Badan Bertindak Anti-IFC (Badai) dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak parti Gerakan memohon maaf secara terbuka berhubung resolusi yang mendesak supaya Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dipecat.

Ahad lalu, konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan meluluskan resolusi tersebut kerana mendakwa kononnya Mufti Perak itu terbabit dalam penyebaran SMS berhubung isu murtad pelayar solo, Datuk Azhar Mansor.

Menurut Badai, Gerakan perlu memohon maaf kepada Mufti Perak itu di atas keterlanjuran parti berkenaan.

Badai berkata, pihaknya telah mengenalpasti beberapa individu dan pemimpin tertentu dalam Gerakan yang didakwanya suka mencetuskan kontroversi agama dan mengingatkan mereka supaya jangan mencampuri urusan agama Islam.

Dalam satu kenyataan, Badai berkata, jawatan mufti adalah satu jawatan terpenting dalam hal-ehwal hukum dalam Islam dan ia adalah hak umat Islam dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Badai juga mahu menegaskan bahawa Gerakan tidak ada hak untuk mencampuri urusan kemuftian atau pandangan yang dikemukakan oleh mana-mana mufti dalam negara ini," tambahnya.

Hantar memo bantahan

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyifatkan resolusi konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan itu sebagai 'biadap'.

"Tindakan ini memperjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Pemimpin Gerakan sememangnya buta tentang undang-undang dan perlembagaan negara yang jelas memperuntukkan kuasa bagi Sultan di semua negeri melantik mufti.

"Mereka tiada hak untuk mendesak agar Mufti Negeri Perak dipecat," kata DPPWP dalam satu kenyataaan.

Kenyataan yang membantah resolusi tersebut, turut dihantar kepada Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Tan Kee Kwong.

DPPWP juga mendesak Dr Lim mengambil tindakan tatatertib kepada ahli serta pemimpin Gerakan Wilayah Persekutuan yang terlibat dalam meluluskan resolusi tersebut.

"DPPWP juga mahu agar Pengerusi Parti Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Tan Kee Kwong memohon maaf secara terbuka dan menarik balik resolusi berkenaan bagi menjaga Perpaduan Rakyat antara berbilang bangsa di negara ini," katanya.

DPPWP juga mengesa agar orang Melayu dan umat Islam dalam Gerakan supaya keluar daripada parti ini yang telah menghina hak dan agama mereka.

DPPWP juga akan bertemu dengan pemimpin Gerakan untuk berdialog dan menghantar memorandum bantahan kepada ibupejabat Gerakan di Menara PGRM, Cheras Jumaat ini.

"Satu demontrasi aman bagi menyatakan kesungguhan bantahan ini akan turut diadakan pada hari yang sama," kata kenyataan tersebut.