Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda pernah menjalin `hubungan' dengan model Mongolia Altantuya Shaariibuu dan dia pernah mengirim wang sebanyak AS$10,000 beberapa kali sepanjang lapan bulan mereka berkenalan.

Abdul Razak, 46, juga pernah berjumpa dengan Altantuya, yang dipanggilnya Aminah, pada hujung tahun 2004 dan pertengahan 2005 di Hong Kong, Shanghai, Singapura, Kuala Lumpur dan Perancis, demikian menurut kenyataan saksi yang diambil daripadanya pada 31 Oktober 2006 dan dikemukakan kepada mahkamah oleh peguamnya Wong Kian Kheong.

Wong mengemukakan kenyataan saksi itu serta afidavit yang telah diikrar oleh Abdul Razak untuk menyokong permohonannya mendapatkan jaminan sebelum perbicaraan yang akan bermula pada Mac tahun depan.

Peguam itu mengemukakan dua dokumen itu bagi menyokong alasannya untuk membuktikan tidak ada alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa Abdul Razak bersalah dalam pertuduhan dan mahkamah patut membenarkan permohonan mendapatkan jaminan, demikian menurut laporan Bernama.

Abdul Razak, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara jam 9.54 pagi dan 11.O5 pagi pada 18 Oktober tahun lalu untuk membunuh Altantuya, 28.

Ketika ditanya Hakim K.N. Segara mengenai bentuk hubungan yang dimaksudkan, Wong yang pada mulanya diam, kemudian menjawab: "Having affair...(jalin hubungan sulit)".

Kenyataan saksi

Hakim kemudian mencelah supaya peguam itu tidak perlu menjelaskansecara lanjut kerana ia hanya permohonan untuk jaminan dan bukannya perbicaraan.

Menurut Wong, pada akhir 2005, Abdul Razak tidak lagi memberi wang kepada Altantuya dan dia telah membuat laporan polis pada 23 Oktober 2006 kerana tidak tahan lagi diganggu oleh gadis itu.

Katanya, ketika Abdul Razak berjumpa dengan Altantuya, penganalisis itu diberitahu bahawa wanita Mongolia itu adalah seorang pelajar dan `cari makan' sampingan.

Sebelum itu Wong berhujah bahawa menerusi kenyataan saksi yang dibuat oleh Abdul Razak, Altantuya diperkenalkan kepadanya pada 2004, dan diberitahu bahawa dia berketurunan campuran Korea dan Cina, dan pada ketika itu Altantuya menceritakan tentang hal sedih dan kedudukannya yang susah serta memerlukan pertolongan.

Abdul Razak telah membantu Altantuya dari segi kewangan tetapi setelah setahun berlalu dia mendapati cerita sedih Altantuya itu adalah rekaan semata-mata.

Wong berkata Abdul Razak sedar bahawa Altantuya pandai memutar belit dan amat meyakinkan ketika itu.

"Dalam keadaan mendesak, Abdul Razak tunduk kepada ugutan wanita itu dan memberikannya wang," katanya.

Pemberian wang ini berlarutan selama tiga tahun walaupun setiap kali menerimanya, Altantuya akan berkata itu adalah pemberian terakhir, kata Wong.

"Akhirnya, Abdul Razak sedar dan tidak lagi memberi," katanya.

DSP Musa

Sementara itu, akhbar China Press melaporkan Abdul Razak berkata dalam kenyataan saksi itu bahawa dia 'tidaklah bodoh sangat' untuk membunuh sedangkan dia boleh membuat aduan mengenainya kepada polis dan mengusirnya pulang.

Abdul Razak berkata, dia telah mengadu kepada DSP Musa yang sering ditemuinya sewaktu majlis-majlis rasmi mengenai gangguan tersebut dan pegawai polis berkata dua anggota polis akan membantunya.

Katanya, pada keesokannya, tertuduh pertama, Azilah, telah menelefonnya dan memberitahunya yang dia akan membantu Abdul Razak menyelesaikan masalahnya.

Abdul Razak menambah, beliau dua kali memberitahu Azilah supaya jangan mengapa-apakan Altantuya kerana keluarganya akan menyalahkannya terhadap apa yang berlaku.

Penganalisa politik itu berkata, dia juga bukanlah 'sebodoh itu' untuk memberitahu polis supaya menculik Altantuya dari kawasa luar rumahnya, seperti yang didakwa.

Pada 19 Oktober, Abdul Razak berkata beliau diberitahu oleh seorang penyiasat persendirian bahawa Altantuya telah pergi ke rumahnya di Bukit Damansara tetapi tiada orang di rumah.

Berikutan itu, penganalisa politik itu berkata, beliau telah memanggil Azila untuk membantunya tetapi memberitahunya (Azila) supaya jangan mengapa-apakan Altantuya.

Selepas itu, penyiasat persendirian tersebut memberitahu Abdul Razak bahawa Altantuya telah dibawa secara paksa dalam sebuah kereta oleh tiga orang di luar rumahnya.

Abdul Razak kemudian menelefon DSP Musa tetapi "tiada menjawab balik".

Beberapa hari kemudiannya, Abdul Razak berkata, dia telah bertemu dengaqn DSP Musa di majlis yang dihadiri Najib, dan bertanyakan mengenai perkara itu tetapi dia juga tidak menjawab.