Praya Batu Talam: Peratus pengundian esok dijangka rendah
Jentera kempen Barisan Nasional (BN) kini dilanda kebimbangan kerana sudah mendapat tanda bahawa peratus pemilih yang akan keluar mengundi dalam pilihanraya Batu Talam esok mungkin kecil.
Jentera kempen Barisan Nasional (BN) kini dilanda kebimbangan kerana sudah mendapat tanda bahawa peratus pemilih yang akan keluar mengundi dalam pilihanraya Batu Talam esok mungkin kecil.
Salah satu petandanya ialah program-program yang melibatkan menteri di kawasan Batu Talam tidak mendapat sambutan di kalangan pengundi.
"Di beberapa kawasan tertentu, jumlah kehadiran pengundi amat kecil dan ini mungkin berpunca daripada begitu ramai menteri yang melawat Batu Talam," kata satu sumber Umno di Batu Talam.
Menurutnya, program yang membabitkan para menteri tidak mencapai sasaran yang diharapkan.
Sumber itu berkata, ramalan mengenai peratusan rendah pemilih keluar mengundi itu juga turut mengambilkira tindakan pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam.
Katanya, mengikut bancian jentera pilihanya BN ada kira-kira 3,000 ahli parti pembangkang dan 500 hingga 1,000 pengundi atas pagar di Batu Talam.
Selain itu, katanya, jentera BN pula masing-masing bergerak secara bersendirian dengan memfokuskan kawasan tertentu sahaja.
Sebagai contoh, katanya, jentera kempen Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkempen di kawasan tertentu, manakala calon BN, Abdul Aziz Mat Kiram pula berkempen di kawasan lain.
Maklum balas kempen
Ini, katanya, tidak termasuk pasukan petugas kempen BN dari Umno negeri lain dan parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan.
Beliau berkata, daripada maklumbalas kempen BN sejak 10 hari lalu, 'mood' pengundi termasuk penyokong BN, juga tidak menentu.
"Bila di depan menteri, mereka kata akan keluar mengundi tetapi apabila menteri balik mereka kata keputusan belum buat lagi. Ada yang kata, tidak mahu mengundi atau isteri saja yang keluar mengundi," katanya.
Perkara itu, menurutnya, berlaku kerana tindakan Umno Bahagian Raub yang mencalonkan tujuh nama untuk dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum penamaan calon 16 Januari lalu.
Katanya, enam calon yang tidak terpilih itu memberi tumpuan kepada kawasan yang menjadi kubu kuat mereka dan tidak pergi berkempen ke kawasan lain.
Menurutnya, sehingga petang ini sasaran BN untuk mendapat majoriti 3,000 undi adalah sukar melainkan semua penyokong BN keluar mengundi, Ahad ini.

