Kalau boleh, Mohamad Ramli Abdul Manan, 56, mahu melangkah ke dunia persaraannya dan menjalani kehidupan biasa. Dan insan yang bersuara lembut ini juga mahu rekod perkhidmatannya selama 28 tahun di Badan Pencegah Rasuah (BPR) mencerita segala-galanya mengenai dirinya.

"Kita, pegawai BPR, tidak perlu dilihat. Kami perlu didengar," katanya kepada malaysiakini. Semua laporan BPR, kata Ramli, menceritakan segala-galanya.

Minggu lalu, Ramli bagaimanapun terpaksa 'keluar' dari dunia persaraannya berikutan laporan malaysiakini berhubung dakwaannya mengenai rasuah dan salahlaku bekas bosnya, Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Laporan tersebut yang ditulisnya beberapa bulan sebelum persaraannya Disember lalu, mengandungi beberapa dakwaan rasuah dan salahlaku seksual terhadap Zulkipli.

Dakwaan tersebut telah memeranjatkan semua pihak kerana ia bukan sahaja dituju kepada Ketua Pengarah BPR tetapi dakwaan itu juga dibuat oleh seorang pegawai kanan BPR sendiri.

Ramli pernah berkhidmat sebagai timbalan pengarah BPR di tiga buah negeri Kedah, Perak dan Negeri Sembilan sebelum dilantik sebagai pengarah badan itu di Kelantan, Melaka, Johor dan kemudiannya di Sabah.

Manakala Zulkipli yang telah menjadi Ketua Pengarah BPR sejak enam tahun lalu telah menafikan semua dakwaan tersebut. Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan, yang dianggotai oleh pihak polis dan Pejabat Peguam Negara, untuk menyiasat dakwaan Ramli itu.

Rabu lalu, Ramli telah mengadakan satu temubual eksklusif selama 90 minit dengan malaysiakini selepas beliau memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang antara lain, mendakwa pencennya tidak dibayar selepas beliau bersara.

Ketuai siasatan terhadap Kasitah

Menurut Ramli, beliau telah dipinggirkan dan "dibekukan" selepas tidak serik-serik menyiasat Menteri Kemajuan Tanah dan Koperasi ketika itu, Datuk Kasitah Gaddam berhubung dakwaan kes rasuah yang membabitkan urusniaga saham bernilai jutaan ringgit di Sabah tujuh tahun lalu.

Sejurus selepas itu, Ramli ditukar balik ke ibupejabat BPR di Kuala Lumpur. Walaupun beliau merupakan salah seorang pegawai terkanan BPR, Ramli berkata, beliau tidak diberi sebarang jawatan atau pejabat. Malah, meja pun tidak disediakan untuknya.

"Selama enam tahun, saya datang, memasukkan kad perakam waktu kerja dan dapat gaji. Mereka membayarkan saya RM8,000 tanpa melakukan apa-apa," katanya.

Permohonannya supaya ditukar ke agensi kerajaan yang lain serta permohonan untuk bersara awal, juga, ditolak.

Apabila beliau akhirnya bersara tahun lalu, Ramli mendapati bayaran pencennya ditahan kerana 'prosiding disiplin' yang diambil terhadapnya, yang dikatakan atas dakwaan gagal merakam kad perakam waktu kerja.

Tanpa pencen, Ramli kini melakukan kerja sampingan di sebuah firma guaman di Seremban. Berita asal

Q & A

Esok: Siapakah yang 'membekukan' Ramli?