Musim Pesta dan jalan raya
Sekali lagi musim berpesta dan musim balik kampung akan bermula. Kali ini masyarakat Melayu-Islam akan berkongsi pesta dengan masyarakat Kristian yang hanya beberapa hari lebih awal menyambut Krismas.
Musim balik kampung tahun ini akan disusuli pula oleh sambutan tahun baru 2001 - semua bangsa dan agama akan berpesta sekali lagi.
Riak-riak kedatangan musim ini mula sampai. Beberapa akhbar mula menyiarkan gambar anak-anak muda yang hilang jari, pecah muka, lebam mata atau putus tangan akibat bermain mercun.
Berita bergambar ini telah menjadi satu klise musim pesta. Berita bergambar ini muncul setiap kali menjelang Sambutan Hari Raya hingga mungkin ada pembaca yang melihat berita ini sebagai lawak tahunan sempena musim berpesta.
Mungkin dalam minggu ini polis trafik pula akan melancarkan satu lagi operasi keselamatan jalanraya. Polis trafik akan mengulangi apa yang telah mereka lakukan setiap tahun. Dalam minggu ini atau minggu berikutnya pasti akan dapat kita baca tajuk berita - "keluarga tidak sempat berhari raya" atau "Cuti membawa maut" atau "maut datang di pagi Syawal."
Apa yang pasti ialah jalanraya di negara kita akan terus menjadi kawasan yang paling berbahaya - mungkin lebih bahaya daripada bersiar-siar di Baitulmaqdis ketika tentera Isreal menjalankan operasi anti-Intifadah.
Nampaknya peluang untuk kita bertemu dengan malaikat maut di jalan raya Malaysia lebih besar dibandingkan jika kita ke medan tempur di Bosnia atau Kashmir!
Ada sesuatu yang jelas tidak betul dalam pengurusan sistem keselamatan jalan dan pengangkutan awam kita. Kematian demi kematian di jalan raya itu masih tidak dapat menyedarkan kita bahawa telah sampai masanya untuk pihak berkuasa melakukan sesuatu yang berkesan.
Setiap kali kemalangan berlaku kita hanya akan membaca berita klise yang cukup membosankan. Belum pernah ada satu kaji selidik yang mendalam dan menyuluruh untuk mencari jalan penyelesian.
Seperti kekalahan Barisan Nasional di Lunas, pihak yang bertanggungg jawab mengambil jalan yang sama dengan penggubal dasar pengangkutan awam dan keselamatan jalan, menuduh si polan itu dan si polan ini.
'Pandangan lima sen'
Apabila berlaku sahaja kemalangan tragis yang menyebabkan banyak nyawa melayang maka kita akan terbaca pula "pandangan lima sen" dari para politikus. Kenyataan klise dan pandangan basi ahli politik ini begitu sering didengar sehinggakan tidak ada lagi pembaca yang akan mengambil pot (peduli).
Jalan pintas yang sering diambil selepas berbangkt isu-isu itu ialah pembesaran jalan, penurapaan jalan dan memperbanyakkan lagi pengeluaran kertas saman. Langkah-langkah seperti ini hanyalah tindakan tempelan seperti menempel koyok untuk melawan sakit kepala.
Langkah tempelan ini tidak pernah akan dapat menyelesai masalah induk - kematian di jalan raya.
Ahli politik dan media secara tersusun dan terancang telah mengalihkan pandangan awam tentang sebab-musabab hakiki kemalangan di jalan raya. Selama ini tidak pernah ditimbulkan secara serius bahawa kemalangan jalan raya bersangkutan dengan dasar sistem pengangkutan awam.
Justeru telah sampai masanya anjakan pemikiran untuk melihat kemalangan jalan raya dengan pandangan yang lebih radikal dan menyuluruh. Telah sampai masanya juga untuk melihat bahawa kereta yang bergerak di jalan raya itu sebagai musuh yang berbahaya kepada keselamatan awam.
Dasar untuk memiliki kenderaan peribadi ini bagaimanapun sedang digalakkan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menyokong Perusahaan Otomobil Nasional (Proton). Dasar songsang ini berhujah bahwa orang ramai akan mudah bergerak jika mereka memiliki kenderaan peribadi. Memilki kereta dilihat sebagai tangga pencapaian atau status sosial.
Pandangan songsang ini disokong pula oleh hegemoni politik yang tidak demokratik. Hasilnya , tidak pernah di benarkan kritikan atau pemikiran ilmiah yang dapat menunjukkan bahawa pendekatan sistem pengakutan yang wujud hari ini adalah membazir dan sia-sia. Pelaburan untuk syarikat kereta nasional akhirkanya akan menemui jalan mati dan kemuflisan.
Pengalaman empiris sistem pengangkutan awam dari negara luar tidak pernah dijadikan pedoman. Kereta tidak pula dilihat sebagai jentera moden untuk bergerak dan mengangkut. Entah dari lubang mana datangnya buah pemikiran bahawa membuat kereta sendiri adalah tanda kejayaan sesebuah negara!
Kerajaan sebagai 'samseng'?
Semasa syarikat Henry Ford mengeluarkan keretanya dahulu, telah wujud sistem pengangkutan awam yang terpuji di Chicago. Lalu untuk memastikan orang ramai akan membeli kereta buatan syarikat Ford, maka telah diupah samseng untuk merosakkan landasan tram, membubuh garam ke dalam kepala keretapi atau memutuskan wayar leterik.
Nampaknya taktik yang sama sedang dijalankan di negara kita. Apa yang berbeza ialah kali ini peranan samseng dijalankan oleh kerajaan sendiri - untuk memastikan sistem pengangkutan awam menjadi begitu buruk sekali.
Ia dibantu pula dengan dasar kerajaan yang tidak memberikan peruntukan dana lumayan agar dapat membantu dan menyokong sistem pengangkutan awam.
Justeru, kemalangan jalan raya hari ini bersangkutan dengan dasar songsang ini. Angka kemalangan berkait-rapat dengan jumlah kereta yang ada di jalan raya. Fakta ini tidak mungkin dapat dinafikan. Mengurangkan jumlah kereta bermakna mengurangkan angka kemalangan.
Sama seperti kebebasan memikili senjata api di Amerika Syarikat - kerana bebas memiliki senjata api maka jumlah mangsa yang mati ditembak tidak pernah susut.
Jawapan kepada kemalangan jalan raya bukan meluaskan jalan atau menakut-nakutkan pemandu dengan meletakkan patung-patung polis di tepi jalan. Ini semua hanyalah kerja bodoh yang tidak dapat menyelesaikan masalah.
Anjakan pemikiran wajib dilakukan untuk melihat kereta itu sebagai pembunuh utama yang menyebabkan kemalangan berlaku.
Mengurangkan alat pembunuh ini wajib dijadikan dasar. Mengurangkan jumlah kereta bukan bermakna orang ramai akan susah bergerak. Manusia wajib terus bergerak untuk aktiviti kehidupan. Apa yang wajib dikurangkan ialah bergerak melalui kenderaan peribadi.
Ini digantikan dengan satu sistem pengangkutan awam yang menyuluruh. Di sinilah cabaran yang lebih unggul kepada ahli politik daripada menyewakan tanah untuk syarikat kereta Jepun membuka kilang.

