Gabungan Parti Pembangkang, Kesatuan Pekerja dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Protes Kenaikan Tol akan mengadakan perhimpunan ketiga untuk membantah kenaikan kadar tol di lima tol sekitar Lembah Klang Ahad ini.

Bantahan ketiga ini akan diadakan di simpang jalan tutup, Bandar Mahkota Cheras, Batu 11, Jalan Cheras pada jam 4 petang.

Menurut Setiausaha gabungan itu, Dr Hatta Ramli, pihaknya amat kecewa dengan kerajaan kerana tidak memberi sebarang maklumbalas selepas gabungan itu mendedahkan salah satu perjanjian konsesi lebuhraya dan menuntut agar kerajaan mendedahkan perjanjian yang lainnya, dua minggu yang lalu.

Menurutnya, gabungan itu telah menganjurkan perhimpunan membantah kenaikan kadar tol dua minggu berturut-turut, namun tiada sebarang jawapan daripada kerajaan sehingga hari ini.

"Kerajaan bukan sahaja tidak mendedahkan perjanjian selainnya, malah tidak menyatakan sama ada perjanjian konsesi lebuhraya tersebut adalah rahsia rasmi.

Usaha berterusan

"Kami menuntut agar kerajaan memberi penjelasan berkenaan perkara itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, perhimpunan ketiga itu diadakan untuk menggesa kerajaan mendedahkan segala perjanjian konsesi lebuhraya dengan syarikat konsesi, membatalkan keputusan menaikkan kadar tol dan menubuhkan jawatankuasa pemeriksa kira-kira bebas.

Perhimpunan kali ini, katanya, adalah tindakan susulan kepada usaha gabungan itu sebelum ininya.

Katanya, usaha tersebut ialah penyerahan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri dan ceramah umum pada 27 Disember lalu dan pendedahan perjanjian konsesi LDP (3 Januari).

Gabungan itu telah menganjurkan perhimpunan massa di Kompleks Membeli-belah Sunway Pyramid (7 Januari) dan di Plaza Tol Gombak (14 Januari).