Tentang ruang dan waktu: Menurut falsafah materialisme, ruang dan waktu mempunyai tiga ciri bersama, iaitu:

1. Mereka bersifat objektif, kewujudannya tidak bergantung kepada kesedaran kita;

2. Mereka wujud kekal abadi; dan

3. Mereka tiada mempunyai batasan atau had.

Hubungan antara jirim dengan ruang dan waktu ialah kewujudan dan gerakan jirim tidak dapat dipisahkan daripada ruang dan waktu yang tertentu. Kassim tidak setuju dengan tesis tersebut, sekali lagi dia mengemukakan "teori nisbi Einstein" pengertiannya untuk membuktikan ruang dan waktu adalah relatif.

Katanya: "Mengikut teori nisbi Einstein yang telah terbukti kebenarannya, ruang dan waktu adalah relatif relatif kepada satu 'bidang rujukan' di mana kejadian-kejadian di dalam alam boleh dirujukkan. Umpamanya manusia itu kecil dibanding dengan ikan paus, tetapi besar dibanding dengan lalat. Jadi, ruang yang dipenuhi manusia itu tidak tentu besar-kecilnya, in hanya dapat ditetapkan dengan merujuk kepada satu 'bidang rujukan' ikan paus atau lalat.".

Mengatakan ruang yang dipenuhi oleh manusia hanya dapat ditetapkan dengan merujuk kepada satu 'bidang rujukan' ikan paus atau lalat, adalah sama dengan mengatakan tinggi seseorang itu hanya dapat ditetapkan dengan pengukur tinggi. Namun ini tidak bermakna tingginya seseorang itu relatif, ia sebenarnya adalah mutlak. Ertinya jika seseorang itu lima kaki tingginya, tak kira ia dibanding dengan ikan paus atau lalat, tingginya tetap lima kaki, tidak akan berubah.

Objektif dan mutlak

Ambil lagi satu misalan, A ada 100 ekar tanah, kita tak boleh kata tanah itu besar atau kecil secara mutlak, kerana jika dibanding dengan tanah yang kurang daripada 100 ekar, ia adalah besar, tetapi jika dibanding dengan tanah yang lebih daripada 100 ekar, ia sebaliknya adalah kecil.

Sungguhpun demikian, kita tak boleh mengatakan ruang yang diduduki oleh tanah A atau besar-kecilnya tidak boleh ditetapkan tanpa dibanding dengan tanah-tanah yang lain, kerana ia adalah 100 ekar, dan ruang 100 ekar itu wujud secara objektif dan mutlak, tidak bergantung kepada kesedaran kita, maknanya tidak kira anda menanggapnya sebagai kecil atau besar, ia tetap 100 ekar besarnya, tidak lebih tidak kurang.

Kata Kassim lagi: "Di dalam kehidupan hari-hari, kita selalu mengalami kenisbian ruang dan masa ini. Bila kita membuat sesuatu kerja yang kita sukai, maka perjalanan masa tidak kita rasakan. Begitu juga dengan ruang. Sesuatu perjalanan itu kita rasa jauh kalau tidak ada sesuatu perkara yang mengasyikkan yang boleh melupakan kita kepada perjalanan masa. Memang perjalanan 100 batu atau dua jam itu tetap 100 batu dan memakan masa dua jam juga, yakni objektif, walaupun kita mungkin rasa tidak sampai 100 batu dan memakan masa dua jam, atau sebaliknya, yakni subjektif. Ini membuktikan walaupun ruang dan masa itu objektif, mereka juga subjektif. Mereka tidak mutlak, sebaliknya relatif 100 batu dan dua jam kepada siapa?"

"100 batu dan dua jam kepada siapa?", pertanyaan yang cukup anih sekali. Misalnya pada suatu hari Kassim ingin naik teksi dari kota A ke kota B. Tanya Kassim kepada pemandu teksi: "Berapa jauhkah dari kota A ke kota B, dan berapa jam boleh sampai?" Jawab pemandu teksi: " 100 batu dan dua jam." Tanya Kassim lagi: "100 batu dan dua jam kepada siapa?"

Pemandu teksi itu, jika tidak terus pengsan, tentu tidak tahu apa yang harus dijawab, kerana 100 batu dan dua jam itu padahal merujuk keada ruang dan masa yang objektif dan mutlak. Ia benar kepada pemandu teksi, juga benar kepada Kassim atau sesiapa juga, tidak kira orang terbabit merasa ruang terbabit jauh atau dekat, masa itu panjang atau pendek!

Tentang teori pengetahuan materialisme

Mengikut teroi pengetahuan materialisme, segala pengetahuan kita adalah berasaskan kepada amalan atau praktik yang meliputi aktiviti pengeluaran kajian sains serta perjuangan kelas, dan proses pengetahuan ialah dari pengetahuan persepsi ke pengetahuan konsepsi atau rasional.

Pengetahuan persepsi ialah peringkat asas. Pada peringkat ini, segala imej benda objektif akan dibayangkan oleh alat-alat deria kita ke otak kita. Pengetahuan persepsi adalah pengetahuan yang tidak lengkap, kerana deria atau imej yang dibayangkan ke otak kita itu bukan merupakan haikikat benda, tetapi fenomenanya.

Pengetahuan rasional adalah pengetahuan peringkat tinggi. Ia merupakan peringkat pemikiran yang mujarad melalui abstraksi dan negeralisasi. Pada peringkat ini, hakikat benda dapat dicapai.

Pengetahuan rasional adalah berasaskan pengetahuan persepsi. Tanpa pengetahuan persepsi, tidak mungkin juga tercapai pengetahuan rasional. Proses mengetahui dari pengetahuan persepsi ke pengetahuan rasional ialah dari lahir ke batin, dari intuisi ke abstraksi, dan dari fenomena ke kahikat.

Kassim mengkritik teori pengetahuan materialisme, katanya: "Teori idea sebagai 'gambaran cermin' kepada wujud dan menafikan hakikat kesedaran sebagai satu kategori dinamik untuk mengubah dunia". Kassim padahal sedar Lenin pernah mengatakan bahawa kesedaran manusia bukan saja menggambarkan dunia objektif tetapi juga menciptakannya. tetapi beliau tetap menganggap kesedaran tidak diakui oleh kaum materialis sebagai satu kategori dinamik tetapi hasil pasif dari jirim semata-mata!

Padahal Mao Tze Tung juga telah menekankan peri mustahaknya kedinamikan falsafah Marxis dari segi mengubah dunia.

Katanya: "Pengetahuan rasional bergantung kepada pengetahuan persepsi yang harus ditingkatkan menjadi pengetahuan rasional. Demikianlah teori pengetahuan materialisme dialektika Namun pada tahap ini proses mengenal masih belum selesai. Jika diskusi tentang proses mengenal materialisme dialektika dihentikan setakat pengetahuan rasional saja, maka kita hanya menyentuh separuh masalah itu saja. Dan dari pandangan falsafah Marxis, kita hanya menyentuh separuh yang kurang penting. Apa yang dianggap falsafah Marxis sebagai terpenting bukan memahami hukum-hukum dunia luar dan menerangkannya, tetapi secara aktif mengubah dunia dengan menggunakan pengetahuan hukum-hukum objektif terbabit." (14)

Falsafah materialisme

Kata Kassim lagi: "Epistemologi Marxis menidakkan ilham, intuisi dan wahyu sebagai cara-cara manusia mengetahui wujud."

Dari huraian atas, kita ketahui teori falsafah materialisme padahal tidak menidakkan intutisi sebagai cara manusia mengetahui wujud jika ia bermakna proses persepsi. Tentang ilham sebagai konsep keagamaan dan wahyu, falsafah materialisme memang menidakkannya kerana ia tidak mengakui kewujudan Tuhan.
Kassim selanjutnya mengemukakan teori peingkat yang demikian bunyinya: "Bagaimanakah boleh kita menghuraikan fenomena ilham, intuisi dan wahyu kecuali kita mengakui bahawa Hakikat atau Realiti mempunyai banyak peingkat dari peringkat fizik-kimia ke peringkat rohaniah dan manusia mempunyai kemungkinan mencapai peringkat wujud rohaniah dan membuat hubungan langsung dengan Wujud Tertinggi."

Hujahnya lagi: "Marx sendiri mengakui Wujud di dalam pelbagai peringkat, katanya, di dalam kajian kategori-kategori ekonomi seperti di dalam tiap-tiap sains sejarah dan masyarakat, mestilah diingati bahawa kategori-kategori itu malah adalah bentuk-bentuk wujud, syarat-syarat kewujudan".

Jauh panggang dari api! Salah faham Kassim sungguh menakjubkan! Bagaimanakah pengakuan Marx berkaitan "kategori-kategori ekonomi" sebagai "bentuk-bentuk wujud dan "syarat-syarat kewujudan" bisa difahamkan sebagai mengakui Wujud di dalam konteks agama? Daya imaginasi yang sungguh luar biasa!

Falsafah Islam falsafah idealisme

Kassim berpendapat pilihan tidak terbatas kepada materialisme atau idealisme. Jelas sekali beliau telah menolak kedua-dua falsafah tersebut sebagai dualisme dan cuba menegakkan monisme falsafah Islam , menurutnya:

"Kita telah menolak tesis-tesis asas kaum-kaum idealis dan materialis. Kita telah membuktikan bahawa alam ini wujud secara objektif dan maujud (berlawanan dengan fahaman idealis), tetapi kewujudannya tidak terpisah dan bebas dari kesedaran manusia (berlawanan dengan fahaman materialis). Dengan demikian, kita telah menegakkan Monisme atau kesatuan wujud. Inilah falsafah Islam, sedangkan dualisme di dalam aliran-aliran idealisme dan materialisme merupakan tradisi-tradisi falsafah Barat dari Yunani hingga sekarang."

Benarkah falsafah Islam, menurut Kassim, menganggap di antara jirim dan kesedaran, wujud dan fikiran, badan dan roh tidak ada jurang yang mutlak? Atau dengan kata-kata lain, antara jirim (wujud, badan) dan roh (kesedaran, fikiran) tiada satu yang utama?

Fikiran falsafah yang dikemukakan oleh Kassim seperti berikut bukan saja menafikan kebenaran pernyataan tersebut, malah membuktikan falsafah Islam pada hakikatnya tergolong dalam khemah idealisme:

1. Dunia tidak jadi sendiri tetapi dijadikan. Ia dijadikan oleh Tuhan satu Zat Yang Hidup Sentiasa, yang Hidup Sendiri, kepada Siapa semua bergantung;

2. Alam atau jirim itu adalah satu bentuk roh, dengan kata-kata lain, alam bersifat rohaniah;

3. Sesuatu benda objektif tidak bebas dari, dan bergantung kepada kesedaran.

Jika dunia (jirim) dijadikan oleh Tuhan (roh) maka Tuhan tentu wujud terlebih dahulu daripada dunia. Ini bermakna roh wujud terlebih dahulu daripada jirim, dan tanpa roh jirim pun tak dapat diciptakan. Sudah pasti pencipta merupakan punca yang dicipta.

Jika alam bersifat rohaniah dan jirim itu hanya satu bentuk roh, maka ABC ilmu falsafah memberitahu kita bahawa isi (roh) tentu lebih utama daripada bentuk (jirim).

Dan jika sesuatu benda objektif tidak bebas dari, dan bergantung kepada kesedaran, maka kesedaran (roh) tentu lebih utama daripada benda objektif (jirim).

Kaum materialis

Ketiga-tiga fikiran falsafah tersebut justeru berlawanan dengan tesis asas falsafah materialisme dialektika yang menegaskan:

1. Roh adalah hasil jirim;

2. Roh ialah suatu bentuk gerakan jirim; dan

3. Kewujudan jirim bebas dari, dan tidak bergantung kepada kesedaran (roh).

Bagaimanapun, kaum materialis secara terbuka mengakui jirim lebih utama daripada roh, Kassim sebaliknya keberatan untuk mengakui bahawa roh adalah lebih utama daripada jirim. Sekiranya Kassim mahu konsequen, ia harus sanggup menyatakan bahawa di antara jirim (wujud, badan) dan roh (kesedaran, fikiran) rohlah yang lebih utama! Tapi berbuat demikian juga akan mendedahkan sifat Kassim sebagai seorang idealis mungkin inilah dilemanya!

Perbezaan asas antara materialisme dengan idealisme telah dirumuskan oleh Mao Tze Tung seperti berikut:

"Di manakah letaknya perbezaan asas antara idealisme dengan materialisme? Ia letak pada jawapan berlawanan yang diberikan kepada dua masalah dasar dalam falsafah, iaitu tentang hubungan antara roh dengan jirim (hubungan antara kesedaran dengan wujud). Idealisme menganggap roh (kesedaran, konsep dan yang subjektif) sebagai punca segala benda yang wujud atas bumi, dan jirim (alam, masyarakat dan yang objektif) sebagai yang kedua dan kurang penting. Meterialisme mengakui kewujudan jirim bebas dan terpisah dari roh dan menganggap roh sebagai yang kedua dan kurang penting." (15).

Menurut kriteria atau ukuran tersebut, rasanya tidak ragu lagi bahawa falsafah Islam padahal falsafah idealisme dan Kassim seorang idealis sungguhpun beliau cuba menafi.

Penutup

Berasas kepada analisis-analisis tersebut di atas, kritikan-kritikan Kassim terhadap setengah kategori dan tesis asas falsafah materialisme dialektika nampaknya tidak berasas dan tersasar.

Dalam resensi, Kassim banyak menggunakan petikan-petikan Engels, Lenin malah Marx sendiri untuk mengkritik dan sekaligus menolak falsafah Marxis, tetapi interpretasinya sering lari dari maksud asalnya. Ini sepatutnya tidak berlaku kepada seorang penulis veteran seperti Kassim.

Yang di luar dugaan saya ialah fahaman idealis Kassim begitu menonjol sekali, sungguhpun beliau mendakwa menolak idealisme dan materialisme pada masa yang sama. Keraguan saya ialah: Kenapa fahaman Sosialisme Saintifik Kassim dahulu boleh luntur dengan begitu cepat dan tuntas sekali?

Rujukan:

(1) Buku ini telah diterjemah dan sesuaikan dari buku Cina yang sama tajuknya oleh Li Yi, Penerbitan Tunas, KL, 1975.
(2) Iaitu apa yang dinamakan dualisme materialisme dan dualisme idealisme. Menurut Kassim, materialisme memisahkan roh daripada jirim, ini merupakan suatu tuduhan melulu yang tidak berasas, sila merujuk bahagian (3)(a) dan (b) jawapan ini.
(3) Engels, F.Anti-Durring, New York, 1939, ms.23-33
(4) Henderson, W.O., Engels, a Pelican Original, ms.315-316
(5) Lewis, John. The Marxism of Marx. London, Lawrence and Wishart 1972, ms.62
(6) Ibid ms.64
(7) Lihat resensi Kassim, ms.823, para 1
(8) Lenin, V.I. Materialism and Empirio-Criticism, Selelcted Works. Vol.XI, London, 1939, ms.192
(9) The Encyclopedia of Philosophy, op.cit. ms.217
(10) Fouer, Lewis S. (ed.) Marx and Engels; Basic Writing on Politics and Philosophy, New York, 1959,ms.206-207
(11) Critique of Pollitical Economy, 1859, ms.10-13
(12) Mao Tze-Tung, Selected Works, Peking: Foreign Language Press, 1965,ms.307
(13) Schram, Stuart R., The Political Thought of Mao Tze Tung, a Pelican Book, 1969, ms.192-193
(14) Ibid. ms.192-193
(15) Ibid. ms.181-182

Antara materialisme, idealisme dan Islam (Bhg I)

Antara materialisme, idealisme dan Islam (Bhg 11)