mengikis imej jagoan kampungnya. Orang Melayu tahu sifat semula jadi jaguh-jaguh kampung - mereka hanya garang di gelanggang sendiri - bercakap besar sedangkan jiwanya kecut. Inilah Pemuda Umno sekarang.

Ia terbukti apabila pergerakan itu dan ketuanya menggunakan isu hak istimewa dan perpaduan Melayu ini sebagai alasan untuk mengelakkan diri daripada berdebat secara terbuka dengan Ketua Pemuda PAS.

Hishammuddin sedar perdebatan dengan Mahfuz Omar sangat besar risikonya. Jika 'tersilap haribulan' bukan sahaja dirinya dimalukan, malah Umno dan seluruh kepimpinannya juga akan diaibkan.

Lantas kepimpinan parti itu membuat keputusan mendesak Hishammuddin membatalkan debatnya dengan Mahfuz. Hishammuddin dan barisan exconya mengurut dada lega dan dengan senang hati mematuhinya. Maka terselamatlah jaguh kampung!

Sebenarnya banyak aspek yang dipersoalkan tentang peranan Pemuda Umno dalam menyelesaikan isu rayuan Suqiu itu. Kononnya kedua-dua pihak mengadakan rundingan sulit dengan bantuan parti Gerakan. Tidak diketahui sejauh mana peranan Pemuda Umno dalam memujuk persatuan masyarakat Cina itu. Mungkinkah Gerakan dan pihak-pihak lain yang menekan Suqiu dalam siri rundingan itu?

Hishammuddin dan barisan exconya perlu mengambil langkah yang besar dan berani jika mahu dihormati dan disanjung.

Pemuda Umno yang sekadar menjadi "nasi tambah" dalam menangani sesuatu isu atau menggertak pucuk pimpinan parti dengan perletakan jawatan atau berdiri sombong dengan jaket gerak gempur di majlis rasmi parti tidak diperlukan oleh generasi Melayu di alaf baru ini.