Umno akan mengadakan pemilihan parti pada 18 Mac yang bakal menyaksikan perwakilan mengundi bagi melantik kepimpinan baru.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata tarikh itu dipersetujui dalam mesyuarat majlis tertinggi (MT) Umno yang diadakan malam tadi.

Menurutnya, mesyuarat perwakilan dan pemilihan Jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan ahli MT Umno akan diadakan serentak di seluruh negara pada tarikh berkenaan.

"Tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di bahagian dan pusat adalah bermula pada 13 Februari 2023 dan ditutup pada 26 Februari 2023 jam 5.00 petang.

"Kenyataan terperinci mengenai hal ini akan dimaklumkan kemudian," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambahnya, mesyuarat MT Umno malam tadi juga memutuskan untuk melantik Shahrir Ab Samad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023 (JPU 2023) dan Mustapha Yaakub sebagai Setiausaha JPU 2023.

Pemilihan kali ini dilihat berbeza berbanding sebelum ini, setelah beberapa nama besar seperti Hishamuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Noh Omar tidak layak bertanding.

Malam tadi, Umno mengumumkan Khairy dan Noh dipecat daripada parti atas kesalahan melanggar disiplin parti, manakala Hishammuddin pula digantung selama enam tahun.

Untuk rekod Khairy sebelum ini menyatakan hasrat untuk mencabar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan nombor satu parti itu.

Dia juga sebelum ini mendakwa terdapat "perwakilan hantu" ketika Perhimpunan Agung Umno yang meluluskan usul menghalang jawatan presiden dan timbalan presiden parti dipertandingkan.